' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Selasa, Ogos 31, 2010

HARI KEMERDEKAAN KE -53

Kontenjen KEMAS Daerah Segamat
Sambutan Hari kemerdekaan bagi Daerah Segamat disambut dengan cara sederhana tetapi meriah. Majlis telah diadakan di Dewan Jubli Intan Jalan Genuang Segamat yang dihadiri oleh Wakil YAB. Menteri Besar Johor iaitu YB. Datuk Ahmad Zahri Jamil. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri Johor.

Antara ucapanya " Saya mendoakan Malaysia kekal aman sejahtera selama-lamanya san saya amat berharap agar generasi muda memahami erti kemerdekaan yang sebenar, bukan sahaja sekadar melaungkan kemerdekaan semata-mata tetapi juga menghayati konsep kemerdekaan yang selama ini dikecapi."

Diakhiri dengan laungan " Merdeka Merdeka Merdeka "

Isnin, Ogos 30, 2010

JIWA PATRIOTIK RAKYAT SEMAKIN TIPIS !

ESOK, 31 Ogos, sekali lagi kita akan merayakan ulang tahun kemerdekaan negara. Sepatutnya, pada ulang tahun kemerdekaan seperti ini, setiap rakyat tanpa mengira bangsa, agama, usia atau fahaman politik, menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Rakyat pelbagai kaum di negara ini, walaupun sentiasa disogok dengan politik perkauman oleh golongan tertentu, masih dapat hidup bersama dalam suasana aman dan sejahtera. Rakyat Malaysia juga harus bersyukur kerana negara ini tidak ditimpa bencana besar ketika hampir separuh kawasan di muka bumi ini mengalami pelbagai musibah akibat perubahan cuaca dan kepanasan dunia. Begitupun, kita wajar bertanya kepada diri kita, walau apa pun keturunan dan agama, adakah kita bersyukur dengan apa yang kita ada, walaupun masih banyak yang kita inginkan dan perlu diperbaiki? Jika beberapa ‘perbalahan’ dan ‘tuntutan’ kita sejak kebelakangan ini dan kelesuan dari segi penyertaan umum terhadap sambutan kemerdekaan tahun ini, jawapannya kita kurang bersyukur atau tidak bersyukur langsung.

Kita semakin mengambil mudah soal perpaduan dan melupai sejarah yang menyatukan kita untuk mencapai kemerdekaan 53 tahun lalu. Sebaliknya, kita semakin sibuk membicarakan isu membabitkan kaum sehingga setiap rancangan kerajaan dilihat dari sudut perkauman.

Tempoh selama lebih setengah abad, yang sepatutnya menyaksikan perpaduan rakyat pelbagai kaum lebih utuh, sebaliknya semakin rapuh. Kita masih mencurigai antara satu sama lain dengan semangat perkauman yang semakin menebal. Pemimpin politik lebih cenderung menyuarakan tuntutan berasaskan kepentingan kelompok dan kaum masing-masing daripada memikirkan kepentingan negara.

Apabila kepentingan kaum melebihi keutamaan terhadap negara, kita tidak boleh melenting jika ada pihak yang mempersoalkan sejauh mana semangat patriotisme kita, walaupun sekadar keikhlasan untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Contoh paling mudah ialah amalan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sebulan sambutan hari kebangsaan. Itu adalah cara paling mudah untuk kita sebagai rakyat, menunjukkan rasa cinta kepada negara, tetapi berapa ramai yang berbuat demikian.

Kita boleh menjadikan bulan puasa sebagai alasan untuk mengadakan sambutan secara sederhana esok. Tetapi apakah alasan gedung-gedung perniagaan, pencakar langit milik swasta dan rumah kediaman yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang seperti digalakkan oleh kerajaan setiap kali sambutan kemerdekaan?

Apakah kerana kali ini kerajaan menyambutnya secara sederhana, maka mereka tidak perlu mengibar bendera? Adakah kerana tiada syarikat yang menyertai kempen mengibar Jalur Gemilang dengan memberikan bendera percuma, kita tidak mampu membeli bendera? Atau mungkinkah keghairahan gedung perniagaan ini mengaut keuntungan sempena Aidilfitri yang bakal tiba, menyebabkan mereka lupa mengenai bendera.

Jumaat, Ogos 27, 2010

PERTAHANKAN WARIS MERDEKA

Tanyalah kepada generasi pasca merdeka, apakah kemerdekaan yang mereka fahami pada hari ini. Kita pasti akan mendengar jawapan merdeka ialah apabila negara bebas dari penaklukan dan cengkaman penjajah. Tidak ada yang salah pada jawapan ini kerana jawapan tersebut adalah benar.

Namun bagi golongan pasca merdeka ini, adakah kita benar-benar memahami perjuangan mendapatkan kemerdekaan tersebut? Suka duka yang ditempoh generasi terdahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk negara dan untuk kita dan anak-anak yang tercinta.

Berjuang bukan sekadar mengangkat senjata. Berjuang bukan sekadar berpadu suara. Berjuang bergabung minda dan tenaga demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Kedatangan tarikh keramat bagi negara pada tahun 2010 ini bagai satu rahmat kerana jatuhnya pada bulan yang sungguh mulia bagi umat Islam, bulan Ramadan.

Bulan di mana semua pintu keberkatan, kebaikan dan kemuliaan dibuka seluas-luasnya bagi manusia menginsafi dan memperbaiki diri agar kita menyedari bahawa nikmat kemerdekaan itu sungguh besar, biarpun bukan kita yang berusaha mendapatkannya.

Kemakmuran bulan Ramadan yang dinikmati hari ini memperlihatkan rakyat berbilang agama semakin matang dalam menghormati tuntutan bulan yang mulia ini.

Dalam kebanyakan majlis berbuka puasa yang dianjurkan, kita pasti melihat kelibat rakan-rakan yang berlainan agama memberi penghormatan dan sokongan dengan menghadirkan diri. Nikmat rezeki dikongsi dengan harapan agar penyatuan ini berkekalan untuk selama-lamanya.

Usia negara yang menginjak kepada 53 tahun seharusnya menyedarkan kita bahawa biarpun tidak sama, tidak bermakna kita goyah. Biar berbeza pendapat, tidak bermakna tidak boleh sepakat.

Semangat kekitaan perlu disemai kerana bumi yang bertuah ini bukanlah tempat untuk beradu siapa lebih kaya, siapa lebih berkuasa. Benar, kita berbeza daripada mereka. Namun kekuatan kita yang sebenar ialah, kita ada satu sama lain.

Dunia tanpa sempadan hari ini adalah cabaran utama generasi pasca merdeka dalam memikul tanggungjawab untuk mencorakkan negara. Andai kita lemah, lemahlah negara. Andai kita buta sejarah, hancurlah perpaduan yang disemai datuk nenek kita terdahulu.

Modenisasi bukan alasan untuk lupa bertutur dalam bahasa kabangsaan, lupa bertatasusila ketimuran dan lupa kepada asal usul terbentuknya sebuah negara bernama Malaysia.

Kecelaruan tafsiran modenisasi ini menyebabkan ia menjadi punca kepada masyarakat bersikap hedonisme dan individualistik. Kesenangan dan kenikmatan duniawi menjadi matlamat utama biarpun menyimpang daripada ajaran agama dan budaya.

Penjajahan sejak sebelum merdeka rupanya masih belum tamat. Kita melihat lahirnya ramai generasi yang berkiblatkan wang yang tidak mempeduli kesan buruk cara hidup tersebut atas alasan modenisasi.

Kita juga terpanar melihat ramainya anak-anak lahir tanpa bapa dengan alasan kebebasan hidup individu. Inikah kenikmatan kemerdekaan yang kita dambakan?

Atas alasan lebih telus dan adil yang lemah tetap jauh tertinggal kerana tidak punya kekuatan daya bersaing. Manakala yang kaya bertambah kaya. Begitulah keadilan dalam kapitalisme yang berjaya menguasai minda lalu membutakan mata hati kita untuk melihat bahawa hidup bernegara bukanlah sekadar memenuhi 'satu perut' semata-mata. 'Cukup makan sudah' jangan dijadikan budaya hidup.

Menjadi sebahagian dari golongan belia pasca merdeka menuntut kita supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari kesenangan dan kekayaan supaya yang lebih itu dapat kita kongsi bersama mereka yang tidak berpeluang menikmatinya.

Islam tidak pernah menghalang umatnya mencari kekayaan dengan sebanyak-banyaknya namun harus menjadi ummatan wasatan dengan menyeimbangkan tuntutan dunia dan akhirat. Bahkan, memelihara kekayaan harta benda di dunia ini merupakan salah satu daripada lima objektif syariah yang perlu dijaga oleh umat Islam.

Sesungguhnya mempertahankan sesuatu itu lebih payah daripada usaha mendapatkannya. Begitulah jua dengan kemerdekaan bagi negara ini dan perpaduan di antara semua kaumnya.

Bukan sehari dua masa diambil untuk menyemaikannya. Tetapi hanya dengan sekelip mata kita boleh memusnahkannya.

Semua ini bakal terjadi sekiranya perasaan saling menghormati kian hilang, diganti perasaan curiga apatah lagi jika agama dibuat taruhan. Tidak mustahil apa yang kita miliki pada hari ini tidak akan dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Lalu apakah sebenarnya kemerdekaan yang kita, generasi pasca merdeka fahami. Cukupkah memadai pengertiannya sebagai kebebasan daripada cengkaman penjajah?

Apakah kemerdekaan itu perlu bergantung kepada sejauh mana negara menyerap modenisasi dan liberalisasi yang bertunjangkan acuan Barat? Atau mungkin jua kemerdekaan itu hanya perlu dilihat pada pembangunan fizikal semata-mata dan bukan pada pembangunan rohani rakyatnya?

Kemerdekaan adalah satu perjuangan yang belum selesai. Perjuangan yang sentiasa menuntut kepada kemakmuran, kekuasaan dan keselesaan tetapi bukanlah hanya untuk kehidupan kita semata-mata dan bukan jua bagi kepentingan orang yang tertentu sahaja.

Perjuangan ini sebenarnya bekalan buat anak-anak kita pada masa akan datang. Tidak malukah kita kepada generasi terdahulu yang bermati-matian demi kita berjuang untuk mewariskan bumi ini kepada kita yang belum pun lahir?

Tidak malukah kita meminjam tanah air ini daripada generasi akan datang dan pulangkan kepada mereka dalam keadaan kusut dan berpecah-pecah? Tepuk dada tanyalah minda, merdekakah sudah diri kita?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Khamis, Ogos 26, 2010

TERIMA KASIH BUAT PERDANA MENTERI


Kami seluruh kakitangan KEMAS Kawasan Sekijang mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kerana mengumumkan untuk memberian bantuan khas kewangan RM 500 kepada kakitangan awam khasnya KEMAS.

Keputusan kerajaan ini amat dihargai dalam mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara kerajaan dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini pada 10 September 2010.

Walaupun RM 500 itu tidak banyak mana pun tetapi ianya cukup bernilai kepada kakitangan awam yang berpendapat rendah.

Keperihatian kerjaan ini diucapkan tahniah dan kakitangan awam juga perlu bersyukur kepada Allah swt kerana mendapat kemurahan rezeki dalam bulan Ramadhan ini disamping mempunyai sebuah kerajaan yang mengambil kira kepentingan rakyat dalam banyak perkara.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails