Mulai semalam, Malaysia memasuki Bulan Kemerdekaan ke-53 yang bertemakan '1Malaysia Menjana Transformasi'. Sempena sambutan itu, Kempen Kibar Jalur Gemilang dilancarkan di Kangar, Perlis malam tadi. Kempen ini akan berlangsung sehingga sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September 2010.
Maka dari Perlis hingga ke Sabah, bermulalah pengibaran Jalur Gemilang dengan pelbagai cara oleh rakyat Malaysia bagi menunjukkan semangat cintakan negara.
Kami berharap, kibaran Jalur Gemilang lebih meriah pada tahun ini. Rakyat Malaysia sama ada di kampung, taman perumahan, pemilik gedung perniagaan, pejabat kerajaan dan swasta perlu sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan ini. Terpulanglah kepada kreativiti masing-masing bagaimana mahu mengibarkan bendera kebanggaan negara itu. Apa yang penting ikhlaskan diri mengibarkan Jalur Gemilang.
Janganlah pula ada di kalangan kita hanya mengambil sikap tunggu dan lihat serta menanti Jalur Gemilang percuma daripada pihak-pihak tertentu. Berapalah sangat harga bendera (Jalur Gemilang) berbanding keghairahan menukar langsir baru yang lebih mahal menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Maka diharapkan juga, sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan pada tahun ini tidak ditenggelamkan dengan suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan