' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, Februari 14, 2011

Usah beri muka kepada 'batu api'

Masyarakat tidak seharusnya 'memberi muka' kepada mereka yang menjadi 'batu api' kerana ia dibimbangi akan memudaratkan perpaduan yang telah terbina sejak sekian lama.

Mereka yang tidak suka melihat perpaduan ini kekal baik di kalangan masyrakat merdeka ini juga wajar diketepikan agar keharmonian rakyat terus dimartabatkan.

Kita tidak suka orang yang membakar api perkauman di negara ini. Kita juga mesti menolak pihak yang mementingkan diri yang hanya mahu merebut kuasa dan melakukan apa sahaja bagi melihat rakyat yang sihat minda tumbang.

Adalah diharap seluruh kepimpinan masyarakat dan negara t juga pembangkang agar mengelakkan sengketa daripada hambatan isu perkauman ini.

Jika ini tidak dibendung, ditapis dan dimatikan, tengoklah nanti satu masalah besar akan menimpa negara yang kita sayangi ini.
Benteng persefahaman antara kaum terbesar di negara ini telah membina satu kekuatan, yang mana telah dapat memberikan keyakinan kepada kerajaan untuk terus memajukan negara ini, selain membina kesejahteraan di kalangan rakyat.

Bersyukur dan berterima kasihlah kerana anda semua dilahirkan di sebuah negara yang aman dan damai serta kurang berlakunya bencana berbanding negara lain. Justeru, dengan kedewasaan yang ada pada diri kita semua, amat wajar sekali amanah perpaduan yang ditinggalkan warga terdahulu terus dijaga, agar ia dapat dikecapi pula oleh generasi selepas ini.

Jika ada perasaan ini dalam hati setiap rakyat negara ini, saya optimis perpaduan ini dapat dijaga dengan sempurna.

Isnin, Disember 27, 2010

AKIBAT BUTA SEJARAH

SEJAK Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013, berbagai-bagai komen dan polemik kedengaran.

Tidak kurang kedengaran suara sumbang yang mempertikaikan keputusan itu dengan menggembar-gembur berbagai-bagai alasan. Antaranya mencari kesilapan dalam kertas peperiksaan dan kekurangan dalam sukatan mata pelajaran Sejarah.

Bahkan, keputusan yang dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini diperbesar-besarkan kononnya tidak kena pada tempatnya.

Seperti yang pernah dibangkitkan oleh seorang kolumnis dalam akhbar bahasa Inggeris baru-baru ini, “Bukan dalam acara kementerian atau sekurang-kurangnya dalam Konvensyen Barisan Nasional.”

Satu pertanyaan wajar dikemukakan di sini: “Adakah kolumnis berkenaan akan mengemukakan persoalan yang serupa jika pengumuman berita baik untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil dibuat sempena Perhimpunan Agung MIC? Atau berita baik untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dibuat sempena Perhimpunan Agung MCA?”

Tidak kurang yang cuba menarik perhatian tentang ralat fakta dalam buku teks Sejarah. Seorang ‘ahli sejarah’ yang membangkitkan ralat dalam buku teks berkenaan dan baru-baru ini menulis dalam akhbar Inggeris: “Untuk memburukkan lagi keadaan, lebih 10 ralat atau percanggahan fakta dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 hingga 5.” Bagi yang mengetahui matematik mudah, 10 atau 15 ralat untuk lima tahun bukanlah besar sangat sehingga perlu heboh ke sana ke mari!

Dia turut menyebut “Semua 17 orang penulis buku teks Sejarah berkenaan adalah terdiri daripada satu kaum sahaja.” Dia juga mempersoalkan “mengapa tidak disebut secara mutlak pengasas Melaka (Parameswara) ialah putera Hindu dari Palembang yang mati sebagai penganut Hindu.”

Sebagai generasi yang lahir sebelum Merdeka, saya juga belajar Sejarah dengan menggunakan buku teks tanpa mempedulikan apakah penulisnya Melayu, atau Cina, atau India, atau sebagainya. Saya juga belajar tentang Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara tanpa dibesar-besarkan apakah agamanya yang sebenar. Tidak semuanya perlu dimasukkan ke dalam buku. Tidak silap saya, guru yang mengajar Sejarah tidak mementingkan sangat agama Parameswara mungkin kerana pada tahun 1960-an, tidak ada orang yang ingin menjadi “jaguh agama.”

Sesungguhnya, satu malapetaka jika kita membiarkan orang yang buta sejarah membimbing kita dan menerajui negara Malaysia ini.

Rabu, Disember 22, 2010

1bahasa, 1semangat jati diri kebangsaan

PEMILIHAN hanya satu bahasa, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu difahami lagi dihayati dalam konteks Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak pada 1971). Begitu juga dengan pemupukan serta pelestarian jati diri, taraf dan citranya dalam semua bidang. Sehubungan ini, ia perlu juga dilihat dari dimensi muhibah ekoran daripada kontrak sosial yang dipersetujui bersama.

Namun, penggunaannya yang sejati dalam kuantiti banyak serta kualiti yang baik pada setiap masa oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam semua kegiatan budaya tinggi adalah jauh lebih penting daripada perlindungan perundangan itu. Ini adalah untuk menjamin kelangsungannya, bukan saja dalam bentuk yang perkasa, tetapi juga sebagai bahasa bermaruah tinggi. Sebetulnya semua ini memerlukan iltizam setiap rakyat. Setiap satu daripada kita perlu memupuk kecekapan berbahasa Melayu, di samping kesetiaan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu dalam jiwa pada setiap masa. Ini bertujuan antaranya untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu sentiasa teguh, sejajar statusnya sebagai bahasa negara.

Pemilihan dan lebih penting lagi penggunaan hanya 1bahasa, iaitu bahasa Melayu untuk negara ini tidak dapat dinafikan, khususnya dalam menyatupadukan rakyatnya yang pelbagai kaum, boleh membentuk satu jati diri nasional yang sama. Ia juga mampu memupuk 1semangat kebangsaan yang sama, untuk dipamerkan setiap rakyat sebagai 1Bangsa Malaysia yang bersatu padu, selain sebagai 1Negara Malaysia yang bersekutu. Ini bertepatan sekali dengan idea perpaduan dalam Gagasan 1Malaysia, selain moto negara, iaitu Bersekutu Bertambah Mutu.

Dalam hal ini, satu isomorfi, iaitu hubungan kerakyatan dengan penggunaan bahasa negara perlu wujud. Selain kumpulan etnik Melayu/Bumiputera, rakyat Malaysia lain yang berasal daripada pelbagai latar budaya dan menggunakan bahasa etnik masing-masing perlu memperlihatkan hubungan lebih erat antara kerakyatan dengan bahasa Melayu. Dengan kata lain, kesetiaan sebagai rakyat Malaysia perlu juga diperlihatkan melalui penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia, khususnya yang bukan asal selain perlu mementingkan, harus menggunakan bahasa Melayu selaku bahasa utama di negara ini pada setiap masa, dalam kadar yang banyak selain bentuk yang bermutu. Penggunaan begini bukan saja untuk komunikasi rasmi, iaitu dalam majlis rasmi/formal yang dituntut oleh perundangan, tetapi juga untuk tidak rasmi, iaitu interaksi tidak formal sesama kenalan atas inisiatif sendiri.

Isomorfi begini adalah satu fenomena yang bukan saja lumrah di seluruh dunia, tetapi mantap di beberapa negara. Antaranya Indonesia di rantau ini. Hal sama berlaku di Thailand. Malangnya, ia tidak di Malaysia.

Isomorfi antara kerakyatan Malaysia dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak, selain dalam bentuk yang baik dan betul, khususnya dalam aspek kehidupan nasional, adalah sesuatu yang belum wujud secara utuh di negara ini. Sebaliknya ia dalam keadaan masih tidak memuaskan.

Sehubungan ini, rakyat Malaysia daripada semua kelompok etnik, khususnya yang bukan asal perlu menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, mereka perlu menganggap bahasa Melayu lebih daripada sebuah lingua franca. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dilihat lebih daripada hanya digunakan secara rutin dan selalunya dalam bentuk jelik pula. Ia tidak boleh hanya digunakan semata-mata dalam kegiatan budaya rendah, seperti urusan jual beli di pasar saja. Ia perlu disanjungi lebih daripada itu.

Bahasa Melayu selaku bahasa negara bukan saja ‘jiwa kepada Bangsa Malaysia’, dalam konteks pengertian ungkapan ‘bahasa jiwa bangsa’, tetapi sebetulnya adalah maruah negara dan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, khususnya dalam pengertian isomorfi yang diperkata itu, martabat serta kehormatan dan reputasi bahasa Melayu meliputi, antara penggunaannya yang baik dan betul pada setiap masa, lebih-lebih lagi dalam mandala rasmi/formal.

Taraf bahasa Melayu juga hendaklah selalu berada pada kedudukan teratas, yakni mengatasi mana-mana bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris, apatah lagi bahasa etnik. Meletakkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara di bawah, misalnya bahasa etnik tertentu, adalah satu tindakan yang bukan saja menghina bahasa Melayu, tetapi ikut mengeji negara dan rakyat. Bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah simbol nasional, iaitu lambang keagungan negara yang berdaulat dan kemuliaan rakyatnya yang berwibawa, khususnya penduduk etnik Melayu yang menjadi penutur natif kepada bahasa Melayu.

Isomorfi ini juga perlu dikaitkan dengan satu jati diri nasional sama, yakni untuk kedua-dua negara dan rakyat, yang disalurkan melalui satu bahasa saja, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa negara. Jati diri negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, melalui bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, sebetulnya tidak menjadi masalah lagi, kepada sesiapa pun selaku rakyat Malaysia yang setia, lebih-lebih lagi selepas negara ini mencapai kemerdekaannya 53 tahun yang lalu.

Dalam konteks ini, isomorfi ini jati diri negara dan rakyat menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu bertitik tolak daripada penggunaan yang banyak selain baik dan betul, khususnya dalam mandala rasmi/formal oleh semua rakyat pada setiap masa.

Bagi bukan Melayu, jati diri nasional sama serta semangat kebangsaan yang juga sama ini, melalui bahasa Melayu selaku bahasa Melayu perlu bermula dengan penyebutan dan intonasi yang terlepas daripada pengaruh dan gangguan bahasa ibunda masing-masing, khususnya ketika bertutur dalam bahasa Melayu pada setiap masa.

Citra negara dan rakyat Malaysia, yakni gambaran yang ingin ditonjolkan mengenai Malaysia sebagai satu entiti politik, sosial dan budaya, khususnya kepada masyarakat luar, adalah juga melalui bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang kurang dan tidak baik pula dengan segala macam kesalahan dalamnya, adalah contoh yang boleh merosakkan imej negara dan rakyat. Begitu juga dengan bahasa rojak, yakni percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris misalnya dan segala macam lain yang negatif.

Imej positif bahasa Melayu antaranya perlu dibina dan dipupuk melalui penggunaannya sebagai satu-satunya bahasa pengantar dan/atau bahasa ilmu dalam sistem pendidikan nasional. Ini perlu dilakukan melalui sekolah satu aliran saja, daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dalam semua bidang ilmu/pengetahuan lebih-lebih sains dan teknologi.

Bahasa negara adalah sebahagian yang penting dalam mana-mana kerakyatan. Sehubungan itu, bahasa Melayu adalah komponen penting dalam kerakyatan Malaysia. Justeru, adalah amat malangnya sekali untuk negara ini jika masih ada dalam kalangan kita, walaupun seorang yang tidak boleh berbahasa Melayu. Di manakah kesetiaan mereka ini kepada negara dalam konteks isomorfi yang diperkata itu?

Khamis, Disember 16, 2010

Institusi raja bukti konsep ketuanan Melayu masih relevan

Sistem politik dan pemerintahan tradisi Melayu meletakkan raja atau sultan sebagai pemerintah tertinggi yang diberikan sepenuh ketaatan dan kesetiaan. Sistem ini berlangsung berabad lamanya. Ketika berlangsungnya penjajahan British di Tanah Melayu, Sultan masih lagi mempunyai kuasa untuk hal tertentu bagi negeri masing-masing. Kedudukan mereka masih dianggap berdaulat ketika itu.

Apabila perlembagaan moden Persekutuan Tanah Melayu digubal oleh British, pengiktirafan terhadap kepentingan sistem beraja tetap diambil kira dengan meletakkannya sebagai Raja berperlembagaan. Ia menjadi sebahagian elemen penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Tun Salleh Abbas (1997), apabila kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu, institusi beraja dikekalkan dengan beberapa pindaan untuk disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan. Ia sekali gus melambangkan Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara. Kewujudan institusi Raja menjadi sebahagian daripada identiti negara dan ia dilindungi oleh perlembagaan. Ia disebut di dalam Perkara 159(5) yang menjelaskan bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
 
Perkara 71 pula menjamin hak seseorang raja dalam negeri baginda untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan. Demikian juga Perkara 38(4) menyebut bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Institusi raja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi ‘payung negara’, menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan kepercayaan agama. Ini adalah selari dengan Perkara 32(1) yang meletakkan kedudukan baginda sebagai ‘Ketua Negara’ dan selaras dengan kedudukannya sebagai Raja berperlembagaan, baginda perlu mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri (Perkara 39 dan 40).

Bagi orang Melayu institusi Raja berperlembagaan dengan fungsinya yang tertentu penting bagi ‘survival’ orang Melayu. Ini dapat difahami di dalam Perkara 153 yang mana ia meletakkan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ia termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153.

Berdasarkan Perkara 153, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau kemudahan lain yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.

Peruntukan 153 tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja seperti yang digariskan di bawah Perkara 159(5). Selain itu, kedudukan istimewa orang Melayu juga terkandung dalam Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Demikian juga pasukan Rejimen Askar Melayu hanya boleh dianggotai oleh orang Melayu saja seperti dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f).

Di dalam Perlembagaan negeri yang memiliki raja pula menetapkan Raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ia orang Islam. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong yang dipilih di kalangan Raja-Raja Melayu itu juga adalah seorang Melayu dan beragama Islam. Justeru, institusi raja turut melambangkan kedaulatan dan kuasa Islam di negara ini.

Kesimpulan, institusi Raja seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu pengiktirafan oleh penggubal perlembagaan yang memahami sejarah, warisan dan tradisi masyarakat dan kedaulatan politik Melayu.

Mereka memahami bahawa ketuanan Melayu sudah pun mengakar lama dengan kewujudan kuasa raja yang menjadi pemerintah di negeri-negeri Melayu, iaitu berabad-abad lamanya sebelum British bertapak di negara ini. Kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, terutama dalam Perkara 153 adalah untuk memelihara kedaulatan Melayu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails