' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Khamis, Jun 24, 2010

SULTAN, SULTANAH JOHOR HADIRI PELBAGAI ACARA BERSAMA RAKYAT


Segamat sedia program tradisional

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Masyarakat di sini berbangga apabila daerah ini menjadi antara lokasi persinggahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sempena program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010. Baginda dijadual menyertai pelbagai acara yang dirancang termasuk permainan gasing pangkah yang menjadi antara permainan tradisional yang semakin dilupakan. Daerah ini terkenal dengan keenakan durian berkualiti tinggi dan masak lemak cili api ikan sungai terutama baung serta patin, pastinya memberikan kenangan serta pengalaman manis kepada ahli rombongan KMJ 2010.

Pegawai Daerah Segamat, Burhan Amin, berkata Sultan Ibrahim akan menyertai program di daerah itu selama dua hari dan pihaknya berbangga apabila menjadi antara dua daerah di Johor menjadi destinasi utama KMJ 2010.

“Kali ini, Segamat menjadi antara daerah terpilih bagi KMJ 2010 dengan mengadakan pelbagai acara menarik sempena keberangkatan Sultan Ibrahim ke daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, rombongan itu dijangka tiba di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Labis pada hari kedua program dan singgah ke Kampung Paya Merah untuk menyaksikan pertandingan futsal dan gasing pangkah yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Paya Merah.
Katanya, Sultan Ibrahim juga menyaksikan pameran penduduk kampung termasuk pembuatan gitar, perusahaan parang lama dan demonstrasi gasing pangkah sebelum turut mencuba permainan gasing pangkah yang juga permainan tradisional masyarakat Melayu.

“Sultanah Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris turut dibawa melawat pameran produk penduduk tempatan dan Felda termasuk produk jahitan, sulaman dan makanan ringan.

“Dari Labis, rombongan kemudian meneruskan perjalanan ke Stesen KTMB di Tenang Stesen untuk merasmikan Dewan Pekan Tenang Stesen dan menyaksikan pameran tabib Cina disertai kira-kira 20 tabib, termasuk akupuntur, urutan tradisional, tulang dan kulit,” katanya.

Burhan berkata, rombongan KMJ 2010 kemudian meneruskan perjalanan ke Stesen KTMB Segamat sebelum Sultan Ibrahim menaiki kereta antik dengan diiringi kira-kira 30 kereta antik daripada Persatuan Kereta Antik Negeri Johor untuk mengelilingi bandar itu.

Katanya, rombongan itu kemudian dibawa ke Dataran Segamat bagi menyaksikan acara membuat kuih tradisional dodol dan lempok durian serta acara Sukan Rakyat.

Beliau berkata, sempena program di bandar Segamat, Raja Zarith Sofiah turut melawat kanak-kanak dan wanita dirawat di Hospital Segamat serta menyampaikan bantuan kepada mereka.

“Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar akan menyertai orang ramai pada program Forum Perdana Ehwal Islam diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Jawa,” katanya.

Pada hari ketiga, rombongan akan meneruskan perjalanan ke Stesen KTMB Gemas, Negeri Sembilan sebelum singgah ke Stesen KTMB Bekok untuk beramah mesra dengan penduduk kawasan itu.

Di Stesen KTMB Bekok, program dijadual menyampaikan sumbangan basikal kepada 30 pelajar miskin dan bantuan kepada 20 ibu tunggal serta 20 orang miskin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails