Saya ingin melontarkan sedikit pandangan dan cadangan kepada pihak kerajaan agar segera menangani isu pembuangan bayi yang semakin serius berlaku sejak akhir-akhir ini. Sebenarnya pada pandangan saya, gejala pembuangan bayi ini bermula dengan perbuatan zina. Perbuatan zina yang berleluasa pada masa ini majoritinya dilakukan oleh pasangan remaja yang gemarkan hidup bebas, menjauhi amalan agama, dihinggapi kejahilan dan juga pengaruh media yang begitu hebat menerpa dari segenap sudut.
Faktor persekitaran yang mempengaruhi seperti penggunaan media Internet secara tidak terkawal adalah penyumbang terbesar terhadap isu pembuangan bayi.
Oleh itu saya mencadangkan agar kerajaan menutup dan mengharamkan terus laman-laman web berunsur lucah dan keterlaluan yang banyak terdapat di Internet masa ini. Sudah sampai masanya kerajaan mengambil pendekatan seperti ini kerana ia cara paling kontan untuk mengatasi masalah pembuangan bayi.
Remaja Malaysia yang terlibat dalam kes ini majoritinya adalah remaja Melayu. Seharusnya kita selamatkan mereka segera. Amat tidak patut kita sekadar melihat dan berdoa atau menggeleng-gelengkan kepala tanpa diikuti dengan tindakan pantas. Kita tidak mahu melihat masa remaja mereka dikotori dengan gambar-gambar porno, 3gp lucah, video ghairah yang melambak di web lucah Internet.
Era globalisasi menjadikan remaja kita terdedah kepada semua maklumat tanpa sempadan. Apakah maklumat yang tidak berguna juga ingin kita beri pada mereka? Anggaplah tindakan menutup laman-laman web porno ini sebagai satu jihad menentang hawa nafsu di bulan Ramadan yang mulia ini.
Adakah kita rela melihat ribuan anak luar nikah lahir dengan hanya sekadar menyediakan sekolah hamil atau rumah perlindungan sahaja? Atau adakah kita rela 20 atau 30 tahun akan datang kita ditadbir oleh generasi yang tidak mempunyai bin atau binti?
Selain menutup seluruh laman web lucah di Internet tanpa kompromi, kerajaan mestilah memperbanyakkan institusi agama di Malaysia. Remaja mesti didedahkan kepada agama sebagai pendinding diri dan mengenal halal dan haram. Secara nyata ramai remaja tidak dapat bersekolah agama menengah bantuan kerajaan sedangkan ibu bapa mereka tersangat ingin menghantar mereka ke sekolah agama sebegini.
Sekolah agama menengah persendirian yang ada tidak mampu diikuti oleh mereka kerana kos perbelanjaan yang tinggi setiap bulan.
Menurut pengamatan saya di Selangor sahaja sekolah agama menengah bantuan kerajaan tidak sampai 30 buah (kalau tidak silap). Sedangkan sekolah menengah yang bukan berorientasikan agama cukup banyak jumlahnya mungkin melebihi 200 buah.
Saya bukan bermaksud ilmu yang tidak berkaitan agama itu tidak baik, tetapi seharusnya mereka diberi peluang menimba ilmu agama kepada yang berminat. Saya merasakan saban tahun ribuan pelajar remaja Melayu tidak dapat meneruskan pelajaran agama mereka di peringkat menengah kerana kekangan daripada segi kekurangan sekolah agama bantuan kerajaan di peringkat ini. Ini terjadi kepada anak saya sendiri yang terpaksa merayu untuk belajar di sekolah agama bantuan kerajaan. Sedangkan sepatutnya peluang mereka menimba ilmu agama dibuka seluas-luasnya dan dibantu sebanyak mungkin yang terdaya.
Kesimpulan yang dapat saya nyatakan di sini ialah penutupan laman-laman web lucah adalah langkah segera demi untuk menangani gejala kelahiran anak luar nikah.
Penambahan sekolah menengah agama bantuan kerajaan pula adalah strategi jangka panjang bagi memberi peluang dan pendedahan menyeluruh kalangan remaja untuk mengamalkan hidup beragama dan menolak amalan hidup bebas. Mudahan-mudahan usaha kita mendapat keredaanNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan