' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, Mei 31, 2010

HARI POTENSI KEMAS NEGERI JOHOR 2010

Hari Potensi KEMAS Peringkat Negeri Johor yang berlangsung pada 27 Mei 2010 bermula jam 8.00 pagi di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat telah berjalan dengan jayanya. Terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program tersebut khasnya kepada pihak pengurusan UiTM yang sudi membenarkan KEMAS menggunakan segala kemudahan yang ada di UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat. 

Terima kasih juga diucapkan kepada YB. Datuk Haji Othman Bin Jais. Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, YB. Encik Ayub Bin Rahmat ADUN Kawasan Kemelah, Encik Azeman Bin Md. Yusof Pengarah KEMAS Negeri Johor kerana sudi melapangkan masa untuk sama-sama hadir ke majlis tersebut.


Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada para pemenang dalam kategori masing-masing. Terutamanya kepada KEMAS Batu Pahat yang telah menjadi Johan Keseluruhan bagi tahun 2010. Yang tidak berjaya diucapkan jangan berputusa asa dan tingkatkan usaha di tahun hadapan moga kejayaan akan mengiringi.

PKD Batu Pahat mengambil Piala Kejuaraan daripada YB. Datuk Othman Bin Jais
dan peserta KEMAS Batu Pahat bergambar bersama piala masing-masing

Pertandingan telah dimulakan jam 8.30 pagi mengikut acara pertandingan dan hanya ini gambar-gambar yang terpilih sempat kami rakamkan untuk tatapan anda semua.
                             

Semoga kita berjumpa lagi di tahun hadapan

Rabu, Mei 26, 2010

SELAMAT DATANG KE HARI POTENSI KEMAS NEGERI JOHOR

Kami Warga KEMAS Daerah Segamat mengalu-alukan kehadiran Pengarah serta kakitangan KEMAS seluruh negeri Johor, para petugas, para peserta serta tuan-tuan dan puan-puan ke Pertandingan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS Peringkat Negeri Johor bagi tahun 2010 pada 27 Mei 2010 bertempat di  UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat.

Tahun ini KEMAS Daerah Segamat telah dipilih menjadi tuan rumah bagi melaksanakan program tersebut dan UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat telah dipilih untuk mengadakan acara tersebut. Pertandingan akan diadakan dibeberapa lokasi yang mengikut acara yang telah ditentukan seperti berikut:


  • 1- Dewan Sri Temenggung - Pertandingan Tarian.


  • 2- Kolej Mutiara - Boneka Tangan.


  • 3- Kolej Baiduri - Nasyid.


  • 4- Bilik Kuliah LT1 - Story Telling.


  • 5- Bilik Kuliah LT2 - Pidato.


  • 6- Speaker Conner - Tilawah Lelaki & Perempuan.


  • 7- Bilik Seminar - Rekacipta.


  • 8- Dewan Seri Peria - Teater.
Berikut adalah pelan lakar untuk rujukan tuan-tuan dan puan-puan ke lokasi pertandingan. Pertandingan akan bermula pada jam 8.00 pagi dan pendaftaran akan dibuat di lokasi pertandingan.

Program akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Othman Bin Jais. Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor merangkap Ahli Undangan Negeri Johor Kawasan Buluh Kasap. Majlis perasmian dan penyampian hadiah akan dijadualkan bermula jam 2.30 petang di Dewan Sri Temenggung UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat.

Tuan-tuan dan puan-puan adalah dijemput dan dipersilakan hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi majlis kami.

Selasa, Mei 25, 2010

DI DOAKAN AGAR YB CEPAT SEMBUH


Warga KEMAS Daerah Segamat mendoakan semoga Yang Berhormat Abd Aziz Kaprawi agar segera sembuh dan dapat menjalankan tugas harian dengan jayanya.

YB. Abd Aziz kaprawi dijangka akan merasmikan program Hari Potensi KEMAS Peringkat Negeri Johor di Universiti Teknologi Mara ( Uitm ) Kampus Johor Segamat pada 27 Mei 2010. Disebabkan beliau tidak sihat maka perasmian majlis tersebut akan disempurnakan oleh YB. Datuk Haji Othman Bin Jais. Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor.
..........................................................................................................
Exco Johor sedar selepas pintasan jantung
Mei 24, 10 4:27pm

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Abd Aziz Kaprawi, yang selamat menjalani pembedahan pintasan jantung semalam, kini sudah sedar dan melepasi waktu kritikal.

Isteri beliau, Sabariah Tokimin yang ditemui di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, hari ini, berkata Abd Aziz, 51, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung, Sabtu lalu, bagaimanapun diletakkan di bawah pemerhatian doktor bagi tempoh 48 hingga 72 jam lagi sebelum dipindahkan ke wad biasa.

"Pagi ini beliau sudah sedar, buka mata dan boleh tersenyum. Itu bagi saya adalah petanda baik.

"Saya lihat keadaannya seperti biasa seperti mana pesakit baru menjalani pembedahan. Tiada pelawat dibenarkan masuk buat masa ini kecuali saya dan anak-anak," katanya.

Sabariah berkata, Abd Aziz sebelum ini pernah mengadu sakit dada tetapi dia beranggapan ADUN Parit Raja itu hanya kekurangan rehat.

Kesemua lima anak pasangan itu turut berada di hospital berkenaan dan antara kenamaan yang hadir ialah isteri Menteri Besar Johor, Datin Jamilah Ariffin.

- Bernama

Isnin, Mei 24, 2010

MEKANISME PERLAKSANAAN MBMMBI

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Menurutnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan.

``Mekanisme “soft landing” adalah melaksanakan P&P Sains dan Matematik dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah.

``Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil,'' jelas beliau.

Katanya, perlaksanaan dasar tersebut akan bermula pada 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

Walaubagaimanapun mekanisme “soft landing” akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa.


Jumaat, Mei 21, 2010

TAZKIRAH JUMAAT



AL HASIIBU, AL JALIILU, BERTAUBAT SEBELUM 3 PERKARA, KALIMAH ZIKIR RINGKAS PADAT, DUKACITA MUKMIN

Tazkirah Jumaat Dari Masje Jamek Kundasang Ranau, Sabah

FADHILAT ASMAUL HUSNA

41. AL HASIIBU : YANG MENGHISAB/MENGHITUNG

"Ya Hasiib!" Untuk memperteguhkan kedudukan yang telah kita jawat, amalkan zikir ini sebanyak 777 x sebelum matahari terbit & selepas solat Maghrib, InsyaAllah akan meneguhkan kedudukan kita tanpa sebarang gangguan.

42. AL JALIILU : YANG MAHA AGUNG DAN MULIA.

"Ya Jaliil!" Barangsiapa mengamalkan zikir ini pada sepertiga malam yang terakhir, InsyaAllah kita akan mendapati perubahaan yang mengkagumkan - perniagaan akan bertambah maju. Andai seorang pegawai, maka tanpa disedari kedudukan kita akan lebih tinggi dan terhormat & begitulah seterusnya dengan izin Allah.

BERTAUBATLAH SEBELUM DATANGNYA 3 PERKARA

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisaa: 110)

1. Bertaubatlah selagi nyawa dikandung badan dan belum sampai ke halkum.

Sabda Nabi s.a.w. lagi,”Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Riwayat At-Tirmizi)

Taubat Firaun tidak diterima kerana nyawanya sudah sampai ke halkum pada masa itu, lalu Malaikat Jibril menyumbat mulutnya dengan pasir:

Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu ‘anhuma meriwayatkan: “dua orang Sahabat menghadap Rasulullah (menanyakan tentang Fir’aun). Sabda Nabi s.a.w: “Malaikat Jibril menyumbat mulut Fir’aun dengan pasir, khuatir kalau-kalau akan mengucapkan: la ‘ilaha illa’l-lah” (Shahih, HR. Turmudzi Hadis riwayat Abu Hurairah ra.)

2. Bertaubatlah sebelum matahari terbit dari sebelah barat.

“Siapa yang bertaubat sebelum terbit matahari dari arah barat, nescaya Allah terima taubatnya” [Hadits Riwayat Muslim]

Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya (rahmatnya) di malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang bebuat dosa di siang hari, dan membentangkan tangan-Nya (rahmatnya) di siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di malam hari, sampai matahari terbit dari arah barat”. [Hadits Riwayat Muslim].

Rasulullah saw. bersabda: Hari Kiamat tidak akan terjadi sebelum matahari terbit dari barat..

3. Bertaubatlah sebelum Al-Quran dihilangkan.

Selagi Quran masih ada selagi itu diampunkan dosa kita. Pintu taubat masih terbuka selagi ayat-ayat quran yang dihafal belum dihilangkan dari dada orang Islam. Abdulllah bin Mas’ud berkata, “Sungguh, kelak Al-Quran akan dicabut dari dada kamu, dalam satu malam, dihilangkan dari hafalan semua orang, sehingga di bumi ini tidak tersisa lagi sedikitpun.” (HR. Thabrani)

Quran akan diangkat secara sekaligus ke langit di waktu malam dan bunyinya sewaktu peristiwa itu berlaku seperti bunyi deruan lebah. (Bunyi ayat-ayat diangkat itu seperti bunyi lebah) Pada masa itu mereka ini akan terasa seperti ‘ada benda’ yang pernah mereka baca tapi mereka tidak mampu membacanya lagi kerana semuanya sudah hilang dari ingatan. Lalu mereka bersyair sepertimana kebiasaan Arab Jahiliyyah dahulu. Jika semua ini berlaku, ini bermakna kiamat sudah tersangat dekat. ( selanjutnya )

Khamis, Mei 20, 2010

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Falsafah pendidikan negara  menggariskan, ' Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawap dan berusaha mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara '.

Falsafah ini menggariskan tiga bidang utama yang meliputi aspek keperluan individu, negara dan ekonomi iaitu perkembangan individu secara menyeluruh, perpaduan rakyat dan kemakmuran negara.

Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara. Adalah hasrat kerajaan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dan berkualaiti untuk perkembangan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara.

Pendidikan berperanan penting dalam menjayakan wawasan negara demi untuk mencapai taraf negara maju sepenuhnya dari segi kemajuan ekonomi,keadilan sosial dan kekuatah rohani, moral dan etika ke arah mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, demokratik, liberal dan dinimik.

  •  Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama.

  • Kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama.

  • Pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif.

  • Memupuk perpaduan melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsiprinsip Rukun Negara.

Ahad, Mei 16, 2010

SELAMAT HARI GURU - CIKGU !


Assalamualaikum semua,


Akhirnya dapat kita bertemu pada tanggal 16 Mei 2010 iaitu hari guru buat semua guru di Dunia! Dengan ini kami warga KEMAS Sekijang ingin mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guru-guru di luar sana.

Terima Kasih sekali lagi kepada semua cikgu-cikgu . Jangan sesekali lupakan jasa cikgu di pra-sekolah daripada KEMAS, Perpaduan dan lain-lainya. Merekalah yang mengajar kita mengenal huruf, mengeja, membaca dan mengira. Juga jangan lupa lepada cikgu di sekolah rendah yang mengajar aku hingga mendapat straight A untuk UPSR, Beberapa A untuk PMR dan kerana mengajar kita tanpa jemu untuk keputusan SPM yang kita perolihi hingga ke jawatan yang kita ada sekarang ini. Ini semuanya berkat jasa dan pengorbanan cikgu-cikgu kita dahulu.

Harapan kami kepada cikgu-cikgu semuanya agar terus berusaha tanpa jemu untuk melahirkan lebih ramai insan yang cemerlang bagi menentukan maruah bangsa, agama dan negara di masa akan datang. Jadilah contoh yang terbaik kepada anak murid kita.

Generasi sekarang lebih terdedah dengan pelbagai gejala sosial, mudah lupa diri dan lupa sejarah bangsa. Pupuklah mereka dengan semailah nilai-nilai murni supaya mereka yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara yang cemerlang gemilang dan terbilang.

Akhirnya :

   

Khamis, Mei 13, 2010

RUKUN NEGARA



Rukun Negara Amalan Hidup Rakyat Malaysia Disamping Memelihara Keharmonian Rakyat Malaysia.

Sejak dari bangku sekolah, Rakyat negara ini didedahkan dengan semangat prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat pelbagai bahasa, agama dan bangsa di negara ini. Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip itu adalah resipi kejayaan negara dalam menyatupadukan rakyatnya.

Bagaimanapun, dewasa ini penghayatan Rukun Negara semakin terhakis dalam jiwa rakyat Malaysia khususnya apabila mereka dewasa. Keadaan ini menyebabkan generasi sekarang seakan hilang jati diri mereka dan mudah terikut-ikut budaya asing. Gejala sosial yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini juga dikatakan sedikit sebanyak berpunca daripada penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara.

Bahawasanya, Negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak :

Mencapai perpaduan yang lebih erat dikalangan seluruh masyarakat;

Memelihara satu cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dinikmati bersama secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara yang libral terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;

Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sais dan teknologi moden;

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut :

  • Kepercayaan kepada Tuhan

  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara

  • Keluhuran Perlembagaan

  • Kedaulatan Undang-Undang

  • Kesopanan dan Kesusilaan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails