Warga KEMAS Kawasan Sekijang mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ' Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Dan Batin ' kepada semua pengunjung blog KEMAS Sekijang sejak 15 September 2009.
Kemaafan dipohon kiranya hampir setahun KEMAS Sekijang menyampaikan terbitan untuk tatapan anda semua ada yang meyinggung hati dan perasaan anda semua, tetapi itu semuanya adalah aktiviti serta pandangan yang benar untuk kami sampaikan. Semoga KEMAS Sekijang sentiasa dihati anda semuanya dan KEMAS berada dimana-mana.
Akhirnya ada firman Allah untuk kita renungkan bersama,
FIRMAN Allah bermaksud: “...dan hendaklah kamu bertakbir (membesarkan) Allah di atas hidayah yang dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)
Pada penghujung ayat ini, ada perintah Allah berhubung pengisian amalan salih sepanjang Ramadan dan pada Aidilfitri iaitu hari membesarkan Allah dan bersyukur kepada-Nya atas segala kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhitung. Pada Ramadan yang berkat ini, umat Islam disaran memperbanyakkan ibadat seperti solat Tarawih, membaca al-Quran, bersedekah dan beriktikaf. Begitu juga Aidilfitri, umat Islam digalakkan bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadat puasa sebulan Ramadan. Aidilfitri secara harfiahnya membawa pengertian kembali kepada fitrah dan kesucian semula jadi. Kesucian mewarnai perhiasan lahiriah dan batiniah kehidupan Muslim mengungkapkan dua makna cukup mendalam dalam hidup seseorang Muslim iaitu makna spiritual dan sosial.
Secara spiritual, seseorang Muslim kembali kepada fitrah dan kesucian melambangkan dia sudah bersih daripada segala dosa seumpama bayi baru lahir ke alam dunia ini, terutama setelah selesai melaksanakan ibadat puasa sepanjang Ramadan dengan penuh keimanan.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampuni segala dosanya seumpama bayi baru lahir dari rahim ibunya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Justeru, Muslim yang berpuasa sebenarnya dididik dan diasuh untuk tunduk serta patuh terhadap segala perintah supaya ibadat puasanya diterima Allah. Pada masa sama, dia juga dididik dan diasuh tidak melanggar batasan mengendalikan hawa nafsu selaras kehendak-Nya.
Di samping itu, menjalani ibadat puasa selama sebulan mampu mencetuskan pengalaman kerohanian yang berharga dan cukup berkesan kerana setiap Muslim ternyata berupaya mengendalikan hawa nafsunya serta sudah terbiasa melakukan ketaatan kepada Allah.
Paling penting sekali deria rasa keinsafan dan kesedaran yang berbekas dalam jiwa sanubari akan kehadiran atau pengawasan Allah terhadap segala lintasan hati, tutur kata juga perbuatannya. Pengalaman dan perolehan berharga seperti inilah membawa seseorang itu kembali kepada kesucian dan fitrah sejati saat tibanya hari lebaran Aidilfitri penuh keceriaan.
Kesucian dari sudut sosial, tersingkap ruang lingkup pengertian jauh lebih luas dan mendalam menuntut satu tindakan mencerminkan satu cara hidup syumul dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat.
Ditinjau dari segi makna sosial, manusia kembali kepada fitrah dan darjat kesucian bermaksud, tidak ada lagi perbezaan kelas sosial, keturunan, pangkat dan kedudukan. Setiap manusia sama dari segi kedudukan dan asal usulnya.
Aidilfitri secara sosial berupaya menjulang nilai kemanusiaan hingga setiap manusia memandang kelompok manusia lain sebagai makhluk yang sama taraf dan kedudukan. Orang yang kembali kepada fitrah bersedia berbuat baik kepada dirinya dan juga orang lain.
Ketika menyambut Aidilfitri, ada beberapa adab perlu diraikan berdasarkan sunnah Rasulullah. Setiap Muslim disunatkan mandi dan makan dulu sebelum keluar menunaikan solat Aidilfitri.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Rasulullah tidak keluar pada pagi hari Aidilfitri, sehinggalah baginda makan terlebih dulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Hadis riwayat Bukhari)
Di samping itu, umat Islam dianjurkan bertakbir pada hari raya kerana termasuk sunnah yang agung. Waktu bertakbir Aidilfitri bermula pada malam raya sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan