' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, September 27, 2010

BANTU MEMBANTU ADALAH AMALAN MULIA

Masyarakat negara ini memang terkenal dengan semangat prihatin dan sudah lama mengamalkan sikap bantu membantu antara satu sama lain hingga merentas sempadan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, nilai murni itu jika tidak disemai secara istiqamah akan merosot terutama kepada anak muda serta remaja. Oleh itu, galakan perlu dipertingkatkan dengan menganjurkan program amal membabitkan pelbagai lapisan masyarakat negara ini. Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program bantuan amal ke pelbagai negara bagi membantu rakyat yang menjadi mangsa konflik peperangan dan musibah akibat bencana alam mengembalikan masyarakat kepada tuntutan agama untuk sentiasa saling bantu membantu. Peribahasa Melayu mengatakan, cubit paha kanan, paha kiri terasa. Maka, begitu juga halnya hidup di dunia ini, perlu ada rasa simpati dan empati terhadap nasib malang dialami masyarakat di negara lain.

Daripada Ibnu Umar, seorang lelaki menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling dicintai Allah, dan amal apakah yang paling dicintai Allah? Rasulullah SAW menjawab: Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam diri seorang Muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunasi hutang atau menghilangkan kelaparan.”

Oleh itu, tampilnya rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat bersama berkorban tenaga, wang ringgit, nyawa dan masa untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara lain yang ditimpa malapetaka adalah amalan mulia yang perlu dipergiatkan.

Inilah gambaran kesungguhan rakyat Malaysia menyahut seruan agama supaya menjadi insan yang bermanfaat kepada manusia lain. Usaha memupuk dan menggarap nilai kemanusiaan perlu menjadi agenda pendidikan dalam kalangan orang Islam.

Langkah ini dapat mengikis sifat individualistik dan rasa ego dalam diri untuk melahirkan insan yang sentiasa prihatin terhadap orang lain. Orang Islam yang mempunyai rasa simpati dan empati terhadap nasib malang orang lain adalah kumpulan yang ‘kaya hatinya’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails