' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, Julai 05, 2010

SEKOLAH AGAMA JOHOR BUKAN PENDIDIKAN SAMPINGAN


Pelajar di sekolah agama tidak seharusnya menganggap sekolah agama sebagai pendidikan sampingan, sebaliknya memberikan tumpuan seperti mana mata pelajaran akademik lain yang dipelajarinya.

Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Johor (JAJ), Sulaiman Dumang berkata, pelajar sepatutnya menghargai peluang untuk mengikuti Darjah Khas di sekolah agama untuk membentuk benteng ketahanan diri masing-masing.
Katanya, tidak semua pelajar berpeluang mendapatkan pendidikan agama yang sempurna seperti di Johor kerana ia dilengkapi pembentukan keimanan sebagai persediaan menghadapi gejala sosial masa ini.
“Tidak semua pelajar berpeluang begitu dalam membentuk keimanan yang mantap bagi menentang cabaran pada masa ini seperti masalah sosial yang mengancam anak muda masa kini,” katanya pada perasmian Majlis Konvokesyen untuk pelajar cemerlang peperiksaan sijil Darjah Khas Agama (SDKA) sekolah agama zon satu daerah Segamat di Dewan Serbaguna Felda Maokil baru-baru ini.
Seramai 70 pelajar cemerlang peperiksaan sijil Darjah Khas Agama (SDKA) sekolah-sekolah agama Zon Satu daerah Segamat menerima sijil dan hadiah masing masing pada majlis itu.
Sulaiman berkata, dalam mencari keseimbangan antara ilmu agama dan akademik, generasi muda perlulah mendalami pendidikan agama sebagai satu tanggungjawab dan bukannya bergantung kepada minat semata-mata.
Beliau turut memuji jawatankuasa penganjur khususnya Majlis Guru-Guru Agama (MAGA) Zon Satu kerana berjaya mengadakan majlis konvokesyen seperti ini dengan meriah dan jayanya.
“Kecemerlangan pelajar-pelajar ini dalam peperiksaan SDKA ini menunjukkan kepada masyarakat akan kepentingan asuhan dan didikan agama.
”Dengan penerapan nilai dan kesan dari ilmu yang diperoleh sekurang-kurangnya memberikan manfaat yang besar kepada semua pelajar dalam mematuhi tanggungjawab sebagai hamba Allah di bumi yang fana ini.
“Dengan cara ini juga, ia sekali gus menyumbang ke arah pembangunan negara dan memupuk nilai-nilai murni yang berperanan dalam pembinaan negara bangsa yang berkualiti, dinamik, beriman dan berketerampilan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails