' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Jumaat, Ogos 27, 2010

PERTAHANKAN WARIS MERDEKA

Tanyalah kepada generasi pasca merdeka, apakah kemerdekaan yang mereka fahami pada hari ini. Kita pasti akan mendengar jawapan merdeka ialah apabila negara bebas dari penaklukan dan cengkaman penjajah. Tidak ada yang salah pada jawapan ini kerana jawapan tersebut adalah benar.

Namun bagi golongan pasca merdeka ini, adakah kita benar-benar memahami perjuangan mendapatkan kemerdekaan tersebut? Suka duka yang ditempoh generasi terdahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk negara dan untuk kita dan anak-anak yang tercinta.

Berjuang bukan sekadar mengangkat senjata. Berjuang bukan sekadar berpadu suara. Berjuang bergabung minda dan tenaga demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Kedatangan tarikh keramat bagi negara pada tahun 2010 ini bagai satu rahmat kerana jatuhnya pada bulan yang sungguh mulia bagi umat Islam, bulan Ramadan.

Bulan di mana semua pintu keberkatan, kebaikan dan kemuliaan dibuka seluas-luasnya bagi manusia menginsafi dan memperbaiki diri agar kita menyedari bahawa nikmat kemerdekaan itu sungguh besar, biarpun bukan kita yang berusaha mendapatkannya.

Kemakmuran bulan Ramadan yang dinikmati hari ini memperlihatkan rakyat berbilang agama semakin matang dalam menghormati tuntutan bulan yang mulia ini.

Dalam kebanyakan majlis berbuka puasa yang dianjurkan, kita pasti melihat kelibat rakan-rakan yang berlainan agama memberi penghormatan dan sokongan dengan menghadirkan diri. Nikmat rezeki dikongsi dengan harapan agar penyatuan ini berkekalan untuk selama-lamanya.

Usia negara yang menginjak kepada 53 tahun seharusnya menyedarkan kita bahawa biarpun tidak sama, tidak bermakna kita goyah. Biar berbeza pendapat, tidak bermakna tidak boleh sepakat.

Semangat kekitaan perlu disemai kerana bumi yang bertuah ini bukanlah tempat untuk beradu siapa lebih kaya, siapa lebih berkuasa. Benar, kita berbeza daripada mereka. Namun kekuatan kita yang sebenar ialah, kita ada satu sama lain.

Dunia tanpa sempadan hari ini adalah cabaran utama generasi pasca merdeka dalam memikul tanggungjawab untuk mencorakkan negara. Andai kita lemah, lemahlah negara. Andai kita buta sejarah, hancurlah perpaduan yang disemai datuk nenek kita terdahulu.

Modenisasi bukan alasan untuk lupa bertutur dalam bahasa kabangsaan, lupa bertatasusila ketimuran dan lupa kepada asal usul terbentuknya sebuah negara bernama Malaysia.

Kecelaruan tafsiran modenisasi ini menyebabkan ia menjadi punca kepada masyarakat bersikap hedonisme dan individualistik. Kesenangan dan kenikmatan duniawi menjadi matlamat utama biarpun menyimpang daripada ajaran agama dan budaya.

Penjajahan sejak sebelum merdeka rupanya masih belum tamat. Kita melihat lahirnya ramai generasi yang berkiblatkan wang yang tidak mempeduli kesan buruk cara hidup tersebut atas alasan modenisasi.

Kita juga terpanar melihat ramainya anak-anak lahir tanpa bapa dengan alasan kebebasan hidup individu. Inikah kenikmatan kemerdekaan yang kita dambakan?

Atas alasan lebih telus dan adil yang lemah tetap jauh tertinggal kerana tidak punya kekuatan daya bersaing. Manakala yang kaya bertambah kaya. Begitulah keadilan dalam kapitalisme yang berjaya menguasai minda lalu membutakan mata hati kita untuk melihat bahawa hidup bernegara bukanlah sekadar memenuhi 'satu perut' semata-mata. 'Cukup makan sudah' jangan dijadikan budaya hidup.

Menjadi sebahagian dari golongan belia pasca merdeka menuntut kita supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari kesenangan dan kekayaan supaya yang lebih itu dapat kita kongsi bersama mereka yang tidak berpeluang menikmatinya.

Islam tidak pernah menghalang umatnya mencari kekayaan dengan sebanyak-banyaknya namun harus menjadi ummatan wasatan dengan menyeimbangkan tuntutan dunia dan akhirat. Bahkan, memelihara kekayaan harta benda di dunia ini merupakan salah satu daripada lima objektif syariah yang perlu dijaga oleh umat Islam.

Sesungguhnya mempertahankan sesuatu itu lebih payah daripada usaha mendapatkannya. Begitulah jua dengan kemerdekaan bagi negara ini dan perpaduan di antara semua kaumnya.

Bukan sehari dua masa diambil untuk menyemaikannya. Tetapi hanya dengan sekelip mata kita boleh memusnahkannya.

Semua ini bakal terjadi sekiranya perasaan saling menghormati kian hilang, diganti perasaan curiga apatah lagi jika agama dibuat taruhan. Tidak mustahil apa yang kita miliki pada hari ini tidak akan dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Lalu apakah sebenarnya kemerdekaan yang kita, generasi pasca merdeka fahami. Cukupkah memadai pengertiannya sebagai kebebasan daripada cengkaman penjajah?

Apakah kemerdekaan itu perlu bergantung kepada sejauh mana negara menyerap modenisasi dan liberalisasi yang bertunjangkan acuan Barat? Atau mungkin jua kemerdekaan itu hanya perlu dilihat pada pembangunan fizikal semata-mata dan bukan pada pembangunan rohani rakyatnya?

Kemerdekaan adalah satu perjuangan yang belum selesai. Perjuangan yang sentiasa menuntut kepada kemakmuran, kekuasaan dan keselesaan tetapi bukanlah hanya untuk kehidupan kita semata-mata dan bukan jua bagi kepentingan orang yang tertentu sahaja.

Perjuangan ini sebenarnya bekalan buat anak-anak kita pada masa akan datang. Tidak malukah kita kepada generasi terdahulu yang bermati-matian demi kita berjuang untuk mewariskan bumi ini kepada kita yang belum pun lahir?

Tidak malukah kita meminjam tanah air ini daripada generasi akan datang dan pulangkan kepada mereka dalam keadaan kusut dan berpecah-pecah? Tepuk dada tanyalah minda, merdekakah sudah diri kita?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails