' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Selasa, Oktober 19, 2010

SULTAN JOHOR RASA DUKACITA

Peringatan Sultan Johor wajar dipatuhi dan diambil iktibar oleh semua pihak. Ironinya, suara Sultan Johor yang tegas memaparkan betapa rasa dukacita baginda berikutan senario semasa kini, di mana ada pihak begitu ghairah memperjuangkan kaumnya dan mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu yang telah diperuntukkan sekian lama dalam Perlembagaan Persekutuan. Lebih mendukacitakan akhir-akhir ini, polemik yang dilihat ‘membelakangkan’ institusi istana yang menjadi payung kepada rakyat jelata sejak sekian lama, ditambah dengan perkembangan yang menggusarkan kini ialah kerapuhan perpaduan orang Melayu.

Suasana aman dan harmoni dinikmati pelbagai kaum yang hidup di negara ini wajar dikekalkan untuk selamanya. Jangan dikorbankan nikmat keamanan dan kemakmuran kini dengan kepentingan kaum dan politik jumud yang akhirnya boleh menghancurkan negara ini dengan sekelip mata. Ketika itu nanti, menyesal sudah tidak berguna, menangis air mata darah pun menjadi sia-sia sahaja. Kami sebagai rakyat yang cintakan negara ini, amat menghargai dan mengharapkan agar institusi istana tidak penat dan berputus asa dalam soal memberi peringatan dan mengambil berat hal ehwal orang Melayu.

Sultan Johor amat prihatin dan melihat kegoyahan perpaduan Melayu kini begitu membimbangkan. Ini bermakna kedudukan orang Melayu yang dinaungi oleh sultan dan raja mula digugat pihak tertentu. Semua orang Melayu harus sedar iaitu apa yang dinikmati kini tidak kekal selamanya, jika kita alpa dan ghairah mengejar kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan nasib bangsa dan agama. Benar, hari ini umat Melayu memang merupakan majoriti penduduk Malaysia. Tetapi adakah satu jaminan dan boleh kekal selama-lamanya?. Bagaimana dengan nasib anak cucu kita nanti?

Umat Melayu juga harus sedar, mereka boleh menjadi kelompok minoriti dan kehilangan kuasa politik sekiranya tidak berwaspada iaitu, akibat penguncupan jumlah umat Melayu secara fizikal disebabkan kemerosotan kadar kelahiran dan pertambahan kadar kematian. Ia juga boleh berlaku akibat fregmentasi politik menerusi penubuhan pelbagai parti siasah atau politik yang berkonflik. Justeru, umat Melayu yang sayangkan bangsa dan agamanya wajar kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik yang bersifat kepentingan peribadi.

Peringatan Sultan Johor ini wajar dijadikan iktibar. Institusi istana bukan sekadar lambang istiadat dan upacara rasmi semata-mata. Institusi istana sebenarnya mempunyai kuasa dan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan termasuk melindungi kaum-kaum lain di negara ini.

Kami, rakyat Malaysia yang cintakan negara ini amat menyanjung tinggi peringatan Sultan Johor dan kini sudah tiba masanya semua sultan di Malaysia bangkit ‘bersuara tegas’ dan bersatu hati memberi peringatan kepada rakyat yang sebahagiannya sudah alpa dan lupa dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunggak undang-undang utama di Malaysia.

Ingatlah, hanya perpaduan dapat menjamin keharmonian dan kemakmuran hidup di negara yang unik ini, dengan rakyatnya berbilang bangsa dan agama dapat hidup bersama dengan aman dan tanpa rasa bimbang. Semua rakyat Malaysia wajar bersyukur dengan nikmat yang dikecapi. Ambil iktibar peringatan Sultan Johor, agar apa yang ada dan dinikmati kini tidak hilang sekelip mata. Menyesal kemudian tidak berguna. Ketika itu nanti menangis air darah pun tidak ada maknanya lagi!

Isnin, Oktober 18, 2010

BAJET 2011 UNTUNGKAN RAKYAT

Pembentangan Bajet 2011 yang bentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat menguntungkan rakyat terutama dalam soal pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong serta masyarakat tempatan.

Bajet kali ini juga cukup sederhana dan berada di landasan yang betul dengan rakyat pasti akan menghargainya terutama bagi golongan pertengahan dan bawah.

Seperkara lagi yang cukup menarik adalah berkenaan keperluan setiap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa dan pinjaman 100 peratus kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan dengan tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan seperti kebiasaan.

''Kami juga ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menghapuskan duti import ke atas kira-kira 300 barangan seperti pakaian dan keperluan harian lain. Ini cukup menggembirakan rakyat,'' 

Terima kasih juga atas Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam, walaupun ianya nampak kecil namun kami bersyukur di atas pemberian itu.

Jumaat, Oktober 15, 2010

“PERANAN KELUARGA DAN MASYARAKAT DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan hadhirin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT. dengan sebenar-benar taqwa dengan kembali mengikuti ajaran Islam yang syumul iaitu dengan beramal soleh, menyuruh manusia berbuat kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Mudah-mudahan segala amal bakti kita akan diredhai oleh Allah dan membawa kebaikan untuk kita di dunia
dan akhirat.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Peranan keluarga dan masyarakat dalam membentuk dan mengembalikan Islam kepada generasi umat manusia yang tergelincir daripada landasan iman dan taqwa adalah sangat penting. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama menangani kemelut gejala sosial yang berlaku ini dengan berani dan bijaksana agar golongan sasaran dakwah kita tidak menolak seruan yang disampaikan kepada mereka. Firman Allah SWT. dalam surah An-Nahl ayat 125:
 
”Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui
akan orang yang mendapat hidayah”.

Setiap anggota masyarakat mestilah berperanan membimbing mereka yang terjebak dengan maksiat atau gejala sosial supaya kembali kepada Islam secara pendekatan dakwah yang bijak. Hanya menggunakan pendekatan yang matang, sesuai dan berhikmah, kita mampu membimbing golongan ini kembali kepada Islam. Suatu masa dahulu pendekatan seperti ceramah, nadwah dan Khemah Ibadah sesuai diguna-pakai dalam menarik minat muda-mudi tetapi hari ini umat Islam harus memaksimumkan penggunaan Medium Dakwah yang melibatkan pendekatan kesukanan, hiburan, teknologi canggih seperti penggunaan IT. yang meliputi penggunaan Laman Sosial, Blog, E-Mail atau melalui Laman-laman Web.

Ibubapa hendaklah bersikap terbuka dalam memainkan peranan mereka bagi menarik minat anak-anak dengan cara atau jalan yang paling baik. Pendekatan tegas, berdisiplin di samping menunjukkan kasih sayang, lembut dan mesra adalah sangat sesuai dalam mentarbiyyah anak-anak. Kita tidak ingin melihat anak-anak
menjadi semakin jauh daripada kita akibat tiada belaian kasih sayang dan kemesraan terhadap mereka.

Justeru, ibubapa hendaklah mempelajari Ilmu-ilmu Motivasi dan Pentarbiyyahan terkini sesuai dengan peredaran zaman. Ada masa dan ketika kita menjadikan mereka teman dan ada masa kita bertegas dengan mereka. Kasih sayang dan kemesraan hendaklah dipupuk, Program-program Pembinaan Ukhuwwah Dan Jalinan Kekeluargaan hendaklah sentiasa dibentuk seperti lawatan, perkhemahan, hari keluarga, riadhah santai bersama keluarga dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Apa yang paling penting peranan keluarga dalam menangani gejala sosial yang berlaku ialah penerapan asas-asas agama kepada anak-anak kita. Tanggungjawab kita sekurang-kurangnya memberikan Pendidikan Asas Fardhu ’Ain dalam diri setiap anak-anak, mudah-mudahan ianya akan menjadi obor dalam kehidupan mereka untuk memperolehi keredhaan Allah SWT.

Ibubapa hendaklah menjadi contoh utama dalam amalan dan menunaikan kewajipan agama seperti solat secara berjamaah dan membimbing anak-anak berkenaan batas-batas pergaulan dalam Islam, pemeliharaan batasan aurat, galakan untuk menghadhiri kelas-kelas agama dan sebagainya. Di samping itu peranan masjid, NGO, Jabatan-jabatan Kerajaan, Swasta, JKKK. dan Individu Perseorangan dalam membendung gejala sosial hendaklah diperkasakan dengan menyumbang apa-apa yang perlu samada kewangan, kemudahan, dewan, tempat rekreasi atau peralatan mengendalikan Programprogram Kesedaran atau Khidmat Nasihat berupa Ceramah Motivasi, Kaunseling, Penyediaan Kursus-kursus Keinsafan, Bimbingan Kerjaya atau Panduan Berumahtangga demi menyelamatkan generasi muda daripada menjadi mangsa keruntuhan akhlak dan akidah. Kita yakin, sekiranya langkah-langkah ini dilakukan oleh keluarga dan masyarakat yang peka dengan perkembangan yang berlaku di kalangan muda-mudi dan remaja, sudah tentu dapat membendung gejala sosial yang berlaku. Firman Allah SWT. dalam surah Toha ayat 132:

”Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu;. dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa”.

Menurut buku ”Apa Ertinya Saya Menganut Islam ” yang dikarang oleh Fathi Yakan menyatakan untuk kembali kepada Islam dan sekaligus membendung penularan gejala-gejala sosial yang melibatkan keruntuhan akidah, syariat dan akhlak mestilah membudayakan masyarakat Islam dengan beberapa langkah:

Pertama: Memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa matlamat hidup insan ialah sebagai khalifah dan sebagai hamba Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30:

”Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”.
Ini menjelaskan kepada kita bahawa sebagai khalifah dan hamba Allah, umat Islam wajib menegakkan agama Allah dan mentadbir alam ini berlandaskan syarak dan agama serta patuh dan taat mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. dalam surah Az-Zariyat ayat 56: ”(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku”.

Kedua: Manusia haruslah memahami bahawa nilai dunia adalah terlalu sedikit dan bersifat sementara berbanding akhirat.

Ketiga: Manusia hendaklah menyedari bahawa kematian pasti datang menemui kita. Justeru, carilah bekalan menuju alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185: ”Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan hanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”.

Keempat: Umat Islam mestilah mengetahui hakikat Islam itu dengan mempelajari selok-belok agama agar hilang kejahilan umat dan kebaikan akan terserlah akhirnya. Hadith ini diriwayatkan oleh Al-’Askari daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

”Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar dan kefahaman itu didapati dengan mendalami ilmu, barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan, nescaya Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama”.

Kelima: Umat Islam mestilah mengenali siapakah jahiliyyah atau musuh Islam. Semua perkara yang menyimpang daripada agama adalah jahiliyyah. Kita hendaklah waspada bahawa musuh-musuh ini akan sentiasa menghancurkan kita termasuk budaya dan pemikiran. Tegasnya untuk menyelesaikan sebahagian masalah gejala sosial ini adalah dicadangkan:

Pertama: Sesebuah keluarga mestilah menggalakkan mereka yang bujang supaya berumahtangga kerana Rasulullah menegaskan dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Al-Hakim:

"Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain".

Kedua: Pembinaan sesebuah keluarga hanya berjaya dengan tarbiyyah, asuhan dan didikan menurut nilai-nilai Islam. Bukan hanya dididik dengan ber jaya dalam pelajaran semata-mata dan agama jauh daripada diri mereka, maka akan hancurlah generasi kita sekiranya hanya faham kebendaan ditanamkan kepada mereka.

Ketiga: Sesebuah keluarga amat wajar memantau dan mengambil tahu pergaulan dan pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan perkaraperkara negatif.

Keempat: Sesebuah Keluarga, Ahli Masyarakat dan Pemerintah perlulah memainkan peranan penting dalam usaha membentuk dan mencorakkan generasi kini menjadi Generasi Soleh dengan Penyediaan Alternatif Aktiviti dan Program Membina Generasi Taqwa dan menjadi Modal Insan yang hakiki untuk hari ini dan akan datang, sebagaimana usaha yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia ke arah Pembinaan Modal Insan yang baik dengan pelaksanaan Program SPIES di semua peringkat.

Ayuhlah kita sebagai umat yang dianugerahkan akal yang waras dan diberikan kesedaran Islam yang tinggi, bertindaklah segera kembalikanlah umat Islam ke jalan yang lurus dan jalan taqwa agar kehidupan kita akan memperolehi ketenangan di dunia dan di akhirat.

(At-Thur: 21) Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.

Khamis, Oktober 14, 2010

IMPLIKASI BERFAEDAH DARIPADA IBADAT HAJI

Antara implikasi yang sangat berfaedah diperoleh daripada pelaksanaan ibadah haji, menurut Dr Yusuf Qaradawi ialah:

•Mengisi bekalan kerohanian bagi hati dan jiwa manusia dengan iman dan takwa. Dengan keazaman dan semangat meningkatkan ketaatan kepada Allah, kecintaan kepada rasul-Nya, kesedaran tanggungjawab terhadap sesama Islam pada keseluruhannya.

Tanah suci dan tempat yang dilawatinya meninggalkan kesan mendalam pada hati seseorang Muslim, dan bila pulang ke tanah air dengan hati yang bersih, berakhlak mulia dan semangat menentang segala bentuk kemungkaran. Jika haji dikerjakan itu mabrur dan ikhlas, kesannya lebih positif berfungsi melahirkan manusia berwawasan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan kekotoran dosa dan kefasikan, nescaya bersih daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan ibunya.”

•Ibadah haji berfungsi meluaskan ufuk pemikiran seorang Muslim, menghubungkan dirinya dengan alam sekitar, dengan mening-galkan keluarga, tanah air, berkorban harta benda dan jiwa, bertujuan melatih manusia supaya bersedia menanggung kepayahan.

•Dari aspek kebendaan, ibadah haji membuka peluang mengadakan pertukaran barang perniagaan di kalangan umat Islam. Firman Allah bermaksud: “Tiada apa-apa kesalahan bagi kamu untuk mencari kelebihan rezeki daripada Tuhan kamu.” Surah al-Baqarah, ayat 198

Perlu diingat urusan perniagaan tidak menjejaskan ibadah haji seseorang.

•Menyemarakkan semangat perpaduan, melatih insan menghidupkan prinsip kemanusiaan yang tinggi dan mulia yang dibawa Islam. Perpaduan dan dasar kesatuan ummah sejagat. Pada masa jahiliah orang Arab mengambil kesempatan pada musim haji untuk menunjukkan kemegahan masing-masing, dengan keturunan dan pangkat. Lalu Rasulullah SAW menyampaikan ucapan yang sangat penting untuk mengajar mereka ajaran Islam yang bersifat antarabangsa.

Antara kandungan ucapan Baginda ialah: “Wahai manusia, Tuhan kamu satu, bapa kamu juga satu, ingatlah tiada keistimewaan orang Arab atas orang bukan Arab, tiada keistimewaan kulit putih atas kulit hitam, tiada keistimewaan kulit hitam atas kulit putih, kecuali kerana takwa.”

•Mewujudkan rantau aman dan sejahtera dalam tempoh ibadah haji. Tetamu Allah di Tanah Suci mengadakan perjalanan yang aman menuju bumi dijamin Allah, bumi yang dibangun padanya Baitul Haram (Rumah yang dikawal).

Kawasan aman dikenali sebagai Tanah Suci, bukan hanya menjamin kepada manusia, tetapi meliputi burung di udara dan di daratan, pokok dan rumput rampai semuanya wajib diberi perlindungan, tidak boleh dibunuh haiwan dan dipotong pokok. Inilah keamanan yang tidak pernah dirasai mana-mana kawasan dunia lainnya yang dianugerahkan Allah Taala.

•Muktamar dan perhimpunan agung sedunia ada dalam ibadah haji. Mereka menghadiri muktamar ini tidak diundang mana-mana pihak selain Allah. Allah mewajibkan hamba-Nya menunaikan ibadah ini setiap tahun.

Dalam muktamar tahunan ini, semua golongan masyarakat hadir menemui saudaranya seluruh dunia, pemimpin, tokoh politik, ulama dan sebagainya berbincang mencari persefahaman untuk mewujudkan suatu jalan yang lebih baik bagi mencapai cita dan wawasan umat Islam sejagat.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya betapa pentingnya muktamar ini, yang mana Baginda menaiki mimbar dan berucap yang menyentuh kepentingan seluruh umat Islam pada musim haji wadak, iaitu hubungan antarabangsa dibincang bersama dalam kesempatan berkenaan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails