' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, Ogos 30, 2010

JIWA PATRIOTIK RAKYAT SEMAKIN TIPIS !

ESOK, 31 Ogos, sekali lagi kita akan merayakan ulang tahun kemerdekaan negara. Sepatutnya, pada ulang tahun kemerdekaan seperti ini, setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama, usia atau fahaman politik, menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Rakyat pelbagai kaum di negara ini, walaupun sentiasa disogok dengan politik perkauman oleh golongan tertentu, masih dapat hidup bersama dalam suasana aman dan sejahtera. Rakyat Malaysia juga harus bersyukur kerana negara ini tidak ditimpa bencana besar ketika hampir separuh kawasan di muka bumi ini mengalami pelbagai musibah akibat perubahan cuaca dan kepanasan dunia. Begitupun, kita wajar bertanya kepada diri kita, walau apa pun keturunan dan agama, adakah kita bersyukur dengan apa yang kita ada, walaupun masih banyak yang kita inginkan dan perlu diperbaiki? Jika beberapa ‘perbalahan’ dan ‘tuntutan’ kita sejak kebelakangan ini dan kelesuan dari segi penyertaan umum terhadap sambutan kemerdekaan tahun ini, jawapannya kita kurang bersyukur atau tidak bersyukur langsung.

Kita semakin mengambil mudah soal perpaduan dan melupai sejarah yang menyatukan kita untuk mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu. Sebaliknya, kita semakin sibuk membicarakan isu membabitkan kaum sehingga setiap rancangan kerajaan dilihat dari sudut perkauman.

Tempoh selama lebih setengah abad, yang sepatutnya menyaksikan perpaduan rakyat pelbagai kaum lebih utuh, sebaliknya semakin rapuh. Kita masih mencurigai antara satu sama lain dengan semangat perkauman yang semakin menebal. Pemimpin politik lebih cenderung menyuarakan tuntutan berasaskan kepentingan kelompok dan kaum masing-masing daripada memikirkan kepentingan negara.

Apabila kepentingan kaum melebihi keutamaan terhadap negara, kita tidak boleh melenting jika ada pihak yang mempersoalkan sejauh mana semangat patriotisme kita, walaupun sekadar keikhlasan untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Contoh paling mudah ialah amalan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sebulan sambutan hari kebangsaan. Itu adalah cara paling mudah untuk kita sebagai rakyat, menunjukkan rasa cinta kepada negara, tetapi berapa ramai yang berbuat demikian.

Kita boleh menjadikan bulan puasa sebagai alasan untuk mengadakan sambutan secara sederhana esok. Tetapi apakah alasan gedung-gedung perniagaan, pencakar langit milik swasta dan rumah kediaman yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang seperti digalakkan oleh kerajaan setiap kali sambutan kemerdekaan?

Apakah kerana kali ini kerajaan menyambutnya secara sederhana, maka mereka tidak perlu mengibar bendera? Adakah kerana tiada syarikat yang menyertai kempen mengibar Jalur Gemilang dengan memberikan bendera percuma, kita tidak mampu membeli bendera? Atau mungkinkah keghairahan gedung perniagaan ini mengaut keuntungan sempena Aidilfitri yang bakal tiba, menyebabkan mereka lupa mengenai bendera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails