' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Jumaat, Julai 30, 2010

MANAFAATKAN PELUANG PENDIDIKAN

Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak generasi muda terutama di kalangan pelajar supaya menggunakan segala peluang yang disediakan kerajaan dalam bidang pendidikan bagi mencapai kecemerlangan masing-masing.

Perdana Menteri berkata, segala peluang yang diperolehi itu merupakan manifesto jelas bahawa kerajaan sentiasa sedia membantu golongan itu mencapai kejayaan melalui peluang-peluang yang luas dalam bidang pendidikan.

"Baru-baru ini saya umumkan bahawa semua pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa mengira kaum.

"Ini adalah kerajaan yang akan mendengar apa yang diperlukan oleh rakyat dan saya percaya bahawa semua bersetuju bahawa pendekatan meritokrasi ini membuktikan bahawa saya dan barisan kepimpinan saya amat serius dalam melakukan transformasi yang selari dengan gagasan 1Malaysia," katanya di dalam blog www.1Malaysia. com.my.

Najib berkata, pada masa sama, dasar meritokrasi yang diamalkan itu juga membolehkan pelajar yang tidak berkemampuan dan kurang cemerlang turut berpeluang melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Sebagai contoh pelajar miskin mungkin tidak mencapai keputusan cemerlang tetapi dengan peluang yang disediakan kerajaan, mereka masih boleh mencapai kejayaan jika diberi peluang.

"Ini jelas menunjukkan bahawa apabila kita memberi peluang yang baik kepada pelajar-pelajar ini, sudah pasti mereka mampu untuk berjaya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan dalam masa yang sama turut mengatur inisiatif lain bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar di negara ini.

"Sebahagian simpanan yang kerajaan perolehi daripada pengurangan subsidi baru-baru ini akan turut disalurkan kepada lebih banyak peluang- peluang dalam bidang pendidikan," katanya.

Khamis, Julai 29, 2010

KISAH BURUNG PADAM API JADI IKTIBAR

DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim)

Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali. Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu. Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).

Selasa, Julai 27, 2010

BERSYUKURLAH ATAS APA YANG KITA ADA


Kisah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta

PADA suatu masa dahulu, terdapat tiga bersaudara daripada keturunan Bani Israel. Mereka hidup dalam kemiskinan dan sentiasa dihina. Salah seorang daripada tiga bersaudara itu digelar Si Sopak.

Dia digelar begitu kerana kulitnya dijangkiti penyakit sopak. Saudaranya yang kedua, botak kepalanya. Maka digelarnya Si Botak. Yang ketiga digelar Si Buta, kerana matanya buta.

Pada suatu hari, Si Sopak berkata: "Alangkah bahagianya aku jika kulitku sehalus sutera dan aku pula menjadi kaya."

Allah mendengar kata-kata itu dan mengutuskan malaikat pergi ke rumah Si Sopak dalam bentuk manusia. Malaikat itu bertanya kepada Si Sopak: "Apakah yang engkau inginkan?"

"Kulit yang halus dan sihat daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta agar aku boleh menternaknya nanti," kata Si Sopak.

Malaikat pun menyapu sekujur tubuh Si Sopak. Kulit Si Sopak pun berubah menjadi halus. Selepas itu, malaikat pun menyerahkan seekor unta yang sedang bunting kepada Si Sopak.

Malaikat seterusnya pergi ke rumah Si Botak pula. Si Botak sedang menyesali nasib dirinya yang malang. Kepalanya yang botak kelihatan berkilat.

"Apakah yang engkau inginkan, wahai Botak," tanya malaikat.

"Saya ingin sembuh daripada penyakit botak ini. Biarlah rambut yang halus dan lebat tumbuh. Aku juga inginkan lembu untuk dipelihara," kata Si Botak malu-malu.

Malaikat pun mengusap lembut kepala Si Botak. Dengan izin Allah, tumbuhlah rambut yang lebat. Wajahnya pula menjadi kacak. Malaikat pun menyerahkan seekor lembu betina bunting kepada Si Botak. Si Botak pun memeliharanya sehingga beranak pinak.

Kemudian malaikat pergi pula ke rumah Si Buta. Seperti dua saudaranya yang lain, malaikat bertanya apa yang Si Buta inginkan.

"Aku inginkan mataku yang buta ini disembuhkan oleh Allah. Maka dapatlah aku melihat saudara-saudaraku," kata Si Buta.

Malaikat pun mengusap mata Si Buta. Si Buta pun membuka mata dan alangkah terperanjatnya dia apabila dia sudah dapat melihat. Malaikat pun bertanya kekayaan apakah yang Si Buta inginkan, dan apabila Si Buta meminta kambing, malaikat juga menyerahkan seekor kambing yang sihat dan sedang bunting kepadanya.

Beberapa tahun kemudian, terkenallah ketiga-tiga orang bersaudara itu kerana kekayaan masing-masing. Ternakan mereka memenuhi ladang ternakan masing-masing.

Mereka sekarang sudah digelar Tuan Sopak, Tuan Botak dan Tuan Buta. Kekayaan mereka tersebar di kalangan Bani Israel.

Allah kemudian mengutuskan malaikat untuk turun ke bumi dalam rupa seorang pengemis. Mula-mula sekali, malaikat pergi ke rumah Tuan Sopak.

"Saya ini musafir yang miskin, tuan," kata malaikat. "Tiada bekal untuk pulang. Demi Allah yang mengurniakan paras yang indah dan harta yang banyak, berilah unta seekor kepada saya untuk teruskan perjalanan."

Tuan Sopak jijik melihat musafir di depannya itu. Maka dia pun berkata: "Aku harus menyelesaikan banyak hutang. Aku tidak boleh memberi apa-apa kepada kau.

"Moga Allah mengembalikan keadaan tuan yang asal," balas malaikat yang menyerupai pengemis itu.

Selepas malaikat tersebut beredar, Si Sopak menjadi seperti dahulu. Kulitnya kembali dijangkiti sopak. Ternakan untanya semakin hari semakin susut kerana mati. Akhirnya habislah semua harta kekayaannya.

Malaikat pergi menemui Tuan Botak pula untuk meminta sedekah, Tuan Botak memberi alasan yang sama dengan Tuan Sopak. Maka malaikat pun berdoa agar Allah menjadikan Tuan Botak seperti dulu.

Kepalanya pun menjadi botak kembali. Lembu Si Botak juga mati seekor demi seekor. Maka Si Botak pun kembali miskin.

Malaikat menemui Tuan Buta pula. Lelaki itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila malaikat meminta agar diberikan seekor kambing, Tuan Buta pun berkata: "Dulu aku seorang buta. Allah telah menyembuhkan mataku. Oleh itu, kau ambil mana-mana kambing yang engkau sukai untuk dibuat bekalmu."

Mendengar jawapan itu, malaikat pun berkata: "Jagalah hartamu baik-baik. Sebenarnya Allah hanya ingin mengujimu. Allah telah meredaimu, sedangkan saudara-saudaramu telah mendapat kemurkaan."

Si Buta pun menadah tangan lalu mengucapkan syukur.

Isnin, Julai 26, 2010

BICARA AGAMA- CARA BAYAR FIDYAH PUASA

SOALAN 1:

BOLEHKAH saya membayar fidyah (membeli beras mengikut kadar fidyah) terus kepada mereka yang berhak memerlukannya?

JAWAPAN:

Boleh, harus membayar fidyah dengan memberi beras kepada golongan yang berhak menerimanya. Orang yang berhak menerimanya adalah golongan fakir miskin.

SOALAN 2:

Saya mempunyai seorang abang tiri (OKU) yang terdiri daripada golongan yang berhak menerima bantuan (pendapatan bawah RM500) boleh atau tidak saya terus membayar kepadanya?

JAWAPAN:

Boleh, saudara boleh bayar terus kepada orang berhak. Dalam keadaan abang tiri saudara adalah tergolong dalam golongan fakir miskin maka dia berhak menerima beras fidyah saudara.

SOALAN 3:

Boleh atau tidak saya menggantikan beras itu kepada wang tunai?

JAWAPAN:

Boleh, kebanyakan orang lebih suka membayar fidyah dengan wang. Nilai ringgit bagi setiap satu cupak ialah RM1.20.

Maka orang yang meninggalkan puasa dengan sebab apa pun, dia diberi kelapangan masa untuk mengqada' puasanya itu, asalkan tidak lewat sehingga masuk bulan Ramadan yang berikutnya.

Seandainya masih belum mengqada puasanya lagi dan masuk bulan Ramadan yang berikut. Maka dia dikenakan fidyah sebanyak satu cupak bagi setiap hari yang ditinggalkannya serta qada'nya sekali. Seperti contoh: Seorang itu meninggalkan puasa lima hari pada tahun pertama dan tidak mengqada' sehingga masuk bulan Ramadan tahun kedua maka ini dikenakan qada puasa sebanyak lima hari dan membayar fidyah sebanyak lima cupak.

Sekiranya gagal mengqada puasa sebelum menjelang Ramadan pada tahun berikutnya maka dia dikenakan lima hari qada puasa dan membayar fidyah sebanyak 10 cupak, memandangkan setahun berlalu tapi tiada kesedaran untuk membayar fidyah yang menjadi hak orang fakir miskin.

Begitulah seterusnya jika masih juga belum mengqada' puasanya. Maka jumlahkanlah berapa tahun yang belum dijelaskan puasa yang ditinggalkan itu dan berapa pula yang patut dikenakan fidyahnya.

Qada puasa hendaklah disegerakan kerana ia hak Allah SWT. Selagi mana tidak dilangsaikan selagi itulah dikira berdosa dan menanggung kewajipan yang belum dilaksana.

Allah memberi kelonggaran kepada mereka yang uzur atau bermusafir semasa siang hari Ramadan untuk berbuka puasa. Demikian juga Allah menetapkan golongan yang wajib qada akibat meninggalkan puasa Ramadan.

Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan fidyah, maka itu adalah satu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al-Baqarah: 184)

Puasa adalah kefarduan manakala fidyah adalah hukuman denda yang membawa manfaat kepada golongan fakir miskin.

Ketika memberi kepada fakir miskin dengan kadar yang telah ditetapkan bagi tujuan membayar fidyah memadai dengan niat sahaja.

Bagaimanapun, jika membayar fidyah melalui jawatankuasa masjid atau mereka yang menjalankan tugas berkaitan dengan hal ehwal Islam adalah lebih baik dinyatakan tujuan saudara itu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails