' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Jumaat, Julai 30, 2010

MANAFAATKAN PELUANG PENDIDIKAN

Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak generasi muda terutama di kalangan pelajar supaya menggunakan segala peluang yang disediakan kerajaan dalam bidang pendidikan bagi mencapai kecemerlangan masing-masing.

Perdana Menteri berkata, segala peluang yang diperolehi itu merupakan manifesto jelas bahawa kerajaan sentiasa sedia membantu golongan itu mencapai kejayaan melalui peluang-peluang yang luas dalam bidang pendidikan.

"Baru-baru ini saya umumkan bahawa semua pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa mengira kaum.

"Ini adalah kerajaan yang akan mendengar apa yang diperlukan oleh rakyat dan saya percaya bahawa semua bersetuju bahawa pendekatan meritokrasi ini membuktikan bahawa saya dan barisan kepimpinan saya amat serius dalam melakukan transformasi yang selari dengan gagasan 1Malaysia," katanya di dalam blog www.1Malaysia. com.my.

Najib berkata, pada masa sama, dasar meritokrasi yang diamalkan itu juga membolehkan pelajar yang tidak berkemampuan dan kurang cemerlang turut berpeluang melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Sebagai contoh pelajar miskin mungkin tidak mencapai keputusan cemerlang tetapi dengan peluang yang disediakan kerajaan, mereka masih boleh mencapai kejayaan jika diberi peluang.

"Ini jelas menunjukkan bahawa apabila kita memberi peluang yang baik kepada pelajar-pelajar ini, sudah pasti mereka mampu untuk berjaya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan dalam masa yang sama turut mengatur inisiatif lain bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar di negara ini.

"Sebahagian simpanan yang kerajaan perolehi daripada pengurangan subsidi baru-baru ini akan turut disalurkan kepada lebih banyak peluang- peluang dalam bidang pendidikan," katanya.

Khamis, Julai 29, 2010

KISAH BURUNG PADAM API JADI IKTIBAR

DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim)

Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali. Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu. Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).

Selasa, Julai 27, 2010

BERSYUKURLAH ATAS APA YANG KITA ADA


Kisah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta

PADA suatu masa dahulu, terdapat tiga bersaudara daripada keturunan Bani Israel. Mereka hidup dalam kemiskinan dan sentiasa dihina. Salah seorang daripada tiga bersaudara itu digelar Si Sopak.

Dia digelar begitu kerana kulitnya dijangkiti penyakit sopak. Saudaranya yang kedua, botak kepalanya. Maka digelarnya Si Botak. Yang ketiga digelar Si Buta, kerana matanya buta.

Pada suatu hari, Si Sopak berkata: "Alangkah bahagianya aku jika kulitku sehalus sutera dan aku pula menjadi kaya."

Allah mendengar kata-kata itu dan mengutuskan malaikat pergi ke rumah Si Sopak dalam bentuk manusia. Malaikat itu bertanya kepada Si Sopak: "Apakah yang engkau inginkan?"

"Kulit yang halus dan sihat daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta agar aku boleh menternaknya nanti," kata Si Sopak.

Malaikat pun menyapu sekujur tubuh Si Sopak. Kulit Si Sopak pun berubah menjadi halus. Selepas itu, malaikat pun menyerahkan seekor unta yang sedang bunting kepada Si Sopak.

Malaikat seterusnya pergi ke rumah Si Botak pula. Si Botak sedang menyesali nasib dirinya yang malang. Kepalanya yang botak kelihatan berkilat.

"Apakah yang engkau inginkan, wahai Botak," tanya malaikat.

"Saya ingin sembuh daripada penyakit botak ini. Biarlah rambut yang halus dan lebat tumbuh. Aku juga inginkan lembu untuk dipelihara," kata Si Botak malu-malu.

Malaikat pun mengusap lembut kepala Si Botak. Dengan izin Allah, tumbuhlah rambut yang lebat. Wajahnya pula menjadi kacak. Malaikat pun menyerahkan seekor lembu betina bunting kepada Si Botak. Si Botak pun memeliharanya sehingga beranak pinak.

Kemudian malaikat pergi pula ke rumah Si Buta. Seperti dua saudaranya yang lain, malaikat bertanya apa yang Si Buta inginkan.

"Aku inginkan mataku yang buta ini disembuhkan oleh Allah. Maka dapatlah aku melihat saudara-saudaraku," kata Si Buta.

Malaikat pun mengusap mata Si Buta. Si Buta pun membuka mata dan alangkah terperanjatnya dia apabila dia sudah dapat melihat. Malaikat pun bertanya kekayaan apakah yang Si Buta inginkan, dan apabila Si Buta meminta kambing, malaikat juga menyerahkan seekor kambing yang sihat dan sedang bunting kepadanya.

Beberapa tahun kemudian, terkenallah ketiga-tiga orang bersaudara itu kerana kekayaan masing-masing. Ternakan mereka memenuhi ladang ternakan masing-masing.

Mereka sekarang sudah digelar Tuan Sopak, Tuan Botak dan Tuan Buta. Kekayaan mereka tersebar di kalangan Bani Israel.

Allah kemudian mengutuskan malaikat untuk turun ke bumi dalam rupa seorang pengemis. Mula-mula sekali, malaikat pergi ke rumah Tuan Sopak.

"Saya ini musafir yang miskin, tuan," kata malaikat. "Tiada bekal untuk pulang. Demi Allah yang mengurniakan paras yang indah dan harta yang banyak, berilah unta seekor kepada saya untuk teruskan perjalanan."

Tuan Sopak jijik melihat musafir di depannya itu. Maka dia pun berkata: "Aku harus menyelesaikan banyak hutang. Aku tidak boleh memberi apa-apa kepada kau.

"Moga Allah mengembalikan keadaan tuan yang asal," balas malaikat yang menyerupai pengemis itu.

Selepas malaikat tersebut beredar, Si Sopak menjadi seperti dahulu. Kulitnya kembali dijangkiti sopak. Ternakan untanya semakin hari semakin susut kerana mati. Akhirnya habislah semua harta kekayaannya.

Malaikat pergi menemui Tuan Botak pula untuk meminta sedekah, Tuan Botak memberi alasan yang sama dengan Tuan Sopak. Maka malaikat pun berdoa agar Allah menjadikan Tuan Botak seperti dulu.

Kepalanya pun menjadi botak kembali. Lembu Si Botak juga mati seekor demi seekor. Maka Si Botak pun kembali miskin.

Malaikat menemui Tuan Buta pula. Lelaki itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila malaikat meminta agar diberikan seekor kambing, Tuan Buta pun berkata: "Dulu aku seorang buta. Allah telah menyembuhkan mataku. Oleh itu, kau ambil mana-mana kambing yang engkau sukai untuk dibuat bekalmu."

Mendengar jawapan itu, malaikat pun berkata: "Jagalah hartamu baik-baik. Sebenarnya Allah hanya ingin mengujimu. Allah telah meredaimu, sedangkan saudara-saudaramu telah mendapat kemurkaan."

Si Buta pun menadah tangan lalu mengucapkan syukur.

Isnin, Julai 26, 2010

BICARA AGAMA- CARA BAYAR FIDYAH PUASA

SOALAN 1:

BOLEHKAH saya membayar fidyah (membeli beras mengikut kadar fidyah) terus kepada mereka yang berhak memerlukannya?

JAWAPAN:

Boleh, harus membayar fidyah dengan memberi beras kepada golongan yang berhak menerimanya. Orang yang berhak menerimanya adalah golongan fakir miskin.

SOALAN 2:

Saya mempunyai seorang abang tiri (OKU) yang terdiri daripada golongan yang berhak menerima bantuan (pendapatan bawah RM500) boleh atau tidak saya terus membayar kepadanya?

JAWAPAN:

Boleh, saudara boleh bayar terus kepada orang berhak. Dalam keadaan abang tiri saudara adalah tergolong dalam golongan fakir miskin maka dia berhak menerima beras fidyah saudara.

SOALAN 3:

Boleh atau tidak saya menggantikan beras itu kepada wang tunai?

JAWAPAN:

Boleh, kebanyakan orang lebih suka membayar fidyah dengan wang. Nilai ringgit bagi setiap satu cupak ialah RM1.20.

Maka orang yang meninggalkan puasa dengan sebab apa pun, dia diberi kelapangan masa untuk mengqada' puasanya itu, asalkan tidak lewat sehingga masuk bulan Ramadan yang berikutnya.

Seandainya masih belum mengqada puasanya lagi dan masuk bulan Ramadan yang berikut. Maka dia dikenakan fidyah sebanyak satu cupak bagi setiap hari yang ditinggalkannya serta qada'nya sekali. Seperti contoh: Seorang itu meninggalkan puasa lima hari pada tahun pertama dan tidak mengqada' sehingga masuk bulan Ramadan tahun kedua maka ini dikenakan qada puasa sebanyak lima hari dan membayar fidyah sebanyak lima cupak.

Sekiranya gagal mengqada puasa sebelum menjelang Ramadan pada tahun berikutnya maka dia dikenakan lima hari qada puasa dan membayar fidyah sebanyak 10 cupak, memandangkan setahun berlalu tapi tiada kesedaran untuk membayar fidyah yang menjadi hak orang fakir miskin.

Begitulah seterusnya jika masih juga belum mengqada' puasanya. Maka jumlahkanlah berapa tahun yang belum dijelaskan puasa yang ditinggalkan itu dan berapa pula yang patut dikenakan fidyahnya.

Qada puasa hendaklah disegerakan kerana ia hak Allah SWT. Selagi mana tidak dilangsaikan selagi itulah dikira berdosa dan menanggung kewajipan yang belum dilaksana.

Allah memberi kelonggaran kepada mereka yang uzur atau bermusafir semasa siang hari Ramadan untuk berbuka puasa. Demikian juga Allah menetapkan golongan yang wajib qada akibat meninggalkan puasa Ramadan.

Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan fidyah, maka itu adalah satu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al-Baqarah: 184)

Puasa adalah kefarduan manakala fidyah adalah hukuman denda yang membawa manfaat kepada golongan fakir miskin.

Ketika memberi kepada fakir miskin dengan kadar yang telah ditetapkan bagi tujuan membayar fidyah memadai dengan niat sahaja.

Bagaimanapun, jika membayar fidyah melalui jawatankuasa masjid atau mereka yang menjalankan tugas berkaitan dengan hal ehwal Islam adalah lebih baik dinyatakan tujuan saudara itu.

Jumaat, Julai 23, 2010

SIFAT BELAS KASIHAN BUKTI KESEMPURNAAN IMAN

Masyarakat negara ini terkenal dengan budaya budi pekerti lemah lembut dan bersopan santun. Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghias diri dengan sifat terpuji.

Cuma, mutakhir ini banyak perkara yang meruntun hati berlaku. Penganiayaan di sana-sini, tidak terkecuali dalam institusi perkahwinan. Rentetan itu cukup membimbangkan dan menggambarkan segelintir masyarakat Malaysia ketandusan sifat kemanusiaan. Bagi umat Islam, penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara berakhlak dengan ahli keluarga, tetangga dan masyarakat.

Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukan mudah, kerana itu Rasulullah SAW mengajar perbuatan baik supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu dan disokong oleh sahabat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: “Kami semua sememangnya bersifat rahmat.” Lantas Baginda SAW menjawab: “Bukan itu maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Hadis riwayat Tabarani)

Rahmat adalah perkara yang membawa kebaikan dan Islam agama yang membawa keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam membabitkan semua makhluk.

Bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana, Islam memerintahkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Belas kasihan ini bukan saja kepada sahabat terdekat tetapi alam seluruhnya, terutama jiran tetangga dan yang ada hubungan nasab.

Sebagai umat Islam, kita perlu berbuat baik terhadap mereka yang paling hampir sehinggakan apabila ingin memberikan juadah, Rasulullah SAW mengajar supaya diberi kepada jiran yang pintunya paling hampir dengan rumah kita, bukan jiran paling rapat.

Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada haiwan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan antara satu sama lain hinggakan ada seekor haiwan yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ibu bapa perlu mempunyai kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika anak melakukan kesalahan, hendaklah ditegur dan dibetulkan kesalahannya dengan lemah lembut serta kasih sayang, bukan memukul dengan kekerasan.

Pada tahap pendidikan di awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat antaranya berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.

Dalam konteks kekeluargaan pula, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain menguruskan rumah tangga. Ia selaras objektif perkahwinan dalam Islam untuk menyuburkan kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati

Khamis, Julai 22, 2010

DI SEBALIK KENAIKAN HARGA GULA

KEKURANGAN bekalan dan kenaikan harga runcit gula menimbulkan persoalan.Apa yang ada pada gula sehingga pengguna yang bijak turut membiarkan diri mereka menjadi semut sanggup berebut kerana bahan pemanis itu?

Gula memudaratkan kesihatan. Gula itu racun. Gula penyebab pelbagai penyakit kronik. Ini antara perkara negatif yang dikaitkan dengan gula. Malah pepatah Melayu ada juga menyebut mati semut kerana gula.

Namun, di sebalik impak negatif yang dikaitkan dengan pengambilan gula secara berlebihan, adalah jelas sesetengah pengguna di negara ini masih tidak mahu mengambil peduli bahaya yang disebabkan oleh gula.

Kepada mereka, kesihatan mungkin bukan isu utama dalam kehidupan mereka. Peringatan atau nasihat baik daripada pakar pemakanan atau perubatan bak masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Mahu tidak mahu gula pasir menjadi sebahagian daripada kehidupan masa kini sehinggakan ada yang seperti tidak boleh hidup tanpa bahan pemanis itu.

Menurut Ensiklopedia bebas, Wikipedia, bahan utama yang digunakan dalam pembuatan gula ialah tebu kuning dan tebu hitam.

Dilaporkan kira-kira 107 buah negara menanam tebu untuk menghasilkan sekitar 1,324 juta tan gula. Negara pengeluar terbesar gula, mengikut Wikipedia ialah Brazil, India, China dan Pakistan.

Batang tebu yang tebal menyimpan sukrosa. Secara ringkasnya, gula dihasilkan daripada air tebu yang kaya dengan sukrosa.

Rasa gula sememangnya manis tetapi di sebalik kemanisan itu ia sebenarnya mengundang bahaya. Pada tahun 1929, Sir Frederick Banting, individu yang menemui insulin iaitu hormon utama mengawal metabolisme glukos dalam tubuh manusia mendapati, diabetes adalah penyakit lazim di kalangan pemilik ladang tebu warga asing di Panama sementara pemotong tebu yang terdiri daripada penduduk peribumi Panama tidak menghidap penyakit kronik itu.

Sebabnya? Pemilik ladang tebu mengambil gula putih halus yang dihasilkan daripada tebu pada kadar yang banyak sedangkan pemotong tebu sekadar mengunyah keratan tebu. Impak negatif gula putih turut ditekankan oleh pakar pemakanan dunia yang tersohor, Dr. William Coda Martin.

Punca penyakit

Pada tahun 1957, beliau tampil mengklasifikasi gula putih halus sebagai racun. Martin membuat takrifan itu daripada segi perubatan kerana gula merupakan antara bahan yang jika diaplikasi ke tubuh, ditelan atau diproses di dalam tubuh akan menyebabkan atau mungkin menyebabkan penyakit.

Beliau turut mengklasifikasi gula sebagai racun kerana kandungan vitamin dan galiannya rendah. Apa yang tinggal hanyalah karbohidrat tulen.

Gula akan melahap vitamin dan galian yang berharga daripada tubuh manusia untuk tujuan pencernaan dan detoksifikasi.

Pengambilan gula setiap hari juga dilapor menghasilkan keadaan lebihan asid dan galian di dalam tubuh dan ketidakseimbangan ini perlu diperbetulkan.

Selain gula pasir dan gula perang sebagai bahan pemanis, terdapat bahan pemanis lain seperti madu dan sirap maple serta gula yang tidak dapat dilihat.

Pakar pemakanan tempatan, Mary Easaw John menjelaskan bahawa gula yang tersembunyi boleh ditemui di dalam roti, aiskrim, coklat, pastri, pai dan kuih-muih.

"Untuk membuat roti, ia memerlukan yis atau ragi. Bahan ini pula memerlukan gula untuk mengaktifkannya dan memastikan roti menjadi," katanya. Jeli dan jem juga mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Sebagai contoh, 60 peratus kandungan jem adalah gula. Sepotong kuih pula, katanya, mengandungi setengah sudu teh gula, sementara minuman berkarbonat pula mengandungi lapan hingga sembilan sudu teh gula.

Justeru, kita sebenarnya tidak memerlukan gula pasir halus dalam kehidupan harian. "Apa yang perlu ialah mendidik cita rasa kita. Kalau hendak pun mengambil gula pasir, enam atau tujuh sudu teh gula pasir halus sudah memadai. Ini termasuk gula yang tersembunyi seperti dalam kek dan manisan yang lain.

"Gula yang berlebihan dalam tubuh manusia akan disimpan sebagai lemak.

"Ini berbeza jika kita makan sayur atau buah-buahan, ada galian dan vitamin dan ia tidak disimpan dengan cara begitu," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati apabila mahu membeli makanan yang sudah diproses.

"Ambil sedikit masa untuk teliti label makanan. Periksa kandungan lemak dan gula," kata Easaw John.

Sebuah agensi berita Barat baru-baru ini melaporkan, makanan ringan menjadi punca ledakan penyakit diabetes di rantau Asia Tenggara.

Kajian mendapati, kira-kira 11 peratus lelaki dan 12 peratus wanita di bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam, tanpa mereka sedar menghidap diabetes Jenis 2, tidak termasuk empat peratus rakyat negara itu yang disahkan sebagai pesakit diabetes.

Diabetes Jenis 2, paling lazim disebabkan paras lemak dan gula yang tinggi dalam pemakanan di samping kurang senaman. Ia boleh menyebabkan kegagalan ginjal dan penyakit jantung.

Di peringkat global, Persekutuan Diabetes Antarabangsa menganggarkan menjelang tahun 2025 seramai 147 juta orang penghidap diabetes berusia 60 tahun atau lebih.

Statistik negara turut menunjukkan peningkatan dalam jumlah penghidap diabetes.

Pada tahun 2009, sebanyak 17 peratus daripada 27 juta penduduk menghidap diabetes sementara data tahun 2006 pula menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obes.

Apakah kita mahu terus menikmati kemanisan gula dan menjadi penderita penyakit diabetes atau penyakit kronik lain terutama pada usia senja kita?

Rabu, Julai 21, 2010

BANTULAH ANAK PALESTIN

Ramai kanak-kanak Palestin trauma

KANAK-KANAK Palestin melukis ketika cuti sekolah selama tiga bulan di pusat perkembangan pelajaran yang juga ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin cawangan Khan Younis.LEBIH 200 kanak-kanak, kebanyakannya berusia 10 hingga 12 tahun yang mengalami trauma teruk akibat peperangan, termasuk kehilangan ibu bapa, adik beradik dan saudara mara, diberikan rawatan psikologi dan pemulihan menerusi sesi anjuran Pusat Psichososial Al-Amal, dekat Khan Younis, di sini.

Pengarah Pentadbiran Al-Amal, Jehad Abu Hatab, berkata kanak-kanak itu dari sekitar Khan Younis dipilih memandangkan pada usia berkenaan, mereka mula memahami erti kehidupan dan perlu dipulihkan selepas menempuh pengalaman menakutkan serta menyayat hati pada usia terlalu muda. “Ketika mula datang ke sini, kanak-kanak ini dalam keadaan trauma dan terlalu pendiam, tetapi selepas beberapa sesi pemulihan yang merangkumi aktiviti berkumpulan, sukan dan diberikan bimbingan psikologi, mereka sudah banyak berubah dan mula ketawa,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan rombongan misi kemanusiaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) ke Gaza, di pusat berkenaan. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Publisiti PBSM Malaysia, Datuk Ahmad A Talib dan Pengurus Pengurusan Bencana, Nasir Khan Abdul Rahman.

Jehad berkata, pihaknya mengadakan program pemulihan selepas Gaza teruk dibedil rejim Zionis 18 bulan lalu dan sehingga kini sudah beberapa kali program seumpama itu diadakan membabitkan penyertaan kumpulan kanak-kanak yang berbeza.

“Pada setiap program, 15 kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun menjalani pemulihan menerusi 20 sesi yang sudah diatur dengan setiap sesi mengambil masa 20 jam.

“Selain itu, kanak-kanak yang mengalami kecacatan serta kehilangan anggota badan dibawa ke sini untuk aktiviti tertentu seperti melukis. Mereka begitu kreatif dan sebahagiannya mampu menghasilkan lukisan yang menggambarkan kekejaman tentera Israel,” katanya.

Beliau berkata, 300 kanak-kanak, termasuk di kalangan pelarian dari seluruh Palestin turut menyertai kelas tadika walaupun terpaksa beroperasi dalam keadaan serba kekurangan dan hanya bergantung kepada dana yang disumbangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh dunia.

Isnin, Julai 19, 2010

IBU BAPA PERLU DISPLINKAN ANAK DALAM MELAYARI INTERNET

BANYAK yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa apabila anak melayari internet kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan hari ini internet bukan perkara asing bagi kanak-kanak kerana mereka membesar dengannya.

Bagaimanapun, hanya empat daripada 10 ibu bapa mengatakan mereka tahu apa yang dilihat anak mereka ketika melayari internet. Tetapi sedarkah ibu bapa, ramai orang tidak dikenali di luar sana iaitu di alam maya yang ingin menjadi kawan anak mereka. Berdasarkan hasil kajian Norton Online Family Report 2010, kira-kira 72 peratus kanak-kanak mendapat permintaan daripada orang tidak dikenali untuk menjadi kawan di laman rangkaian dan 27 peratus memberitahu orang tidak dikenali itu mengajak untuk berjumpa di alam nyata.

“Realitinya, 25 peratus kanak-kanak bersembang di internet dengan orang yang tidak dikenali tetapi ibu bapa mengandaikan 12 peratus yang terbabit dengan perkara itu. Ibu bapa perlu sedar risiko apabila anak berinteraksi dengan orang tidak dikenali.

“Mereka mungkin memberi maklumat penting yang boleh disalahgunakan pihak berkenaan atau menyebabkan keluarga itu berada dalam bahaya,” kata Penyokong Keselamatan Internet dan Ketua Perniagaan Norton Asia, Effendy Ibrahim.

Beliau mendedahkan hasil kajian Norton Online Family Report 2010 mendapati, maklumat berkenaan adalah peringatan kepada ibu bapa untuk mengambil tahu aktiviti pelayaran internet anak mereka terutama apabila kanak-kanak kini menghabiskan 76 jam sebulan melayari internet.

Katanya, isu yang diketengahkan daripada hasil kajian itu dapat membantu ibu bapa menyedari kepentingan membimbing anak menggunakan internet dengan selamat dan mengetahui kesan internet terhadap anak mereka.

Maklumat kajian Norton Online Family Report 2010 berdasarkan penyelidikan oleh firma bebas mewakili Symantec Corporation. Penyelidikan secara online itu membabitkan 452 dewasa berusia 18 tahun ke atas (terdiri daripada 101 ibu bapa kepada anak berumur 10 hingga 17 tahun) dan 110 remaja antara 10 hingga 17 tahun yang meluangkan masa satu jam seminggu melayari internet.

Effendy berkata, hasil penyelidikan itu mendedahkan 87 peratus kanak-kanak melalui pengalaman negatif yang memberi kesan kepada mereka termasuk memuat turun virus dan melihat aksi keganasan serta gambar bogel.

Katanya, sembilan daripada sepuluh kanak-kanak yang melalui pengalaman negatif itu merasakan kesannya dari segi emosi di mana ada antara mereka dihantui rasa bersalah, marah, menjengkelkan, sedih, jijik dan takut.

“Laman web sudah menjadi taman permainan baru kepada penjenayah siber untuk mencari mangsa menyebabkan kanak-kanak mudah terpedaya. Disebabkan itu, ada antara kanak-kanak yang melakukan sesuatu di internet menyesal selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, berita baiknya ialah kanak-kanak tetap akan mencari ibu bapa apabila berhadapan dengan masalah kerana yakin ibu bapa boleh membantu mereka daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Laporan berkenaan turut menekankan sikap ambil tahu ibu bapa terhadap apa yang dilakukan anak di depan komputer dengan berbincang dan mengingatkan mereka perkara tidak sepatutnya dilihat semasa melayari internet.

Pada masa sama, ibu bapa perlu menetapkan peraturan penggunaan komputer termasuk waktu yang sesuai untuk anak melayari internet sebagai kaedah pengawalan bagi memastikan mereka selamat ketika berada di alam maya.

Ini termasuk melakukan penyiasatan untuk melihat laman web yang diakses anak mereka semasa melayari internet kerana ada kalanya apa yang disangka laman web permainan biasa boleh jadi bertukar menjadi ‘luar biasa’ jika animasi ditunjukkan itu tidak sesuai dengan usia anak yang melihatnya.

Berkongsi pengalaman sebagai bapa yang akur dengan kehendak anak untuk tidak ketinggalan menggunakan kemudahan internet, Effendy, terkejut apabila melihat permainan dilayari anaknya memaparkan animasi lelaki mengintai wanita.

Katanya, tajuk permainan yang dianggap biasa dan tidak menimbulkan salah sangka kepada ibu bapa boleh menjadi ancaman apabila isi kandungan permainan itu diteliti serta didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak.

“Mungkin anak kita sendiri tidak tahu apa yang bakal dilihat ketika melayari internet dan itu pentingnya pengawasan ibu bapa selain sentiasa mengingatkan anak apa yang boleh dan tidak ketika melayari internet,” katanya.

Oleh itu katanya, ibu bapa perlu seiring perkembangan teknologi maklumat dan bersedia belajar menggunakan komputer serta tahu apa yang perlu difokuskan supaya anak mendapat manfaat daripada kecanggihan teknologi tanpa sempadan itu.

Bagi yang tidak tahun bagaimana untuk mengawal aktiviti anak boleh mendapatkan perkhidmatan keselamatan internet keluarga seperti Norton Online Family. Perkhidmatan secara percuma itu boleh menyekat laman web tidak sesuai diakses anak selain membimbing ibu bapa mengawasi aktiviti anak melayari internet tanpa mereka sedari.

Persoalannya, ibu bapa boleh memantau atau menyekat anak daripada menyalahgunakan internet di rumah tetapi bagaimana anak yang melayari internet di kafe siber bersama rakan sebaya tanpa pengawasan orang dewasa

Jumaat, Julai 16, 2010

KHALID AL-WALID ' PEDANG ALLAH '

Perjanjian damai Hudaibiah banyak membuka hati orang-orang kafir untuk memeluk Islam. Antaranya yang memeluk Islam ialah Khalid bin al-Walid. Beliau dahulu adalah pemimpin pasukan Quraisy yang sangat terkemuka. Beliau juga merupakan seorang pahlawan perang yang sangat gagah dan berani.

Hampir semua peperangan disertai oleh beliau akan beroleh kemenangan. Selepas memeluk Islam, Rasulullah memberikannya jolokan ‘Saifullah’ iaitu Pedang Allah. Beliau juga telah menakluki negeri Syria.

Selepas memeluk Islam, Khalid menjadi pemimpin dalam setiap peperangan. Ini disebabkan beliau bijaksana dan berpengalaman dalam mengatur strategi peperangan.

Ketika beliau melihat jumlah pasukan musuh di Muktah yang berlipat ganda ramainya, beliau memasang strategi dengan mengajak pasukannya mundur ke selatan sementara pihak musuh mundur ke utara.

Dengan itu, kedua-dua pasukan tidak bertembung dan berada dalam keadaan yang jauh. Keadaan itu menjadikan mereka lebih selamat dalam pasukan daripada meneruskan peperangan yang akan membawa kepada kebinasaan dan kematian.

Sementara itu, beliau juga telah menugaskan sebahagian pasukannya yang berada di barisan belakang untuk melancarkan pertembungan dan pergaduhan sebagai taktik seolah-olah pasukan Muslimin sedang mendapatkan bantuan dari Madinah.

Taktik yang beliau atur ini ternyata berhasil. Pihak musuh menjadi takut terhadap pasukan Muslimin sehingga sebahagiannya terus berusaha mundur dan tidak meneruskan peperangan.

Ketika hendak memeluk Islam, beliau telah menyaksikan berbagai-bagai peristiwa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sangat dikenali oleh semua orang dan pengikut-pengikut baginda juga semakin bertambah.

Pernah suatu ketika, baginda dan rombongan baginda dalam perjalanan menuju ke Hudaibiah, pasukan Khalid telah mengekori baginda. Kemudian beliau melihat Rasulullah bersembahyang Zuhur bersama-sama para sahabat baginda.

Pada mulanya beliau bercadang hendak menyerang mereka ketika mereka sedang bersembahyang itu, tetapi tiba-tiba tidak tercapai keinginan untuk membuat sedemikian.

Khalid terus menunggu sehingga baginda menunaikan solat Asar pula. Tetapi niat itu diketahui oleh Rasulullah, lalu baginda dan para sahabat terpaksa menunaikan solat khauf iaitu solat dalam keadaan takut dan berjaga-jaga.

Terus hati Khalid berasa serba salah dan tidak jadi hendak menghalang Rasulullah.

Apabila beliau mengetahui pemergian baginda ke Hudaibiah adalah untuk membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Quraisy, terus Khalid bersemangat untuk mendatangi Rasulullah dan menyatakan keinginan beliau untuk memeluk Islam.

Lalu beliau pun segera mengajak kawan-kawannya untuk pergi ke Madinah menemui Rasulullah dan memeluk Islam. Rasulullah sungguh gembira menyambut kedatangan Khalid dan sahabat-sahabatnya, lalu mengislamkan mereka.

Selasa, Julai 13, 2010

PELAJAR MELAYU HARUS BERDIKARI

Penghargaan harus diberikan kepada kerajaan Malaysia menerusi YAB. Datuk Seri Najib Razak, kerana membuat pengumuman tepat berhubung pemberian biasiswa JPA kepada pelajar cemerlang yang mendapat 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mengira kaum, tanpa mengikut kuota atau merit.

Ini bermakna berita baik kepada pelajar itu sendiri kerana semua yang cemerlang dengan keputusan 9A+ dijamin mendapatkannya dan tidak perlu dibimbangkan lagi. Pihak tertentu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih tidak puas hati dengan kaedah sebegini perlu akur kerana cara begini adalah yang terbaik dan dapat memuaskan sesiapa saja. Jadi, tidak perlu dipertikaikan atau dipanjangkan lagi isu yang mudah ini.

Untuk menentukan pelajar sama ada layak melanjutkan pengajian di luar atau dalam negara, biar JPA menentukannya. Jika semua hendak dilayan memang susah kerana lumrahnya manusia tiada akan merasa puas sampai bila-bila.

Mereka ini sepatutnya bersyukur dan jangan cuba mengeruhkan keadaan kerana tiada siapa yang akan berasa rugi dalam pemberian sebegini. Janganlah dirisaukan sangat mengenai pelajar Melayu atau Bumiputera kerana setakat ini kecemerlangan mereka melebihi kuota.

Melayu kini bukan lagi Melayu seperti 30 tahun dulu tetapi Melayu yang berdaya saing dan hebat-hebat belaka. Mereka bukan saja cemerlang di peringkat SPM tetapi juga di pusat pengajian tinggi serta dalam kerjaya hingga ramai sudah berjaya.

Biarkanlah pelajar atau remaja Melayu berdikari dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain untuk mencapai cita-cita memajukan lonjakan bangsa setaraf atau sehebat kaum lain dan tidaklah perlu ‘dimanjakan’ sangat.

Ibarat pokok yang kita tanam dalam rumah dan kita jaga secukupnya, tidak sama segar dan subur pokok yang kita tanam di luar laman rumah walaupun disinari panas terik matahari dengan angin kencang serta curahan hujan yang tidak menentu.

Isnin, Julai 12, 2010

BETULKAH HIDUP TANPA GULA TAK MANIS ?

Kehidupan adalah kemanisan. Sementara kemanisan adalah kebahagiaan. Tetapi jika terlebih gula, kemanisannya akan membawa penderitaan. Manis adalah seperti rasa gula atau madu. Jika muka yang manis akan kelihatan menarik, juga percakapan, perawakan, dan senyuman memikat dan menarik. Jika gadis yang manis dikatakan cantik, elok, molek, mongel dan menawan.

Tetapi lain dengan manisnya gula. Gula jika diambil sedikit akan membantu memberi tenaga, tetapi jika berlebihan akan membawa derita seperti obesiti dan kencing manis atau diabetes. Penyakit ini akibatnya boleh menyebabkan kencing manis yang kronik dan akhirnya bahagian jari kaki yang luka akan dipotong. Begitulah hebatnya kemanisan gula dalam kehidupan.

Dari segi budaya, terutama orang Melayu, makanan dan minuman manis sudah menjadi biasa dalam kehidupan. Pada waktu pagi minuman manis seperti teh dan kopi yang bergula dan bersusu manis. Kuih yang dimakan juga manis. Tengah hari selepas makan tengah hari juga minum minuman manis dan petang juga begitu. Dalam kuih-muih terdapat banyak juga gula antaranya gula kelapa dan gula kabung.

Betul ke hidup tanpa gula tak manis? Hidup tanpa gula sebenarnya lebih manis dan sihat. Jika dilihat orang yang kurang mengambil gula dalam minuman dan pemakanan lebih ceria dan manis senyumannya. Muka mereka tidak berkerut dan senyuman mereka lebih manis berbanding dengan orang yang mengidap kencing manis atau diabetes.

Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sekitar tahun 70-an, kebanyakan rakyat Malaysia dikatakan mengambil lebih kurang 17 sudu teh gula sehari, bertambah menjadi 21 sudu sekitar tahun 80-an dan 90-an kemudian menjadi 26 sudu pada masa ini. Akibatnya ramai penduduk yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.

Jelaslah, pengambilan gula dalam minuman dan makanan semakin bertambah. Sebab itulah isu gula sampai bila-bila pun tak pernah selesai. Isu kekurangan gula sebenarnya dimanipulasikan oleh pihak tertentu yang ingin mengaut keuntungan berganda terutama pada waktu cuti sekolah, bulan puasa dan hari raya. Pada waktu cuti sekolah terdapat banyak kenduri kahwin dan penggunaan gula digunakan lebih banyak begitu juga pada bulan puasa dan hari raya.

Barang-barang keperluan lain selain gula seperti tepung gandum, minyak masak, ayam, daging juga melambung apabila permintaan tinggi, terutama pada masa cuti sekolah dan hari perayaan, khasnya dalam kalangan orang Melayu. Langkah yang paling sesuai adalah mengurangkan pengambilan gula dan barang keperluan lain pada waktu puncak, termasuk musim cuti sekolah, bulan puasa dan hari raya.

Jumaat, Julai 09, 2010

TAHNIAH KEMAS BAKRI


Kembalikan kepercayaan rakyat

BAKRI – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sentiasa mendekati masyarakat setempat dengan penganjuran pelbagai program berbentuk komuniti yang diwujudkan untuk membina rangkaian hubungan bersama masyarakat.

Dengan kepelbagaian input yang diberikan, secara tidak langsung dapat mengembalikan kepercayaan penduduk kepada pemimpin setempat.

Terbaru, Kemas daerah Muar menganjurkan program Mesra Rakyat Kemas Kawasan Bakri bersama Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Bakri Batu 6 dan dianggarkan kira-kira 200 penduduk terlibat.

Penyelia Kemas daerah Muar, Rozana Radzi berkata, Kemas sentiasa aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti setiap tahun dan penganjuran kali ini aktiviti diadakan di lokasi berbeza.

“Kemas juga berperanan mempromosi dan menghebahkan program kerajaan dalam membangunkan desa dan dasar kerajaan menerusi penglibatan pelbagai pihak kepada kumpulan yang disasarkan.

“Bagi menggalakkan penyertaan dan penglibatan aktif anggota masyarakat kampung tanpa mengira peringkat umur, aktiviti sukaneka juga diadakan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Katanya, sukaneka yang diadakan itu menjadi salah satu platform menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Bagi golongan wanita pula, pertandingan menjahit pakaian dan membuat gubahan diadakan bagi mencungkil bakat dan menarik minat golongan wanita untuk menceburi bidang ini kerana boleh menjana pendapatan.

“Malah, ceramah kesihatan yang berkaitan bahaya denggi Pejabat Kesihatan Daerah Muar diberikan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan rumah masing-masing,” katanya.

Rabu, Julai 07, 2010

TIDAK SEMPURNA IMAN JIKA ABAIKAN HUBUNGAN BAIK SESAMA JIRAN TETANGGA

ISLAM sebagai cara hidup memberi fokus kepada setiap perkara membabitkan keperluan umatnya termasuk adab hidup berjiran kerana selain keluarga, seseorang mukmin diingat supaya menjaga serta memelihara hubungan dengan jiran tetangga.

Semangat kejiranan dalam masyarakat negara ini secara umumnya dilihat masih kental namun, tidak dinafikan wujud persekitaran di mana sikap tidak mengambil kisah mengenai kebajikan jiran sekeliling semakin ketara. Justeru, masyarakat perlu menghayati kembali suruhan agama supaya memelihara hubungan kejiranan sebagai satu cara ke arah perpaduan ummah. Tambahan, kawasan perumahan kebanyakannya dihuni penduduk pelbagai bangsa. Nabi SAW menunjukkan contoh teladan membina kerukunan hidup berjiran termasuk mengambil berat dan hidup rukun bersama jiran tetangga.

Dikisahkan pada suatu hari Rasulullah SAW berkunjung menemui Abu Zar yang sedang memasak kuah lalu Baginda berkata: “Wahai Abu Zar , jika kamu memasak perbanyakkanlah airnya. Kemudian, berilah jiran tetanggamu daripada masakanmu itu dengan baik.”

Islam menekankan hubungan baik sesama tetangga demi melahirkan suatu kehidupan dalam masyarakat yang harmoni. Mungkin barang yang kita sedekah atau berikan kepada jiran tidak seberapa tetapi nilai ganjaran pahala di sisi Allah sangatlah besar.

Di samping itu, pemberian seumpama itu juga akan mencetuskan nilai kasih sayang sesama manusia. Jibril selalu berpesan kepada Nabi SAW mengenai jiran dan tidak sempurna status iman seseorang seandainya tidak berbuat baik terhadap jiran.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Nabi SAW menunjukkan bahawa kehidupan seseorang mukmin tidak sempurna pada kaca mata Islam seandainya hubungan dengan jiran tetangga tidak dipelihara dengan baik serta hidup dalam harmoni.

Perubahan zaman menyebabkan masyarakat khususnya yang tinggal di bandar kurang berinteraksi dengan jiran. Kesibukan kerja dengan waktu tidak menentu mendorong melakukan hal masing-masing.

Bagaimanapun, itu bukan alasan mengetepikan tanggungjawab terhadap jiran kerana pasti ada cara bermesra dengan jiran yang tinggal di sebelah atau berhampiran rumah kita. Senyum atau melambai tangan sudah memadai untuk memberitahu jiran kita mengenali mereka.

Bagi perumahan berpagar yang mempunyai perkhidmatan kawalan keselamatan, semangat kejiranan boleh dipupuk melalui pertubuhan Jawatankuasa Persatuan Penduduk yang bertanggungjawab mengambil berat kemaslahatan penduduk taman berkenaan.

Melalui persatuan penduduk juga, pelbagai program dapat digerakkan bagi mengeratkan hubungan dan penduduk juga jangan mengasingkan diri atau enggan membabitkan diri dalam program kemasyarakatan yang dianjurkan.

Kehidupan berjiran secara positif seperti dianjurkan Islam mampu mencegah jenayah dalam masyarakat setempat. Ini kerana semua pihak harus mengambil berat dan saling membantu. Keadaan seperti ini menyukarkan pihak yang ingin melakukan jenayah seperti kecurian.

Pembinaan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram dengan amalan berjiran yang baik seharusnya diperkasakan oleh setiap umat Islam. Jangan biarkan kepentingan diri menenggelamkan hubungan dengan jiran tetangga.

Umat Islam dilarang menyakiti jiran termasuk bukan Islam walaupun mereka bersikap sombong atau tidak mesra. Sebaliknya, tunjukkan contoh yang baik dan sentiasa mengambil berat keperluan jiran serta membantu apabila diperlukan.

Isnin, Julai 05, 2010

SEKOLAH AGAMA JOHOR BUKAN PENDIDIKAN SAMPINGAN


Pelajar di sekolah agama tidak seharusnya menganggap sekolah agama sebagai pendidikan sampingan, sebaliknya memberikan tumpuan seperti mana mata pelajaran akademik lain yang dipelajarinya.

Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Johor (JAJ), Sulaiman Dumang berkata, pelajar sepatutnya menghargai peluang untuk mengikuti Darjah Khas di sekolah agama untuk membentuk benteng ketahanan diri masing-masing.
Katanya, tidak semua pelajar berpeluang mendapatkan pendidikan agama yang sempurna seperti di Johor kerana ia dilengkapi pembentukan keimanan sebagai persediaan menghadapi gejala sosial masa ini.
“Tidak semua pelajar berpeluang begitu dalam membentuk keimanan yang mantap bagi menentang cabaran pada masa ini seperti masalah sosial yang mengancam anak muda masa kini,” katanya pada perasmian Majlis Konvokesyen untuk pelajar cemerlang peperiksaan sijil Darjah Khas Agama (SDKA) sekolah agama zon satu daerah Segamat di Dewan Serbaguna Felda Maokil baru-baru ini.
Seramai 70 pelajar cemerlang peperiksaan sijil Darjah Khas Agama (SDKA) sekolah-sekolah agama Zon Satu daerah Segamat menerima sijil dan hadiah masing masing pada majlis itu.
Sulaiman berkata, dalam mencari keseimbangan antara ilmu agama dan akademik, generasi muda perlulah mendalami pendidikan agama sebagai satu tanggungjawab dan bukannya bergantung kepada minat semata-mata.
Beliau turut memuji jawatankuasa penganjur khususnya Majlis Guru-Guru Agama (MAGA) Zon Satu kerana berjaya mengadakan majlis konvokesyen seperti ini dengan meriah dan jayanya.
“Kecemerlangan pelajar-pelajar ini dalam peperiksaan SDKA ini menunjukkan kepada masyarakat akan kepentingan asuhan dan didikan agama.
”Dengan penerapan nilai dan kesan dari ilmu yang diperoleh sekurang-kurangnya memberikan manfaat yang besar kepada semua pelajar dalam mematuhi tanggungjawab sebagai hamba Allah di bumi yang fana ini.
“Dengan cara ini juga, ia sekali gus menyumbang ke arah pembangunan negara dan memupuk nilai-nilai murni yang berperanan dalam pembinaan negara bangsa yang berkualiti, dinamik, beriman dan berketerampilan,” katanya.

Jumaat, Julai 02, 2010

TASKIRAH JUMAAT


Sifat pemaaf Rasulullah

NABI Muhammad SAW ialah seorang nabi dan rasul yang memiliki akhlak terpuji. Baginda seorang insan mulia yang sanggup memaafkan kesalahan orang lain.

Pada suatu hari, ketika baginda sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.

Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar kambing panggang.

Bahagian kegemaran baginda ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu.

Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.

Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan berselera sekali.
Baginda makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati.

Rasulullah pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah.

Ternyata suara hati baginda itu benar. Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut.

Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata: "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."

Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda.

Baginda sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda.

Khamis, Julai 01, 2010

JPA PERKENAL PROGRAM MENTOR


JPA perkenal program mentor bagi membantu pegawai serta kakitangan laksanakan tugas dengan penuh dedikasi

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkan program mentor menti bagi pegawai lantikan baru dan pegawai yang dinaikkan pangkat bagi membangun dan meningkatkan kompetensi kerja dan peribadi pegawainya dalam jangka panjang, berkuat kuasa bulan ini. Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Bahagian Operasi), Datuk Dr Ismail Alias, berkata pelaksanaannya adalah susulan kejayaan program perintis mentor–menti membabitkan sebahagian pegawai kerajaan yang dijalankan dua tahun lalu. Pelaksanaannya dibuat mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 2010 yang dikeluarkan 18 Jun lalu iaitu Panduan Pelaksanaan Pementoran Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.

“Program perintis itu berjaya membentuk pegawai dan kakitangan yang lebih berkeyakinan, mudah menyesuaikan diri, pengurusan kerja yang teratur dan memudahkan sistem penyampaian sektor awam.

“Pencapaian itu mendorong JPA merangka program mentor-menti yang lebih terperinci dan sistematik membabitkan pegawai dan kakitangan mengikut kriteria ditetapkan, termasuk menyediakan garis panduan dan sistem penilaian bagi membantu meningkatkan mutu program dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ismail berkata, program itu yang akan dipantau Bahagian Pengurusan Psikologi JPA membabitkan tempoh masa enam hingga 12 bulan dengan jumlah masa terkumpul bagi setiap menti berurusan dengan mentor adalah enam jam.

“Program ini boleh membantu pegawai awam untuk lebih bertanggungjawab dan membantu kakitangan baru untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi,” katanya.
Program itu adalah pendekatan JPA untuk memberi bimbingan, sokongan dan bantuan dengan menerapkan elemen psikologi dan kaunseling secara profesional oleh mentor kepada menti bertujuan meningkatkan pembangunan dan kompetensi profesional, budaya, peribadi dan sosial pegawai lantikan baru dan yang dinaikkan pangkat.

Pekeliling itu menyebut, pementoran adalah perhubungan yang dibina antara mentor dan menti dengan mentor berkongsi ilmu, nilai dan pengalaman, memberitahu keputusan dan bertindak berdasarkan idea yang dihasilkan, sementara menti dapat mempelajari ilmu, nilai dan pengalaman dan memindahkannya dalam realiti pekerjaan dan kehidupan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails