' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Rabu, Oktober 13, 2010

RAHSIA DAN HIKMAH IBADAT HAJI

Ada rahsia dan hikmah yang tersirat di sebalik ibadat haji. Rukun Islam yang kelima ialah satu simbolik kesatuan umat sejagat untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah swt.

FIRMAN Allah bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji nescaya mereka akan datang kepada (Rumah binaanmu) dengan berjalan kaki, dan berkenderaan jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (corak rantau) yang jauh, supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah bagi mereka serta menyebut nama Allah pada hari tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan haiwan ternak untuk dijadikan korban. Dengan demikian makanlah kamu dari (daging) korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, dan yang fakir miskin.” Surah al-Hajj, ayat 27-29.

Ibadah haji mempunyai hikmah dan rahsia tertentu bagi memenuhi dua tuntutan iaitu dari segi rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Ia juga banyak mengandungi hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebalik ibadah berkenaan.


Ibadah haji tidak diwajibkan hanya berzikir kepada Allah SWT, menziarahi tempat suci dan menjejaki kesan para nabi, tetapi tujuannya lebih besar iaitu menyatukan umat yang berpecah-belah, berunding dan berbincang, supaya masing-masing kembali ke tanah air membawa azam yang mulia agar menjadi umat yang baik dan bersepadu.

Allah memilih tempat berkat yang pernah menerima rahmat sejak nabi Adam dan Ibrahim AS serta anak cucu mereka yang juga penutup segala nabi untuk mengajar manusia betapa pentingnya kesatuan dan perpaduan di antara mereka. Jalan yang dilalui oleh mereka itu hanya satu jalan saja iaitu jalan nabi, siddiqin, syuhada, dan salihin.

Ibadah haji yang dilaksanakan dengan pakaian ihram tidak berjahit, tawaf mengelilingi Baitullah, saie di antara Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, melontar Jamrah, menyembelih haiwan dan dam semuanya mengandungi erti simbolik dan menjadi tujuan utama daripada penunaian ibadah haji.

Ihram yang menjadi nasak ibadah haji pertama dilakukan, membawa erti pembebasan diri daripada keinginan hawa nafsu dan daya tarikan daripada pengaruh luar selain Allah.

Ihram melambangkan penumpuan sepenuhnya kepada kebesaran dan keindahan zat dan sifat Allah. Membebaskan ikatan kedudukan dan pangkat, darah, keturunan, harta, miskin, kaya yang sering memisahkan seseorang daripada saudara seagama dan kemanusiaan.

Tawaf di Baitullah al-Haram diperlukan mengelilingi sebanyak tujuh keliling walaupun bersesak keadaannya dalam mencari ketaatan kepada Allah. Saie antara Safa dan Marwah dilakukan selepas tawaf, membayangkan erti mengejar rahmat dan pengampunan Allah.

Wukuf di Arafah pula, mengertikan pengorbanan perasaan takutkan Allah. Dengan doa restu yang dimohon dan harapan tinggi dipanjatkan kepada Allah. Di sinilah kemuncak ibadah haji, tempat pertemuan Adam dan Hawa selepas lama mereka berpisah sejak diturunkan dari syurga.

Melontar Jamrah adalah simbol kutukan kepada unsur kejahatan yang sering membinasakan manusia. Melontar juga membayangkan keazaman dan tekad untuk tidak lagi melakukan amalan yang mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan masyarakat.

Penyembelihan haiwan untuk membayar dam mengertikan kesucian kerana darah yang ditumpahkan itu seolah-olah darah kotor, dan membayangkan pengorbanan kerana menuntut keredaan Allah.

Isnin, Oktober 11, 2010

FORMAT BARU SISTEM PERPERIKSAAN

Selepas tiga bulan berpolemik dan tiga rundingan meja bulat, Kementerian Pelajaran kelmarin mengumumkan tidak meneruskan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan diubah format baru, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan dengan penambahbaikan mulai 2016.
Perubahan peperiksaan sejajar kehendak pendidikan moden

Menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah, manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun Enam akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza, termasuk menggunakan nama baru. Antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang akademik terpilih, manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.

Bagaimanapun, sistem penilaian baru itu hanya boleh dilaksanakan paling awal enam tahun lagi bagi mengelak pelajar dalam sistem peperiksaan sekarang dibebani dengan format baru. Ini bermakna murid yang memasuki sekolah tahun depan dijangka menduduki format baru UPSR, manakala pelaksanaan ujian baru menggantikan PMR mungkin bermula lebih lewat daripada tarikh itu. Perubahan format kedua-dua peperiksaan ini turut membabitkan perubahan kurikulum, buku dan latihan untuk guru.

“Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan, manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah. Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai,” kata Muhyiddin.

Pengumuman Muhyiddin itu melenyapkan kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mahu sistem peperiksaan untuk menguji tahap pencapaian pelajar terutama selepas enam tahun bersekolah dikekalkan. Peruntukan 40 peratus penilaian UPSR berdasarkan kurikulum atau sivik diharap boleh melahirkan pelajar bukan hanya dianggap cemerlang apabila mendapat markah tinggi dalam bidang akademik tetapi juga hebat bersukan atau aktiviti kokurikulum lain.

Begitu juga dengan PMR, yang format barunya nanti membabitkan penilaian terhadap pencapaian pelajar dilakukan pada peringkat sekolah seperti dilaksanakan secara percubaan di 550 sekolah sejak dua tahun lalu. Dalam kata lain, selepas ini hanya ada dua peperiksaan utama iaitu UPSR pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.

Begitupun, perubahan format baru kedua-dua peperiksaan ini turut memerlukan perubahan sikap serta pemikiran guru dan ibu bapa. Di pihak guru, kementerian boleh menyediakan kursus, latihan dan motivasi supaya mereka bukan saja dapat melaksanakannya dengan berkesan tetapi mampu menjadikan sistem baru ini lebih menyeronokkan pelajar.

Barangkali selepas ini, duit yang dibelanjakan untuk tuisyen itu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan sukan, karya sastera, peralatan kemahiran hidup dan pelbagai kelengkapan kokurikulum lain bagi membantu anak turut cemerlang dalam bidang itu.

Cara ini bukan saja membantu anak-anak belajar dalam suasana yang lebih menyeronokkan tanpa perlu dibebani peperiksaan tetapi melengkapkan diri mereka untuk melangkah alam pekerjaan dengan yakin serta menjadikan mereka manusia lebih berguna kepada masyarakat dan negara.

Isnin, Oktober 04, 2010

EMAS DI NEGERI ORANG TIDAK SAMA DI NEGERI SENDIRI

Gambar hiasan
Ke mana perginya sejuta bakat dan profesional Malaysia lari? Mereka ini yang dibesarkan dan rata-rata menimba ilmu di negara ini, juga yang telah dibiayai pendidikan ke luar negara, kini berhijrah dan bekerja di negara asing.

Pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Datuk Zafrul Aziz cukup menggusarkan dan menghampakan.

Kami mahu bertanya mengapa perkara ini berlaku? Apakah persekitaran pekerjaan di negara ini tidak lagi menarik? Apakah ganjaran yang diterima sudah ketinggalan? Apakah majikan terlalu berkira membayar gaji? Apakah potensi mereka untuk terus meningkat tiada? Atau apa?

Kami juga mahukan Persekutuan Majikan- Majikan Malaysia (MEF) melihat perkara ini. Kita juga mahu kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia mencari punca kepada kebocoran ini.

Walaupun terdapat juga sebahagianya perpendapat disebabkan pendapatan yang tidak menarik tetapi kemungkinan ada sebab-musabab yang lain yang perlu diselongkar.

Apakan pihak berkuasa sumber manusia negara lain cukup aktif melancarkan kempen bagi menarik lebih ramai bakat luar ke negara mereka atau terdapat kelemahan kepada Kementerian Sumber Manusia di negara ini.

Apakah bakat-bakat kita ini kebanyakannya berhijrah ke seberang tambak itu?, Australia ?, New Zealand ?, Taiwan ? dan negara-negara Eropah. Jika masalah ini berlarutan, dibimbangi negara akan mengalami krisis modal insan profesional dan mahir bagi menggerakkan kemajuan negara ini.

' Susu diberi dibalas dengan tuba'

Jumaat, Oktober 01, 2010

" MANUSIA BERWAJAH SYAITAN"

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan ketakwaan yang tidak main-main tetapi ketakwaan yang bertanggungjawab membawa kita memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah:

“MANUSIA BERWAJAH SYAITAN”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Iblis adalah makhluk pertama yang menderhaka dan menentang hukum Allah SWT. Allah telah memerintahkan para Malaikat dan Iblis sujud kepada Nabi Adam AS sebagai menghormati manusia makhluk Allah yang paling mulia. Para Malaikat mematuhi perintah Allah tetapi Iblis terus ingkar dan menderhaka perintah Allah. Sejak penentangan itu, Iblis berikrar akan terus menderhakai Allah dan akan memujuk manusia menyertainya menentang perintah Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 121:

Maksudnya: “Dan sesunggguhnya Syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantahmu; dan jika kamu menurut hasutan mereka, maka sesungguhnya kamu tetap menjadi orang musyrik.”.

Menurut Ulama, Syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan kearahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu syaaitan.

Kerja Syaitan ialah Pertama: Mewas-waskan manusia dengan melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak kearah keburukan dan kekejian, kedua: Menjadikan pekara-perkara buruk kelihatan baik pada pandangan pengikut-pengikutnya sehingga manusia tidak nampak keburukan, ketiga: Melalaikan manusia daripada melakukan tugas-tugas dakwah dan menjauhkan manusia daripada mengingati Allah, keempat, Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Manusia yang berwajah Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata: “yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.” Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 21:

Maksudnya : "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh melakukan perkara yang keji dan yang mungkar.

Mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut dan bertopengkan Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Manusia yang berwajah Syaitan licik memutarkan kata-kata, manis bibirnya, bijak melaksanakan program-program Syaitan. Antaranya dengan melakukan pujuk rayu , bisikan, tipu daya, fitnah dan kata-kata nista. Pujuk rayu merupakan bahagian terpenting dari seluruh langkah-langkah program Syaitan, kerana ianya tersembunyi dan boleh menimbulkan kesan negatif yang sangat merbahaya bagi manusia. Dengan pujuk rayu Syaitan akan menerbitkan perbuatan mencaci, mencela, mengutuk, mengumpat mengaib serta memutuskan hubungan Silaturrahim sesama insan. Lebih dari itu mereka ini sanggup melakukan apa saja seperti menipu dan membunuh.

Dalam usaha menjadikan manusia itu sebagai pengikutnya, maka sudah menjadi kebiasaan Syaitan melakukaan kefasadan, memusuhi anak Adam, mendatangi anak Adam dari sebelah kanan, kiri, hadapan dan belakang mereka. Sentiasa mencari cari peluang untuk menghasut,menyesat dan menakutkan manusia.

Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam Neraka. Sayidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam Syurga dan menjauhkan daripada api Neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda:

Bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan Syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)

Bagi menghindari dari Syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telingga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan Syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengingatkan bahawa dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang bertopengkan Syaitan atau dengan kata lain menjadikan Syaitan sebagai saudara mereka. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kejadian pembunuhan manusia, penyeksaan sesama manusia, membunuh diri, menentang hukum Allah SWT dan melakukan kejahatan, kezaliman keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan yang dipengaruhi Syaitan. Mereka yang menjadikan Syaitan sebagai kawan atau idola akan sesat dalam kehidupan mereka. Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat pedih.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung diri kita, dimanakah sebenarnya kedudukan kita, adakah dilandasan kebenaran atau masih lagi berada dijalan yang berliku yang penuh dengan duri-duri syaitan. Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menilik wajah kita agar ianya berseri-seri dengan amalan mulia di sepanjang kehidupan ini dan tidak bertopengkan wajah Syaitan. Akhir sekali marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21:
Maksudnya: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails