' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Rabu, Jun 30, 2010

PERATURAN PAKAIAN ISTIADAT JOHOR

SEBAGIMANA negeri-negeri lain, Johor juga mempunyai peraturan pakaian bagi istiadat khasnya yang terlibat dengan istana.

Peraturan ini diwujudkan pada Maharaja Abu Bakar semasa kerajaan Johor berada di Telok Belanga, dan telah dipinda, ditokok tambah dan diperbaiki dan disesuaikan mengikut peredaran zaman.

Sultan Abu Bakar terkenal dengan kecenderungan terhadap pakaian cara Barat khasnya setelah baginda membuat beberapa lawatan ke England.

Baginda membawa balik ke Johor cara pakaian bagi rakyat baginda yang setanding dengan negeri moden. Namun begitu Baginda tidak mengetepikan cara dan adat Melayu. Malahan baginda menyesuaikan pakaian Barat dengan unsur-unsur kemelayuan.
Maharaja Abu Bakar mempelopori pakaian Melayu Johor yang sekarang disifatkan ikon Johor, iaitu Baju Melayu Telok Belanga. Baju bagi lelaki labuhnya sehingga ke bawah pinggang dengan leher asalnya berlapik lebar dan berkocek dua.
Seluar dari kain yang sama corak dan warna baju adalah bertongkah seperti seluar Cina iaitu dengan diadakan sambungan kain dibahagian atas seluar bagi membolehkan-nya diikat tanpa menggunakan tali pinggang.

Potongan pakaian ini amat sesuai dengan keadaan iklim kita. Pakaian tersebut dilengkapkan dengan kain samping yang dipakai secara dagang dalam iaitu kain dilipat di bawah baju, sama ada daripada kain pelikat, kain Bugis atau kain sutera. Kepala kain diletak di belakang dan kain dipakai selabuh paras lutut atau ke bawah lutut.
Setanjak atau destar yang pernah dipakai dalam zaman empayar Johor kurun ke-16 tidak lagi dipakai sejak zaman Temenggong Daeng Ibrahim. Baginda menggalakkan pemakain turban yang dipadankan daripada penggaruh Arab dan Parsi.

Pada awalnya Sultan Abu Bakar meneruskan pakaian turban tetapi selepas tahun 1866, baginda menetapkan songkok baldu hitam dipakai bersama pakaian Melayu. Almarhum Sultan Ibrahim pula menetapkan songkok dijadikan pakaian Melayu Johor.

Sultan Ibrahim atas nasihat Dato' Onn mengubah baju lelaki dengan tambahan satu kocek di atas dada dan alas lehernya dijahit halus secara sulaman tulang belut.

Satu lagi jenis pakaian Melayu yang dipelopori Sultan Abu Bakar ialah potongan cekak musang. Bagaimanapun hanya putera-putera raja, datuk-datuk dan tuan-tuan syed sahaja yang boleh memakainya dalam istiadat di istana dengan kain samping berdagang luar.
Dalam tahun 1982 Almarhum Sultan Iskandar bertitah hanya Baju Melayu Telok Belanga dijadikan pakaian rasmi istiadat dan kain samping dipakai di sebelah luar baju dan dinamakan berdagang luar.

Baju Kurung Telok Belanga bagi perempuan labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus sulaman tulang belut, dan tidak berkocek. Almarhum Sultan Ibrahim mengadakan satu kocek.
Berbeza dengan baju kurung Malaysia Baju Kurung Telok Belanga mempunyai pesak gantung atau pesak kekek untuk keselesaan pemakainya. Kain yang dipakai termasuk dari jenis batik, kain berbunga atau kain yang bercampur dengan benang emas. Kain mesti yang berjahit, bukan kain lepas, dilipat cara beralun dan diikat labuhnya sampai buku lali.

Asalnya pakaian itu boleh dibuat dengan kain semua warna melainkan warna putih, biru dan kuning kunyit sedondon, kerana warna-warna itu adalah warna diraja. Mulai 1 Februari 2010 Sultan Ibrahim bertitah warna larangan ini dihapuskan.

Dalam tahun 1995 Almarhum Sultan Iskandar bertitah semua dif wanita memakai Baju Kurung Telok Belanga dalam majlis-majlis istana, serta memakai tudung kepala. Sultan Ibrahim membuat perubahan pada Februari 2010 membolehkan dif perempuan bukan Melayu memakai pakaian hormat masing-masing tanpa bertudung kepala.

Dif lelaki bukan Melayu memakai lounge suit warna gelap, kemeja putih lengan panjang dan bertali leher warna gelap, bersongkok hitam dan bersepatu hitam. Jika memakai lounge suit berbutang dua hanya butang sebelah atas dikancing. Butang tengah sahaja dikancing jika memakai lounge suit tiga butang. Jika memakai double breasted suit satu butang sahaja dikancing.

Ahli-ahli Darjah Kerabat dan datuk-datuk Johor berhak memakai uniform istiadat yang ditetapkan dalam majlis rasmi kerajaan di mana Raja berangkat. Jika tidak diisytihar Hari Kalong, Ahli Pangkat Pertama memakai kain selepang dari bahu kanan ke pinggang kiri dengan bintang kecil di hujungnya.

Bintang Besar Darjah diletakkan di dada kiri. Kalong Darjah dipakai menggantikan kain selepang pada Hari Kalong, iaitu dalam istiadat sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Raja, istiadat kemahkotaan atau ulang tahun darjah.

Pada masa sekarang Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dibekalkan dengan uniform istiadat untuk dipakai dalam istiadat perasmian Dewan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan juga dalam istiadat istana. Jika Ahli itu telah dikurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran sama ada dari Johor atau dari Kerajaan Persekutuan atau negeri-negeri lain, ia hendaklah memakainya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Darjah berkenaan.

Di antara Pegawai-pegawai lain yang berhak memakai uniform istiadat ialah Pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri, Pegawai Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera, Askar Timbalan Setia Negeri, Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Persekutuan, Kastam, dan Penghulu-penghulu. Biasanya songkok menjadi sebahagian uniform itu. Songkok tidak boleh ditanggalkan sepanjang perjalanan majlis.

Yang pasti hanya boot yang tidak bertali dipakai. Bagi pegawai perempuan memakai court shoes yang bertutup di bahagian hadapan.

Peraturan pakaian ditetapkan dalam surat jemputan. Bagi Majlis Rasmi atau Majlis Mengadap Sultan lelaki Melayu memakai Baju Melayu Telok Belanga warna serba hitam, berkain songket berdagang luar, songkok baldu hitam tidak bertekat, sepatu dan stokin hitam. Pakaian stokin dan sepatu hitam telah ditetapkan oleh Sultan Abu Bakar dan bukanlah perkara baru.

Dif bukan Melayu memakai lounge suit warna gelap dan bersongkok. Ada masanya lelaki Melayu dikehendakki memakai lounge suit bersongkok. Perempuan Melayu memakai Baju Kurong Telok Belanga dan bertudung kepala, manakala perempuan bangsa lain memakai pakaian hormat masing-masing.

Pegawai lelaki memakai kemeja putih lengan panjang atau bush jaket dan bersongkok jika mengadap menjalankan tugas pejabat. Pegawai perempuan Melayu memakai Baju Kurung Telok Belanga dan bertudung kepala.

Pakain batik Malaysia lengan panjang bagi lelaki dibenarkan dalam majlis-majlis berunsur hiburan atau sukan. Pakaian Hari Raya boleh digunakan dalam majlis-majlis lain seperti yang ditetapkan dalam kad jemputan.

Dalam majlis yang muram seperti istiadat Hari Hol Almarhum kain hitam tenun atau sutera dan bukan songket dipakai dengan Baju Melayu Telok Belanga warna hitam.

Lelaki Melayu memakai Baju Melayu Telok Belanga warna putih berkain samping hitam tenun atau sutera dalam istiadat ziarah dengan tanda berkabong lilitan kain putih 2 inci pada songkok hitam. Perempuan Melayu memakai Baju Kurung Telok Belanga warna putih, berkain batik dan bertudong kepala warna putih.

Bagi istiadat pemakaman lelaki Melayu yang berhak memakai uniform istiadat. Yang lain memakai Baju Melayu Telok Belanga seraba hitam dan tanda berkabong di songkok. Lelaki bukan Melayu memakai lounge suit hitam, bertali leher hitam dan tanda berkabong lilitan kain hitam lebar 3 inci di lengan kiri.

Pakaian waktu berkabong bagi lelaki Melayu ialah songkok hitam dengan tanda berkabong, bagi perempuan Melayu tudung kepala warna putih, dan bagi perempuan lain bangsa lilitan kain hitam 3 inci di lengan kiri. Bagi lelaki bukan Melayu tali leher hitam atau lilitan kain hitam di lengan kiri.

Peraturan pakaian ini tidak berniat untuk menyekat kebebasan seseorang, bahkan diadakan bagi menghormati Raja dan menghormati majlis. Ia juga merupakan satu peradaban masyarakat 1Malaysia.

Sekiranya seseorang itu berperasaan menyinggung kebebasannya atau bertententangan dengan fahaman kebudayaan bangsanya adalah lebeh elok dia memaklumkan terlebeh dahulu diatas ketidakhadirannya supaya tidak mendatangkan masalah. Tidak perlu dia menghebohkannya dalam media masa.

Begitu juga pakaian waktu berkabong bukanlah paksaan, bahkan secara sukarela dan dengan perasaan tulus ikhlas dan taat setia rakyat kepada Almarhum.

DATUK ABDUL RAHIM RAMLI ialah Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails