Ramadan akan berlalu pergi. Ada orang yang duka kerana tidak puas beribadat pada bulan al-mubarak dan al-kareem anugerah Allah SWT yang hebat ini. Ada orang gembira kerana tidak sabar menunggu perayaan. Ada yang mersakan puasa itu dirasakan suatu beban. Apa pun itulah sikap dan tabiat manusia.
Keindahan suasana pada pagi hari Aidilfitri itu sudah terbayang. Umat Islam akan berkumpul di serata masjid dan musolla, di seluruh dunia Islam. Mereka menggemakan alunan syahdu takbir dan tahmid, himpunan umat seagama dengan satu iman. Mereka datang untuk rukuk dan sujud kepada-Nya.
Anak-anak desa di perantaun pulang ke pangkuan ibu bapa, menemui sanak saudara dan ziarah. Bagi mereka yang tidak dapat pulang akan merasa sedih dan sebak dada setiap mendengar takbir dan tahmid, terbayang kemeriahan sambutan dan keindahan, tetapi tanpa sedar air mata menitis hiba. Takbir itu suara tanda kemenangan menempuh ujian nafsu dan mengalahkan syaitan, musuh utama manusia.
Aidilfitri membawa peluang keemasan dengan kebesarannya yang tersendiri. Umat Islam menyambut dua panggilan hari kebesaran setiap tahun, Aidilfitri dan Aidiladha. Kenapa tidak, sesuai dengan kebesaran Aidilfitri itu setiap diri kita mengambil peluang mengukuhkan persaudaraan Islam dan menghangatkan hubungan silaturrahim.
Hubungan sesama Melayu dan umat Islam kini semakin dingin. Keretakan lama mulai mengalami perpecahan. Jadi ikat dan eratkan semula tali persaudaraan Islam dan ukhuwah Islamiyah itu. Jika boleh, kita bukan sahaja bermaaf-maafan antara suami isteri, anak-anak dengan ibu bapa, anggota keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga, tetapi perluaskan antara kelompok para pemimpin. Gantikan permusuhan, perbalahan dan kebencian itu dengan rasa kasih sayang yang mendalam. Jadikan semangat penerimaan dan roh Aidilfitri itu benar-benar berkesan dalam kehidupan kita beragama, berbangsa dan bernegara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan