' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Rabu, Jun 30, 2010

PERATURAN PAKAIAN ISTIADAT JOHOR

SEBAGIMANA negeri-negeri lain, Johor juga mempunyai peraturan pakaian bagi istiadat khasnya yang terlibat dengan istana.

Peraturan ini diwujudkan pada Maharaja Abu Bakar semasa kerajaan Johor berada di Telok Belanga, dan telah dipinda, ditokok tambah dan diperbaiki dan disesuaikan mengikut peredaran zaman.

Sultan Abu Bakar terkenal dengan kecenderungan terhadap pakaian cara Barat khasnya setelah baginda membuat beberapa lawatan ke England.

Baginda membawa balik ke Johor cara pakaian bagi rakyat baginda yang setanding dengan negeri moden. Namun begitu Baginda tidak mengetepikan cara dan adat Melayu. Malahan baginda menyesuaikan pakaian Barat dengan unsur-unsur kemelayuan.
Maharaja Abu Bakar mempelopori pakaian Melayu Johor yang sekarang disifatkan ikon Johor, iaitu Baju Melayu Telok Belanga. Baju bagi lelaki labuhnya sehingga ke bawah pinggang dengan leher asalnya berlapik lebar dan berkocek dua.
Seluar dari kain yang sama corak dan warna baju adalah bertongkah seperti seluar Cina iaitu dengan diadakan sambungan kain dibahagian atas seluar bagi membolehkan-nya diikat tanpa menggunakan tali pinggang.

Potongan pakaian ini amat sesuai dengan keadaan iklim kita. Pakaian tersebut dilengkapkan dengan kain samping yang dipakai secara dagang dalam iaitu kain dilipat di bawah baju, sama ada daripada kain pelikat, kain Bugis atau kain sutera. Kepala kain diletak di belakang dan kain dipakai selabuh paras lutut atau ke bawah lutut.
Setanjak atau destar yang pernah dipakai dalam zaman empayar Johor kurun ke-16 tidak lagi dipakai sejak zaman Temenggong Daeng Ibrahim. Baginda menggalakkan pemakain turban yang dipadankan daripada penggaruh Arab dan Parsi.

Pada awalnya Sultan Abu Bakar meneruskan pakaian turban tetapi selepas tahun 1866, baginda menetapkan songkok baldu hitam dipakai bersama pakaian Melayu. Almarhum Sultan Ibrahim pula menetapkan songkok dijadikan pakaian Melayu Johor.

Sultan Ibrahim atas nasihat Dato' Onn mengubah baju lelaki dengan tambahan satu kocek di atas dada dan alas lehernya dijahit halus secara sulaman tulang belut.

Satu lagi jenis pakaian Melayu yang dipelopori Sultan Abu Bakar ialah potongan cekak musang. Bagaimanapun hanya putera-putera raja, datuk-datuk dan tuan-tuan syed sahaja yang boleh memakainya dalam istiadat di istana dengan kain samping berdagang luar.
Dalam tahun 1982 Almarhum Sultan Iskandar bertitah hanya Baju Melayu Telok Belanga dijadikan pakaian rasmi istiadat dan kain samping dipakai di sebelah luar baju dan dinamakan berdagang luar.

Baju Kurung Telok Belanga bagi perempuan labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus sulaman tulang belut, dan tidak berkocek. Almarhum Sultan Ibrahim mengadakan satu kocek.
Berbeza dengan baju kurung Malaysia Baju Kurung Telok Belanga mempunyai pesak gantung atau pesak kekek untuk keselesaan pemakainya. Kain yang dipakai termasuk dari jenis batik, kain berbunga atau kain yang bercampur dengan benang emas. Kain mesti yang berjahit, bukan kain lepas, dilipat cara beralun dan diikat labuhnya sampai buku lali.

Asalnya pakaian itu boleh dibuat dengan kain semua warna melainkan warna putih, biru dan kuning kunyit sedondon, kerana warna-warna itu adalah warna diraja. Mulai 1 Februari 2010 Sultan Ibrahim bertitah warna larangan ini dihapuskan.

Dalam tahun 1995 Almarhum Sultan Iskandar bertitah semua dif wanita memakai Baju Kurung Telok Belanga dalam majlis-majlis istana, serta memakai tudung kepala. Sultan Ibrahim membuat perubahan pada Februari 2010 membolehkan dif perempuan bukan Melayu memakai pakaian hormat masing-masing tanpa bertudung kepala.

Dif lelaki bukan Melayu memakai lounge suit warna gelap, kemeja putih lengan panjang dan bertali leher warna gelap, bersongkok hitam dan bersepatu hitam. Jika memakai lounge suit berbutang dua hanya butang sebelah atas dikancing. Butang tengah sahaja dikancing jika memakai lounge suit tiga butang. Jika memakai double breasted suit satu butang sahaja dikancing.

Ahli-ahli Darjah Kerabat dan datuk-datuk Johor berhak memakai uniform istiadat yang ditetapkan dalam majlis rasmi kerajaan di mana Raja berangkat. Jika tidak diisytihar Hari Kalong, Ahli Pangkat Pertama memakai kain selepang dari bahu kanan ke pinggang kiri dengan bintang kecil di hujungnya.

Bintang Besar Darjah diletakkan di dada kiri. Kalong Darjah dipakai menggantikan kain selepang pada Hari Kalong, iaitu dalam istiadat sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Raja, istiadat kemahkotaan atau ulang tahun darjah.

Pada masa sekarang Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dibekalkan dengan uniform istiadat untuk dipakai dalam istiadat perasmian Dewan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan juga dalam istiadat istana. Jika Ahli itu telah dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran sama ada dari Johor atau dari Kerajaan Persekutuan atau negeri-negeri lain, ia hendaklah memakainya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Darjah berkenaan.

Di antara Pegawai-pegawai lain yang berhak memakai uniform istiadat ialah Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri, Pegawai Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera, Askar Timbalan Setia Negeri, Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Persekutuan, Kastam, dan Penghulu-penghulu. Biasanya songkok menjadi sebahagian uniform itu. Songkok tidak boleh ditanggalkan sepanjang perjalanan majlis.

Yang pasti hanya boot yang tidak bertali dipakai. Bagi pegawai perempuan memakai court shoes yang bertutup di bahagian hadapan.

Peraturan pakaian ditetapkan dalam surat jemputan. Bagi Majlis Rasmi atau Majlis Mengadap Sultan lelaki Melayu memakai Baju Melayu Telok Belanga warna serba hitam, berkain songket berdagang luar, songkok baldu hitam tidak bertekat, sepatu dan stokin hitam. Pakaian stokin dan sepatu hitam telah ditetapkan oleh Sultan Abu Bakar dan bukanlah perkara baru.

Dif bukan Melayu memakai lounge suit warna gelap dan bersongkok. Ada masanya lelaki Melayu dikehendakki memakai lounge suit bersongkok. Perempuan Melayu memakai Baju Kurong Telok Belanga dan bertudung kepala, manakala perempuan bangsa lain memakai pakaian hormat masing-masing.

Pegawai lelaki memakai kemeja putih lengan panjang atau bush jaket dan bersongkok jika mengadap menjalankan tugas pejabat. Pegawai perempuan Melayu memakai Baju Kurung Telok Belanga dan bertudung kepala.

Pakain batik Malaysia lengan panjang bagi lelaki dibenarkan dalam majlis-majlis berunsur hiburan atau sukan. Pakaian Hari Raya boleh digunakan dalam majlis-majlis lain seperti yang ditetapkan dalam kad jemputan.

Dalam majlis yang muram seperti istiadat Hari Hol Almarhum kain hitam tenun atau sutera dan bukan songket dipakai dengan Baju Melayu Telok Belanga warna hitam.

Lelaki Melayu memakai Baju Melayu Telok Belanga warna putih berkain samping hitam tenun atau sutera dalam istiadat ziarah dengan tanda berkabong lilitan kain putih 2 inci pada songkok hitam. Perempuan Melayu memakai Baju Kurung Telok Belanga warna putih, berkain batik dan bertudong kepala warna putih.

Bagi istiadat pemakaman lelaki Melayu yang berhak memakai uniform istiadat. Yang lain memakai Baju Melayu Telok Belanga seraba hitam dan tanda berkabong di songkok. Lelaki bukan Melayu memakai lounge suit hitam, bertali leher hitam dan tanda berkabong lilitan kain hitam lebar 3 inci di lengan kiri.

Pakaian waktu berkabong bagi lelaki Melayu ialah songkok hitam dengan tanda berkabong, bagi perempuan Melayu tudung kepala warna putih, dan bagi perempuan lain bangsa lilitan kain hitam 3 inci di lengan kiri. Bagi lelaki bukan Melayu tali leher hitam atau lilitan kain hitam di lengan kiri.

Peraturan pakaian ini tidak berniat untuk menyekat kebebasan seseorang, bahkan diadakan bagi menghormati Raja dan menghormati majlis. Ia juga merupakan satu peradaban masyarakat 1Malaysia.

Sekiranya seseorang itu berperasaan menyinggung kebebasannya atau bertententangan dengan fahaman kebudayaan bangsanya adalah lebeh elok dia memaklumkan terlebeh dahulu diatas ketidakhadirannya supaya tidak mendatangkan masalah. Tidak perlu dia menghebohkannya dalam media masa.

Begitu juga pakaian waktu berkabong bukanlah paksaan, bahkan secara sukarela dan dengan perasaan tulus ikhlas dan taat setia rakyat kepada Almarhum.

DATUK ABDUL RAHIM RAMLI ialah Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor

Selasa, Jun 29, 2010

SEKOLAH RENDAH AGAMA BERSEPADU ( SRAB) KERAJAAN JOHOR


Perbanyakkan sekolah SRAB di Johor Bahru

Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) yang menggabungkan aliran kebangsaan dan agama di bawah satu bumbung perlu diperbanyakkan di daerah ini kerana terdapat permintaan tinggi di kalangan ibu bapa.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, setakat ini hanya terdapat satu sekolah jenis itu di daerah ini walaupun jumlah murid yang hendak memasukinya setiap tahun adalah melebihi kuota ditetapkan.

"Ada ibu bapa yang tinggal jauh hingga dari Kulai hendak menghantar anak sekolah di sini.

"Kalau wujud keperluan maka saya rasa boleh dicadangkan akan diwujudkan lebih banyak sekolah mengikut sistem ini di Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRAB Johor Bahru dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar di Taman Sri Tebrau di sini baru-baru ini.

Turut hadir guru besar sekolah itu, Zainab Harun dan Yang Dipertua PIBG, Mohd. Assabri Sidon.

Pada majlis tersebut, Shahrir mengumumkan bantuan untuk tahun 2010 sebanyak RM5,000 kepada sekolah tersebut.

Beliau berkata, sistem bersepadu itu digemari ibu bapa dan memudahkan murid-murid kerana sesi persekolahannya bermula pukul 8 pagi dan tamat pada 4 petang.

Menurutnya, pada tempoh sesi itu, murid-murid berpeluang mengikuti pelajaran aliran agama dan kebangsaan.

Selepas majlis itu, Shahrir menyampaikan hadiah kepada murid yang mendapat keputusan cemerlang pada tahun lalu dan kemudian meluangkan masa melawat bangunan dan kemudahan sekolah.

Ulasan:
 
Pengenalan

Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) adalah pendidikan peringkat sekolah rendah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor mulai sesi persekolahan 1999. Ia diwujudkan bagi memenuhi kehendak Pelan Tindakan Belanjawan Kajian Pendidikan Agama 1998.

Penyediaannya untuk membolehkan lepasan sekolah rendah agama Johor dapat meneruskan pelajarannya ke peringkat menengah seterusnya ke Pusat Pengajian Tinggi dalam dan luar negeri. Di masa yang sama SRAB adalah tapak untuk menyalurkan calon-calon pelajar ke peringkat menengah khasnya di sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri Johor.

Konsep Bersepadu

Menyepadukan antara Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kurikulum Baru Sekolah Agama (KBSA) Jabatan Agama Johor bagi memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Islam Negeri Johor.

Kesepaduan kurikulum KBSR dan KBSA dalam bidang matapelajaran merangkumi aspek teori dan amali serta nilai-nilai murni bagi melahirkan insan yang seimbang melalui kegiatan ko-kurikulum yang dilaksanakan bagi tujuan mempertingkatkan pengalaman dan pembelajaran di bilik darjah.

- Kurikulum

Menggunakan kurikulum KBSR, Kementerian Pendidikan Malaysia bagi matapelajaran Akademik dan KBSA, Jabatan Agama Johor bagi matapelajaran agama. Menerusi kurikulum yang disediakan diharap akan dapat melahirkan pelajar yang dapat menguasai dua bidang ilmu iaitu fardhu 'ain dan fardhu kifayah.

Pendaftaran untuk sesi 2011 telah dibuka pada sesiapa yang berminat untuk menghantar anak-anak bersekolah di SRAB Segamat bolehlah membuat pendaftaran seperti alamat berikut:
 
Alamat :

Sekolah Rendah Agama Bersepadu
Jalan Emas 8 ,
Taman Bukit Baru Bukit Siput,
85020 Segamat, Johor
No. Tel :07 9436266

Ahad, Jun 27, 2010

TIDAK SABAR MENANTI KEHADIRAN KMJ 2010


Tunku Mahkota teruja untuk bertemu rakyat

Kesempatan bersemuka dengan penduduk kampung merupakan saat yang amat dinanti-nantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail yang begitu teruja menyertai acara tahunan Kembara Mahkota Johor 2010 (KMJ) itu berkata, program tersebut memberi peluang kepada keluarga diraja untuk mendekati rakyat jelata di setiap daerah yang dilawati.

"Pada kesempatan itu, saya dapat melihat kehidupan rakyat dengan mata sendiri," katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.

Ditanya mengenai KMJ 2020 menaiki kereta api bermula Sabtu ini, beliau berkata, ia tidak pernah dilakukan sebelum ini dan pasti memberi pengalaman berbeza.

Bagaimanapun, Tunku Mahkota mengakui lebih menggemari kembara menaiki motosikal kerana dapat memasuki ke kawasan yang lebih jauh.

Biarpun kembara kali ini menggunakan kenderaan berbeza berbanding edisi sebelum ini, ia masih berorientasikan mesra rakyat dan mengeratkan hubungan antara keluarga diraja dengan rakyat jelata.

Dalam KMJ 2010 dari 26 hingga 28 Jun ini, Sultan Ibrahim Ismail akan memandu kereta api yang bakal menjelajah ke beberapa daerah dengan jarak perjalanan sejauh 391.3 kilometer dari Johor Bahru ke Gemas dan kembali semula ke Johor Bahru.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk memeriahkan semua aktiviti yang dijadualkan berlangsung sepanjang kembara berkenaan.

Antara aktivitinya, gotong-royong, pertandingan sukan rakyat, gasing pangkah, acara J-Robik, memasak dan gubahan bunga-bunga plastik dan ceramah agama.

Sabtu, Jun 26, 2010

UPSR-PANDANGAN ORANG RAMAI

Ujian ke atas murid bantu terap minat membaca

SAYA agak terkejut apabila kerajaan ingin memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR daripada sistem pendidikan negara. Bagi saya ia adalah satu tindakan yang agak melulu dan memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak.

UPSR sebagai contohnya digunakan sebagai ujian untuk menguji kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Ia adalah asas untuk digunakan oleh semua pelajar pada masa akan datang. Jika tiada ujian diadakan, bagaimana untuk kita mengetahui adakah sukatan yang diajar guru berjaya atau tidak. Bagi PMR, ia wajar dimansuhkan kerana memadai untuk menjadikan SPM sebagai kayu ukur dalam prestasi pelajar di sekolah menengah. Masyarakat kita sebenarnya hidup dalam masyarakat yang berasaskan peperiksaan. Dalam sektor kerajaan sendiri, ada peperiksaan PTK yang akan menentukan kenaikan pangkat dan gaji bagi penjawat awam. Peperiksaan juga akan mendorong pelajar untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran mereka. Begitu juga kakitangan awam sendiri.

Budaya membaca sukar dibentuk jika tidak ada sedikit unsur paksaan yang dilakukan secara halus menerusi peperiksaan yang bakal mereka hadapi. Walaupun kini beberapa gerakan membaca dilakukan oleh pertubuhan buka kerajaan (NGO) seperti Baca@LRT, Baca@Komuter dan sebagainya, tetap ia tidak cukup kerana golongan sasaran sebenarnya ialah golongan pelajar.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika budaya membaca tidak dipupuk ketika masih muda. Ia lebih sukar apabila pada tahap yang lebih dewasa dengan ada pelbagai jenis hiburan pada zaman ini.

Diharap kerajaan dapat meneliti kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan agar bangsa Malaysia akan terus berjaya pada masa akan datang.
MOHD SHAMSURIYADI MAMAT,
Kuala Kangsar, Perak.

Jumaat, Jun 25, 2010

AL-FATIHAH BUAT MOHAMAD NAIM MUSTAQIM

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD) mati di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Kem Sungai Besi di sini, awal pagi semalam, dipercayai akibat dibuli dan didera.

Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri, 16, dikatakan pengsan selepas didera sekumpulan pelajar senior antara jam 11.30 pagi kelmarin dan 1.20 pagi semalam di asrama maktab Kem Sungai Besi itu. Beliau kemudian dikejarkan ke pusat perubatan itu, namun disahkan meninggal dunia. Sumber memberitahu Berita Harian, mangsa antara lain dipaksa melakukan tekan tubi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata siasatan awal mendapati ada unsur jenayah dalam kematian Mohammad Naim dan siasatan masih dijalankan.

Kami menerima laporan daripada pihak tentera pada jam 2 pagi tadi (semalam) memaklumkan mangsa pengsan di asrama dan dikejarkan ke hospital di dalam kem itu, tetapi meninggal dunia.

Selepas menerima laporan itu, sepasukan polis dihantar ke PPAT dan membawa jenazah mangsa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat, katanya ketika dihubungi di sini, semalam. - selanjutnya
Ulasan :
Kes seperti ini bukan kali pertama berlaku di MTD Sungai Besi. Mengapa tidak ada pengawasan yang tebaik dapat dilakukan kepada semua pelajar agar kes-kes buli pelajar baru. Bukankan displin MTD itu sangat ketat ?
Diharapkan agar pihak pengurusan MTD Sungai Besi dapat menyiasat dengan segera siapa mereka yang terlibat dalam kes buli ini dan dihadapkan ke muka pengadilan. Andai kata mangsa adalah pelajar yang bermasalah tetapi adakah jalan terbaik adalah membiarkan pelajar-pelajar senior membuli beliau.
Kepada keluarga Allahyarham Mohammad Naim Mustaqim Mohd Sobri supaya bersabar menerima dugaan daripada Allah ini dan kami berdoa moga roh Allahyarham akan dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.

Khamis, Jun 24, 2010

SULTAN, SULTANAH JOHOR HADIRI PELBAGAI ACARA BERSAMA RAKYAT


Segamat sedia program tradisional

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Masyarakat di sini berbangga apabila daerah ini menjadi antara lokasi persinggahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sempena program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010. Baginda dijadual menyertai pelbagai acara yang dirancang termasuk permainan gasing pangkah yang menjadi antara permainan tradisional yang semakin dilupakan. Daerah ini terkenal dengan keenakan durian berkualiti tinggi dan masak lemak cili api ikan sungai terutama baung serta patin, pastinya memberikan kenangan serta pengalaman manis kepada ahli rombongan KMJ 2010.

Pegawai Daerah Segamat, Burhan Amin, berkata Sultan Ibrahim akan menyertai program di daerah itu selama dua hari dan pihaknya berbangga apabila menjadi antara dua daerah di Johor menjadi destinasi utama KMJ 2010.

“Kali ini, Segamat menjadi antara daerah terpilih bagi KMJ 2010 dengan mengadakan pelbagai acara menarik sempena keberangkatan Sultan Ibrahim ke daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, rombongan itu dijangka tiba di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Labis pada hari kedua program dan singgah ke Kampung Paya Merah untuk menyaksikan pertandingan futsal dan gasing pangkah yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Merah.
Katanya, Sultan Ibrahim juga menyaksikan pameran penduduk kampung termasuk pembuatan gitar, perusahaan parang lama dan demonstrasi gasing pangkah sebelum turut mencuba permainan gasing pangkah yang juga permainan tradisional masyarakat Melayu.

“Sultanah Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris turut dibawa melawat pameran produk penduduk tempatan dan Felda termasuk produk jahitan, sulaman dan makanan ringan.

“Dari Labis, rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Stesen KTMB di Tenang Stesen untuk merasmikan Dewan Pekan Tenang Stesen dan menyaksikan pameran tabib Cina disertai kira-kira 20 tabib, termasuk akupuntur, urutan tradisional, tulang dan kulit,” katanya.

Burhan berkata, rombongan KMJ 2010 kemudian meneruskan perjalanan ke Stesen KTMB Segamat sebelum Sultan Ibrahim menaiki kereta antik dengan diiringi kira-kira 30 kereta antik daripada Persatuan Kereta Antik Negeri Johor untuk mengelilingi bandar itu.

Katanya, rombongan itu kemudian dibawa ke Dataran Segamat bagi menyaksikan acara membuat kuih tradisional dodol dan lempok durian serta acara Sukan Rakyat.

Beliau berkata, sempena program di bandar Segamat, Raja Zarith Sofiah turut melawat kanak-kanak dan wanita dirawat di Hospital Segamat serta menyampaikan bantuan kepada mereka.

“Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar akan menyertai orang ramai pada program Forum Perdana Ehwal Islam diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Jawa,” katanya.

Pada hari ketiga, rombongan akan meneruskan perjalanan ke Stesen KTMB Gemas, Negeri Sembilan sebelum singgah ke Stesen KTMB Bekok untuk beramah mesra dengan penduduk kawasan itu.

Di Stesen KTMB Bekok, program dijadual menyampaikan sumbangan basikal kepada 30 pelajar miskin dan bantuan kepada 20 ibu tunggal serta 20 orang miskin.

Selasa, Jun 22, 2010

SATU KAJIAN PERLU DILAKUKAN

Cadangan pemansuhan langkah tepat

KUALA LUMPUR 21 Jun – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong cadangan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang disifatkan sebagai langkah tepat bagi melahirkan modal insan holistik.

Bagaimanapun pada masa sama terdapat juga NGO yang berharap pemansuhan itu tidak melibatkan UPSR kerana menganggap peperiksaan itu penting sebagai proses peralihan sebelum seseorang murid melangkah ke sekolah menengah.

Presiden Pertubuhan Persekutuan Belia India Malaysia (Prima), AP Raja Retinam berkata, cadangan memansuhkan UPSR dan PMR dilihat mampu memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka.

‘‘Cadangan itu amat sesuai dan ia perlu dilaksanakan segera kerana sistem pembelajaran kini terlalu berorientasikan peperiksaan.

‘‘Apabila dua peperiksaan itu dimansuhkan ia dapat memberi peluang yang seimbang terutamanya mereka yang kurang cemerlang dalam akademik untuk menonjolkan diri dalam aspek kepimpinan dan sahsiah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

.

Sementara itu, Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berpendapat, adalah wajar sekiranya pemansuhan itu hanya melibatkan PMR sahaja dan bukannya UPSR.

‘‘UPSR perlu diteruskan, ia sebagai transisi kepada pelajar sebelum ke sekolah menengah. Gagasan juga berpendapat aliran sekolah vokasional perlu diwujudkan lebih awal iaitu di tingkatan satu lagi dan bukan di tingkatan empat seperti mana sekarang,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor (CASSA), Datuk Dr. Jacob George juga menyokong cadangan kerajaan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

Katanya, sistem pendidikan yang tidak berorientasi sepenuhnya peperiksaan mampu memperkasa pelajar dalam aspek kemahiran tambahan.

‘‘Saya fikir langkah pemansuhan itu tepat kerana ia mampu meningkatkan perkembangan modal insan bagi melahirkan pelajar bermotivasi,’’ jelasnya.

Isnin, Jun 21, 2010

APA CADANGAN ANDA TENTANG PERKARA INI

UPSR, PMR mungkin dimansuh

MUAR 20 Jun – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mungkin dimansuhkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan holistik kepada pelajar.

Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan kini sedang mengkaji dengan teliti cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Di Malaysia, kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Umumnya sepanjang 11 tahun murid masuk ke sekolah ada tiga peperiksaan awam. Ada pihak berpendapat ini menyebabkan cara pembelajaran lebih menjurus usaha mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan awam.

“Maka sebab itu di Malaysia selain di sekolah, ibu bapa hantar anak ke tuisyen sebab hendak keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM.

“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelaksanaan UPSR dan PMR adalah baik namun disebabkan terlalu menjurus kepada peperiksaan, tujuan utama menuntut ilmu secara kreatif, interaktif dan menimba pengetahuan secara holistik tidak tercapai sepenuhnya.

Beliau berkata, disebabkan terlalu berorientasikan peperiksaan, fokus utama guru dan pelajar tertumpu kepada keputusan cemerlang pada peperiksaan awam dan mereka turut dibebani dengan peperiksaan penilaian di peringkat sekolah.

“Dalam soal kerjaya dan kerja, orang tidak pakai lagi PMR dan UPSR. Orang (majikan) tidak tanya pun berapa ‘A’ yang dapat dalam PMR dan UPSR, sebaliknya hanya keputusan SPM dan di peringkat universiti saja orang ambil kira,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebanyakan negara lain hanya mempraktikkan satu peperiksaan awam sepanjang persekolahan dan contoh itu boleh diambil Malaysia dengan memberi lebih penekanan kepada penilaian di peringkat sekolah.

“Saya sendiri berpendapat adalah lebih wajar kalau perlu adanya penilaian, kita buat di peringkat yang terakhir, selepas belajar 11 tahun (di sekolah rendah dan menengah) sebelum masuk universiti.

“Saya mengajak golongan pakar pendidikan dan masyarakat untuk memberi respons kerana kita belum ada keputusan tetapi banyak pihak mencadangkan untuk mengubah sistem kepada hanya satu sahaja peperiksaan awam,” katanya.

Namun menurut Muhyiddin, sekiranya peperiksaan UPSR dan PMR diteruskan, ia hanya sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Tegas beliau, banyak perkara harus diteliti terlebih dahulu dan penstrukturan semula perlu dilakukan bagi membolehkan keputusan penilaian di peringkat sekolah dapat diguna pakai oleh pelajar untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

“Ini ada hubung kait dengan rombakan sistem pendidikan negara untuk mengubah bentuk kurikulum supaya lebih banyak masa terluang untuk fokus kepada subjek-subjek utama serta aktiviti sukan.

“Di peringkat kementerian, kita sedang meneliti dan memerlukan input dari warga akademik, pendidik dan masyarakat. Debat sihat dalam media juga bagus untuk perkara ini,” katanya.

Jumaat, Jun 18, 2010

AL-FATIHAH BUAT HAJAH ZALEHA JAMIL

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Hajah Zaleha Binti Jamil, Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Johor Bahru yang telah kembali ke Rahmatullah pada 18 Jun 2010 jam 4.30 pagi di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Semoga Roh Allahyarham di cuucuri Rahmat oleh Allah SWT

Kepada seluruh ahli keluarganya, Penyelia dan kakitangan KEMAS Parlimen Johor Bahru di ucapkan takziah semoga merelakan pemergianya dengan hati yang ikhlas dan sentiasa berdoa agar Rohnya di tempatkan dikalangan orang-orang yang solehah.
Amin !!!

Khamis, Jun 17, 2010

WARGA SEGAMAT MENGALU-ALUKAN ROMBONGAN KEMBARA MAHKOTA JOHOR

Sultan Ibrahim tidak sabar pandu kereta api jumpa rakyat

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sudah 'tidak sabar' untuk memulakan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 yang bakal berlangsung 26 Jun ini.

Pada hari berkenaan, baginda akan turut ditauliahkan lesen memandu kereta api sekali gus membawa sendiri kenderaan itu yang merupakan pengangkutan utama KMJ 2010 selama tiga hari program itu berlangsung.

"Beta sentiasa memikirkan bila 26 Jun akan sampai dan tidak sabar hendak dapat lesen (kereta api)," titah baginda selepas mengadakan sesi latihan membawa kereta api dengan nama Tg. Kupang bernombor siri 26108 dari Stesen Johor Bahru ke Stesen Kulaijaya di sini hari ini.

Pada sesi latihan yang mengambil masa kira-kira sejam bagi perjalanan sejauh 35 kilometer itu, baginda gembira kerana ia berjalan lancar selain dapat melihat keadaan di kiri dan kanan landasan.

Titah baginda, pada sesi latihan itu, kereta api tersebut dipandu secara perlahan dan kelajuan maksimumnya hanya mencecah 100 kilometer sejam.

"Semasa KMJ kelak, beta perlu memastikan masa ketibaan di sesuatu tempat adalah tepat," titah baginda.

Pada sesi latihan hari ini, penduduk Kulaijaya tidak melepaskan peluang menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Ketika KMJ 2010 itu nanti, Sultan Ibrahim akan memandu sendiri kereta api yang bakal merangkumi jarak perjalanan sejauh 391.3 kilometer dari Johor Bahru ke Gemas dan kembali semula ke Johor Bahru.

- bernama

Selasa, Jun 15, 2010

KEMAS PELUPUR PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK


2,500 Tabika dalam tiga tahun

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah terima dana RM500j

TANJUNG MALIM: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan membina 2,500 Tabika dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini bagi meningkatkan kemasukan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun ke sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kementerian itu menerima dana hampir RM500 juta menerusi Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, peruntukan RM98 juta sudah diterima untuk mewujudkan 500 Tabika tahun ini.

“Bakinya sebanyak RM200 juta untuk membina 1,000 Tabika pada tahun depan dan jumlah yang sama pada 2012,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2010 di Behrang, dekat sini, semalam.

Mohd Shafie berkata, kebanyakan Tabika baru berkenaan akan dibina di luar bandar dan pinggir bandar, terutama di kawasan yang belum ada tadika swasta dan prasekolah di sekolah kebangsaan.

Katanya, kini ada 8,500 Tabika Kemas di seluruh negara dengan 190,000 kanak-kanak.

Beliau berkata, pembinaan 2,500 Tabika baru itu akan membuka kira-kira 5,000 peluang pekerjaan sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak.
“Mereka yang berminat untuk memohon sebagai guru Tabika Kemas perlu mempunyai lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Guru akan diberi latihan untuk mendapat Diploma Perguruan Malaysia ,” katanya.

Mohd Shafie berkata, seramai 256 guru Tabika Kemas lulusan Diploma Perguruan Malaysia sudah dilantik ke Gred S27.

Katanya, seramai 257 lagi guru akan tamat diploma masing-masing hujung bulan ini.

Isnin, Jun 14, 2010

MEMORI PENGAMBARAN SALAM DESA

Program pengambaran RTM bagi Rancangan ' Salam Desa ' di Kampung Melayu Raya telah selamat dilaksanakan dengan jayanya pada 09 hingga 11 Jun 2010. Krew-krew RTM merasa bangga kerana mendapat kerjasama yang terbaik dari semua kakitangan KEMAS Sekijang dan tidak lupa kepada seluruh penduduk kampung dalam sesi pengambaran tersebut.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Encik Zamri Bin Abd Razak Penolong Pengarah Operasi II Kemas Negeri Johor. Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada RTM kerana menyediakan slot rancanganya untuk menunjukan kepada masyarakat umum apa yang menarik di kampung ini.

Tahniah juga kepada penduduk Kampung Melayu Raya kerana telah diberikan peluang untuk pengambaran RTM dalam ' Salam Desa ' kali ini. Diharapkan program ini akan menjadikan kenangan manis yang mana kampung ini akan dilihat oleh masyarakat luar dan berharap agar penduduk kampung berusaha lagi untuk menjadikan kampung ini lebih maju dan menarik dimasa akan datang.

Banyak kenangan manis yang sempat kami rakamkan untuk tatapan semuanya di dalam slide ini :



Ahad, Jun 13, 2010

TAHNIAH DAN SELAMAT DATANG KE KEMAS


500 lulusan diploma mengajar TABIKA Ogos


PUTRAJAYA: Kira-kira 500 tenaga pengajar berkelulusan diploma akan mula mengajar di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh negara mulai Ogos ini, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan pendidikan formal seawal usia lima tahun dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada program bagi memberi tahap pendidikan cemerlang kepada murid prasekolah di negara ini.

Beliau berkata, KEMAS juga akan mengambil tenaga pengajar yang mempunyai kelulusan ijazah pada masa depan.
"Tenaga pengajar yang berkelulusan diploma itu sebahagian usaha kita untuk tidak hanya bergantung dengan tenaga pengajar yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana dengan lonjakan ilmu yang lebih tinggi, mutu sistem pengajaran prasekolah dapat dipertingkatkan.

"Kementerian ini juga mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran dalam merancang penambahan bilangan tenaga pengajar yang berkualiti," katanya selepas menyerahkan surat tawaran biasiswa kepada enam pelajar Orang Asli untuk menyambung pelajaran di luar negara, di sini, semalam.

Enam pelajar Orang Asli itu mendapat tawaran MARA untuk mengikuti kelas persediaan selama dua tahun sebelum dihantar ke beberapa negara seperti Australia, New Zealand dan India bagi mengikuti jurusan kejuruteraan, perubatan, perakaunan dan kejuruteraan kimia.

Mohd Shafie berkata, KEMAS juga perlu mengguna pakai proses pembelajaran yang sesuai dan ideal bagi kategori umur lima tahun.
Mengenai program pendidikan bagi Orang Asli, Mohd Shafie berkata, pihaknya akan menambah lebih ramai anak Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.

Rabu, Jun 09, 2010

Budi Bahasa Budaya Kita


Pantun Budi

Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang

Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Terkenang-kenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Kapal belayar dari Arakan
Ambil gaji jadi jemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati saya kerana budi

Burung serindit terbang melayang
Mari hinggap diranting mati
Bukan ringgit dipandang orang
Budi bahasa rangkaian hati


Kini kita bergerak untuk mengutip kembali warisan yang sangat berharga. Kempen Budi Bahsa Budaya Kita adalah satu gelombang yang diharap akan dapat mengembalikan rakyat kepada asas hidup berbudaya di negara kita.

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah sepenting dan sebesar Wawasan 2020, destinasi impian yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri, cuba lihat kembali cabaran-cabaran Wawasan 2020 menjadi negara maju dalam acuan budaya kita.

Nilai-nilai murni yang perlu diterapkan dari peringkat yang paling rendah, terutamanya sedari kanak-kanak perlu dilakukan dari semua peringkat, terutamannya bermula dari rumah, peranan ibu-bapa sangat peting dalam bentuk perilaku akhlak murni berbudi-bahasa.

Antara nilai-nilai murni yang boleh dipupuk dikalangan semua masyarakat adalah 'Senyuman Ikhlas & Mengucapkan Terima Kasih'. Merupakan budi bahasa yang paling asas.. melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih, masih sukar dilihat dalam masyarakat ini. Kita boleh biasakan mengucapkan dan meleparkan senyuman ikhlas dikalangan kita, dirumah, sekolah, pejabat atau dimana-mana sahaja. Mudah!




Semoga dapat menyemarakkan dan menyemai semula budi-bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen ini diharap dapat memperkukuh kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian.


Khamis, Jun 03, 2010

INFO PROGRAM-PROGRAM KEMAS SEKIJANG


KEMAS Ibu Pejabat ( Putrajaya ) bersama RTM akan mengadakan Program Salam Desa RTM. Pada tahun ini bagi negeri Johor Daerah Segamat dan Kampung Melayu Raya, Segamat telah dipilih sebagai lokasi pengambaran program tersebut yang di jangka bermula pada 9 Jun hingga 12 Jun 2010.

Kampung Melayu Raya, Segamat dipilih kerana telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan Anugerah desa Cemerlang Peringkat Daerah Segamat dan Naib Johan peringkat Negeri Johor. Tahniah diucapkan kepada semua warga Kampung Melayu Raya, Segamat diatas kejayaan tersebut.

' Program tersebut bertujuan untuk memaparkan perkembangan kemajuan kamapung dan peranan kerajaan dalam membangunakan modal insan luarbandar'.



Program kedua adalah Program Galakan Membaca anjuran Unit Pendidikan Masyarakat KEMAS Daerah Segamat yang akan diadakan pada, masa dan tempat seperti berikut :-

Tarikh : 9 Jun 2010 ( Ahad )
Masa : 8.30 pagi hingga 1.00 petang.
Tempat : Pusat Sumber KEMAS
Taman Seri Waja, Kampung Jawa, Segamat.

Dalam program tersebut selain ucapan dan penerangan juga akan diadakan pertandingan seperti berikut :-

  • Membuat Buku Skrap ( Tema Kesihatan )

  • Mewarna kategori ibubapada & Kanak-kanak Tabika.

  • Spelling Contest.

  • Membuat Kada Ucapan.

  • Membaca cerita dalam Bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Bahasa Arab ( Jawi )
Dipersilakan tuan/puan untuk hadir ke program yang dinayatakan di atas dan sekiranya ingin menyertai pertandingan tersebut bolehlah berhubung dengan kakitangan KEMAS Sekijang

Sekian terima kasih harap maklum.

Selasa, Jun 01, 2010

PROMOSI MAKANAN SEMPENA MINI MAHA SEGAMAT

Sempena Mini Maha Segamat pada 28 hingga 30 Mei 2010 di Dataran Segamat. Yang telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Noh Bin Omar Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani. Unit Pendidikan Masyarakat KEMAS Kawasan Sekijang telah diundang untuk mengadakan mengambil bahagian.

Sehubungan itu Unit Pendidikan Masyarakat KEMAS Sekijang telah mengadakan Demontrasi Masakan Ikan Air Tawar dan Ulam-ulaman pada 29 Mei 2010 jam 9.30 pagi di Tapak Pasar Tani Daerah Segamat. menunya adalah Masak lemak Tempoyak Ikan Baung Seri Tani.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan :


Pn Endon sedang memasak dan dibantu oleh Pn Nor Assikin


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails