' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, Julai 12, 2010

BETULKAH HIDUP TANPA GULA TAK MANIS ?

Kehidupan adalah kemanisan. Sementara kemanisan adalah kebahagiaan. Tetapi jika terlebih gula, kemanisannya akan membawa penderitaan. Manis adalah seperti rasa gula atau madu. Jika muka yang manis akan kelihatan menarik, juga percakapan, perawakan, dan senyuman memikat dan menarik. Jika gadis yang manis dikatakan cantik, elok, molek, mongel dan menawan.

Tetapi lain dengan manisnya gula. Gula jika diambil sedikit akan membantu memberi tenaga, tetapi jika berlebihan akan membawa derita seperti obesiti dan kencing manis atau diabetes. Penyakit ini akibatnya boleh menyebabkan kencing manis yang kronik dan akhirnya bahagian jari kaki yang luka akan dipotong. Begitulah hebatnya kemanisan gula dalam kehidupan.

Dari segi budaya, terutama orang Melayu, makanan dan minuman manis sudah menjadi biasa dalam kehidupan. Pada waktu pagi minuman manis seperti teh dan kopi yang bergula dan bersusu manis. Kuih yang dimakan juga manis. Tengah hari selepas makan tengah hari juga minum minuman manis dan petang juga begitu. Dalam kuih-muih terdapat banyak juga gula antaranya gula kelapa dan gula kabung.

Betul ke hidup tanpa gula tak manis? Hidup tanpa gula sebenarnya lebih manis dan sihat. Jika dilihat orang yang kurang mengambil gula dalam minuman dan pemakanan lebih ceria dan manis senyumannya. Muka mereka tidak berkerut dan senyuman mereka lebih manis berbanding dengan orang yang mengidap kencing manis atau diabetes.

Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sekitar tahun 70-an, kebanyakan rakyat Malaysia dikatakan mengambil lebih kurang 17 sudu teh gula sehari, bertambah menjadi 21 sudu sekitar tahun 80-an dan 90-an kemudian menjadi 26 sudu pada masa ini. Akibatnya ramai penduduk yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.

Jelaslah, pengambilan gula dalam minuman dan makanan semakin bertambah. Sebab itulah isu gula sampai bila-bila pun tak pernah selesai. Isu kekurangan gula sebenarnya dimanipulasikan oleh pihak tertentu yang ingin mengaut keuntungan berganda terutama pada waktu cuti sekolah, bulan puasa dan hari raya. Pada waktu cuti sekolah terdapat banyak kenduri kahwin dan penggunaan gula digunakan lebih banyak begitu juga pada bulan puasa dan hari raya.

Barang-barang keperluan lain selain gula seperti tepung gandum, minyak masak, ayam, daging juga melambung apabila permintaan tinggi, terutama pada masa cuti sekolah dan hari perayaan, khasnya dalam kalangan orang Melayu. Langkah yang paling sesuai adalah mengurangkan pengambilan gula dan barang keperluan lain pada waktu puncak, termasuk musim cuti sekolah, bulan puasa dan hari raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails