' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, November 29, 2010

MENDAULATKAN BAHASA KEBANGSAAN

Tan Sri Hussein Ahmad dan Datuk Dr. Firdaus Abdullah, kedua-duanya mengaku dan sedih dengan sikap orang ramai yang jelas meminggirkan dan mengabaikan Bahasa Kebangsaan. Apa dah jadi dengan bahasa kebangsaan kita ini?

Dalam keadaan orang Melayu masih memegang pucuk pimpinan negara pun, kita tidak dapat mempertahankan bahasa ini. Cuba bayangkan pada masa akan datang jika kaum lain memegang pucuk pimpinan negara.

Memang tak boleh nak bayangkan apa akan terjadi kepada nasib bahasa Melayu. Tolonglah wahai pemimpinku, buatlah sesuatu sebelum nasi menjadi bubur.

Jangan undur ke belakang sehingga kita sanggup menjadikan bahasa Inggeris untuk bahasa sains dan teknologi. Mengapa kita tidak sanggup meneruskan usaha-usaha murni pemimpin dahulu yang mendaulatkan bahasa kebangsaan dengan cara memperkenalkan istilah dan terjemahan pelbagai bidang ilmu baik sains, matematik, ekonomi, sejarah dan teknologi sehingga mewujudkan UKM dan penggunaan bahasa perantaraan bahasa Melayu dalam semua kursus yang ditawarkan oleh IPTA?.

Jika dilihat dari segi perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan ini, bukan sahaja orang Melayu yang sanggup memperjuangkan bahasa kebangsaan malahan kaum lain yang terpelajar pun mahu bahasa kebangsaan ini terutama untuk tujuan perpaduan rakyat. Lihatlah usaha Dr, Ridhuan Tee Abdullah, Prof. Datuk Koh Kay Kim, Prof. Dr. Teo Kok Seong, Dr. Lim Swee Tin dan lain-lainnya.

Dengarlah rintihan kami yang berusaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Harapan saya pemimpin negara sedar dan dapat melaksanakan peraturan dan undang-undang sedia ada agar dapat mendaulatkan bahasa kebangsaan. Insya-allah.

Selasa, November 23, 2010

'Pemerintahan raja berperlembagaan harus dipertahan'

Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat terus mempertahankan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang sudah terbukti berkesan mewujudkan keamanan serta kestabilan politik.

Perdana Menteri berkata, sistem pemerintahan sedia ada juga membantu pembangunan secara terancang bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat sejak negara mencapai kemerdekaan.

Malah, katanya, amalan sedemikian turut berjaya mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Kita sudah membuktikan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen adalah sistem pemerintahan terbaik serta paling berkesan kerana ia mengadunkan warisan tradisi negara yang terbaik bersama-sama aspirasi rakyat.

Oleh demikian, rakyat perlu terus mempertahankan sistem ini dan tidak ada sebab untuk kita bersikap ibarat tikus membaiki labu, katanya.

Sesungguhnya bangsa yang tidak tahu dan tidak berminat dengan sejarah warisan bangsanya sendiri adalah bangsa yang lemah serta miskin semangatnya, katanya

Jumaat, November 19, 2010

Bersedialah, kemungkinan berlakunya banjir

Johor yang pernah dilanda banjir besar penghujung 2006 dan awal 2007, bersedia menghadapi bencana itu tahun ini dengan penubuhan jawatankuasa kecil di pusat pemindahan banjir bagi menyelaras bantuan di 600 pusat pemindahan.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Johor, Azura Mohd Kifli berkata, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan tiga hari lalu pada mesyuarat persediaan banjir yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof.

“Semua Pejabat Daerah ditugaskan mengenal pasti jawatankuasa kecil itu yang akan diketuai guru besar atau pemimpin tempatan di setiap pusat pemindahan.

“Ia bertujuan memudahkan koordinasi sesebuah pusat pemindahan termasuk urusan pendaftaran mangsa banjir, keselamatan, makanan, penyenaraian barangan keperluan, ubatan dan sebagainya,” katanya, di sini, semalam.

Kesemua pusat pemindahan itu mampu menampung 166,047 mangsa dengan Batu Pahat, Segamat, Johor Baharu dan Kota Tinggi diletakkan sebagai kawasan berisiko banjir.

Banjir besar pada penghujung 2006 dan awal 2007 dianggap yang terburuk di Malaysia, selain menyebabkan lebih 100,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan di seluruh Johor.

Azura berkata, semua agensi kerajaan dan swasta, termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Persatuan Bulan Sabit Malaysia sudah bersiap siaga bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

"Seramai 2,283 polis juga sudah menyediakan 60 bot, helikopter dan 288 kenderaan utiliti lain.

“Kita harap banjir yang mungkin berlaku tahun ini tidak seburuk banjir pada 2006. Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, kerja-kerja mendalamkan sungai, projek tebatan banjir dan pembinaan jalan ladang juga sudah disiapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Nik Omar Nik Ab Rahman berkata, pihaknya bermesyuarat 2 November lalu bagi membincangkan pelbagai persiapan menghadapi banjir.

Beliau berkata, semua stor penyimpanan di setiap daerah sudah dilengkapi barangan keperluan mangsa banjir, dan kira-kira 40 pegawai JKM di setiap daerah juga sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Tambahan 30 peratus barang keperluan termasuk pakaian, selimut, cadar, beras, minyak masak dan gula di depoh penyimpanan JKM di Parit Keroma, Muar akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelak kekurangan bekalan.

"Kami juga sudah menghantar bekalan keperluan ke kawasan yang sering terputus hubungan akibat banjir, termasuk masyarakat Orang Asli di Kampung Peta dan Tanah Abang di Mersing serta penduduk di pulau sekitar Johor pada bulan lalu," katanya.

Seramai 450 sukarelawan berdaftar dengan JKM Johor akan digerakkan jika banjir berlaku. - Bernama

Selasa, November 16, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Kami warga KEMAS Kawasan Sekijang mengambil kesempatan untuk mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Adha' kepada semua umat Islam di serata dunia khasnya kepada umat Islam di Malaysia.

Disebalik kemeriahan kita menyambut Aidil Adha ini ada hikmah disebaliknya Hari Raya Aidil Adha. Sebagai umat Islam di mana jua berada bersama-sama dengan saudara muslimin kita yang sedang menunaikan ibadat Haji, di Kota Suci Mekah, menyambut Aidil-Adha atau Hari Raya Korban, dengan menunaikan syiarnya seperti bertakbir, bersembahyang dan menyembelih korban sebagai bukti melahirkan keimanan kepada Allah, di samping memperingati sunnah Nabi Ibrahim Alaihissalam dan keluarganya, yang telah melakukan pengorbanan demi menjunjung terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala.

Pengorbanan menjadi ujian kepada umat manusia, sejarah manakah mereka itu beriman dan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wataala yang menjadikan, yang memberi rezeki dan segala kurniaan yang tidak terkira banyaknya.

Firman Allah Subhanahu Wataala surah Ibrahim, ayat 34:-

Maksudnya:

Dan dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu pohonkan kepadanya, dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya dan sangat mengingkari (tidak menghargai nikmat Allah).

Salah satu ibadat yang sangat dianjurkan kita melaksanakannya di Hari Raya Adha  ini ialah berkorban sebab itu Aidil-Adha lebih tepat kita sebut Hari Raya Korban. Iaitu menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta, seekor kambing untuk seorang, seekor lembu atau kerbau atau unta untuk tujuh orang.  Penyembelihan Korban dilakukan setelah selesai solat Aidil-Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari Tasyrik iaitu 11,12, 13 Zulhijjah.

Rabu, November 10, 2010

Subjek baru Terjemahan al-Quran

Mata pelajaran baru, Terjemahan al-Quran mungkin akan mula diperkenalkan sebagai subjek yang diajar di seluruh sekolah agama negeri mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, perkara itu dicadangkan dalam Bajet Negeri 2011 sebagai usaha kerajaan memastikan setiap murid tidak sekadar khatam al-Quran, tetapi juga dapat memahami makna ayat-ayat yang mereka baca.

Dengan adanya mata pelajaran baru ini, ia dapat mendidik anak-anak kita bukan setakat boleh membaca al-Quran, malah memahami huraianya sekali.

Abdul Ghani berkata, pelaksanaan mata pelajaran baru itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat yang dimulakan dengan murid tahun empat. Murid-murid darjah empat perlu membaca 10 juzuk pertama al-Quran serta terjemahannya.

Darjah lima baca 10 juzuk berikutnya serta terjemahannya manakala darjah enam 10 juzuk akhir beserta terjemahannya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan supaya azan di masjid dan surau di seluruh negeri ini diseragamkan dengan menjadikan alunan azan di Madinah sebagai rujukan.

"Azan di seluruh negeri perlu diseragamkan kerana ia dapat memperkukuhkan dan melambangkan kekuatan dan perpaduan umat Islam di negeri ini," katanya.

Isnin, November 08, 2010

TAHNIAH KEPADA EN. ABD GHAFAR MAHMUD

Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru bagi menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib semalam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu, yang berkuat kuasa hari ini, adalah selaras dengan peruntukan 144(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan beliau (Abdul Ghafar) sebagai Ketua Pengarah Pelajaran

Gred Utama Turus III," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Abdul Ghafar dalam bidang pendidikan, pengetahuan selain kompetensinya.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta komitmen beliau akan membolehkannya melaksanakan tugas seperti mana yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996," kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Alimuddin sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.

Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008.

Khamis, November 04, 2010

Ibu bapa takwa lahirkan zuriat beriman

Pemerdagangan bayi sudah berlarutan sejak sekian lama. Berikutan itu, kejadian yang hangat dilaporkan kini tidak begitu mengejutkan. Lebih malang, anak remaja diperjudikan dan mereka membesar tanpa pegangan agama hingga akhirnya hidup dalam maksiat.

Benar, dunia tanpa sempadan menuntut komitmen luar biasa terhadap kehidupan, kerana wang manusia sanggup berbuat apa saja sehingga kasih sayang sudah tiada nilainya jika kemewahan tiada di depan mata. Inilah padahnya apabila ibu bapa tidak tahu menghargai anugerah yang diberikan Yang Esa. Bukan semua orang dikurniakan cahaya mata kerana ada yang sekian lama memohon tetapi tidak diperkenan oleh-Nya.

Ada yang berikhtiar dengan segala upaya tetapi hampa. Apa pun, hikmahnya tetap ada cuma keterbatasan akal manusia menghalang kita memahaminya.

Jika dulu tugas ibu bapa cukup dengan mengawasi anak di depan mata tetapi hari ini ada dunia lain yang dihuni anak tanpa dapat diintai si ibu. Inilah yang dikatakan alam maya, anak kecil juga tahu merentasinya tanpa berbekalkan wang, cukup jari tahu menari.

Sama ada alam maya menjadikan anak lebih berilmu atau sebaliknya bergantung kepada kesediaan ibu bapa mencari ilmu menghadapi tanggungjawab mentarbiah anak dalam dunia serba mencabar kini.

Semua ibu pasti berasakan tanggungjawab membesarkan anak lebih sukar daripada mencari rezeki buat mereka. Apatah lagi jika ibu berkerjaya dan pada masa sama memikul tugasan membimbing cahaya mata.

Sudah pasti masa diperuntukkan berganda banyaknya, tenaga diperah tidak terhingga, tetapi semua kerana tanggungjawab yang perlu dilaksana. Ibu bapa tidak akan berasa penat dan lelah apabila melihat anak semuanya berjaya.

Setiap ibu yang mengerti suruhan agama tahu tanggungjawab dipikul dan kesan buruknya jika tidak ditunaikan untuk memastikan amanah Allah SWT yang lahir dari rahimnya memulakan kehidupan di dunia dengan baik dan akhirnya juga bagus.

Bahkan anak yang lahir daripada benih bapa dan ibu yang bertakwa serta takutkan Allah SWT yang berjaya dididik mengikut landasan agama akan menyelamatkan ibu bapanya daripada api neraka hanya dengan doa mereka.

Sudah tentu setiap ibu bapa ingin menyelamatkan anak daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, tetapi hasrat itu tidak akan tercapai tanpa usaha membimbing anak mentaati suruhan Allah SWT serta menjauhi larangan-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Didikan ibu bapa yang membimbing anak melalui teladan akhlak baik mampu membantu mereka bijak menilai apa yang baik atau buruk tanpa boleh dipengaruhi oleh sesiapa.

Ibu bapa tidak perlu takut merotan anak yang melakukan kesalahan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perintahkanlah anakmu melaksanakan solat pada usia mereka tujuh tahun dan pukullah mereka apabila enggan mengerjakannya pada usia 10 tahun.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Nabi tidak meminta anak dipukul sebelum usianya 10 tahun walaupun mereka melanggar perintah Allah SWT, tetapi mereka perlu sentiasa dinasihat dan dibimbing supaya proses pembentukan akhlak mulia dapat dilakukan dengan sempurna serta konsisten.

Ibu bapa yang tidak bertegas atau merotan anak kerana meninggalkan perintah Allah SWT selepas mereka berusia 10 tahun bakal mendepani anak yang tidak boleh ditegur jika melakukan kesalahan, tidak taat perintah Tuhan, serta keliru antara suruhan dan larangan agama.

Isnin, November 01, 2010

Wajib lulus Sejarah pupuk jati diri

KEPUTUSAN Kementerian Pelajaran menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu langkah yang tepat.


Pada pendapat saya, pelajar kini hanya menganggap mata pelajaran Sejarah sebagai subjek pelengkap dalam SPM dan tidak menghayati kepentingan subjek ini.

Sebenarnya, mata pelajaran ini adalah sangat penting dalam membentuk jati diri seseorang warga negara Malaysia. Menerusi mata pelajaran ini, kita dapat mengingati tarikh dan saat penting dalam perjuangan untuk pembentukan Malaysia yang kita semua sayangi. Dalam pemerhatian saya, tidak ramai pelajar yang dapat mengingati punca negara kita dijajah, kesan diterima rakyat ketika ditentang komunis dan kepentingan Perlembagaan Persekutuan.


Dapatlah disimpulkan jika penerapan mata pelajaran Sejarah ini dilakukan dengan berkesan, tidak mustahil pada masa akan datang, Malaysia dapat melahirkan rakyat lebih patriotik dan bersemangat nasionalisme tinggi.

Oleh itu, keputusan Kementerian Pelajaran ini haruslah disambut baik kerana sejarah penting dan perlu dikenang untuk kekalkan keharmonian

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails