' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, Julai 19, 2010

IBU BAPA PERLU DISPLINKAN ANAK DALAM MELAYARI INTERNET

BANYAK yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa apabila anak melayari internet kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan hari ini internet bukan perkara asing bagi kanak-kanak kerana mereka membesar dengannya.

Bagaimanapun, hanya empat daripada 10 ibu bapa mengatakan mereka tahu apa yang dilihat anak mereka ketika melayari internet. Tetapi sedarkah ibu bapa, ramai orang tidak dikenali di luar sana iaitu di alam maya yang ingin menjadi kawan anak mereka. Berdasarkan hasil kajian Norton Online Family Report 2010, kira-kira 72 peratus kanak-kanak mendapat permintaan daripada orang tidak dikenali untuk menjadi kawan di laman rangkaian dan 27 peratus memberitahu orang tidak dikenali itu mengajak untuk berjumpa di alam nyata.

“Realitinya, 25 peratus kanak-kanak bersembang di internet dengan orang yang tidak dikenali tetapi ibu bapa mengandaikan 12 peratus yang terbabit dengan perkara itu. Ibu bapa perlu sedar risiko apabila anak berinteraksi dengan orang tidak dikenali.

“Mereka mungkin memberi maklumat penting yang boleh disalahgunakan pihak berkenaan atau menyebabkan keluarga itu berada dalam bahaya,” kata Penyokong Keselamatan Internet dan Ketua Perniagaan Norton Asia, Effendy Ibrahim.

Beliau mendedahkan hasil kajian Norton Online Family Report 2010 mendapati, maklumat berkenaan adalah peringatan kepada ibu bapa untuk mengambil tahu aktiviti pelayaran internet anak mereka terutama apabila kanak-kanak kini menghabiskan 76 jam sebulan melayari internet.

Katanya, isu yang diketengahkan daripada hasil kajian itu dapat membantu ibu bapa menyedari kepentingan membimbing anak menggunakan internet dengan selamat dan mengetahui kesan internet terhadap anak mereka.

Maklumat kajian Norton Online Family Report 2010 berdasarkan penyelidikan oleh firma bebas mewakili Symantec Corporation. Penyelidikan secara online itu membabitkan 452 dewasa berusia 18 tahun ke atas (terdiri daripada 101 ibu bapa kepada anak berumur 10 hingga 17 tahun) dan 110 remaja antara 10 hingga 17 tahun yang meluangkan masa satu jam seminggu melayari internet.

Effendy berkata, hasil penyelidikan itu mendedahkan 87 peratus kanak-kanak melalui pengalaman negatif yang memberi kesan kepada mereka termasuk memuat turun virus dan melihat aksi keganasan serta gambar bogel.

Katanya, sembilan daripada sepuluh kanak-kanak yang melalui pengalaman negatif itu merasakan kesannya dari segi emosi di mana ada antara mereka dihantui rasa bersalah, marah, menjengkelkan, sedih, jijik dan takut.

“Laman web sudah menjadi taman permainan baru kepada penjenayah siber untuk mencari mangsa menyebabkan kanak-kanak mudah terpedaya. Disebabkan itu, ada antara kanak-kanak yang melakukan sesuatu di internet menyesal selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, berita baiknya ialah kanak-kanak tetap akan mencari ibu bapa apabila berhadapan dengan masalah kerana yakin ibu bapa boleh membantu mereka daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Laporan berkenaan turut menekankan sikap ambil tahu ibu bapa terhadap apa yang dilakukan anak di depan komputer dengan berbincang dan mengingatkan mereka perkara tidak sepatutnya dilihat semasa melayari internet.

Pada masa sama, ibu bapa perlu menetapkan peraturan penggunaan komputer termasuk waktu yang sesuai untuk anak melayari internet sebagai kaedah pengawalan bagi memastikan mereka selamat ketika berada di alam maya.

Ini termasuk melakukan penyiasatan untuk melihat laman web yang diakses anak mereka semasa melayari internet kerana ada kalanya apa yang disangka laman web permainan biasa boleh jadi bertukar menjadi ‘luar biasa’ jika animasi ditunjukkan itu tidak sesuai dengan usia anak yang melihatnya.

Berkongsi pengalaman sebagai bapa yang akur dengan kehendak anak untuk tidak ketinggalan menggunakan kemudahan internet, Effendy, terkejut apabila melihat permainan dilayari anaknya memaparkan animasi lelaki mengintai wanita.

Katanya, tajuk permainan yang dianggap biasa dan tidak menimbulkan salah sangka kepada ibu bapa boleh menjadi ancaman apabila isi kandungan permainan itu diteliti serta didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak.

“Mungkin anak kita sendiri tidak tahu apa yang bakal dilihat ketika melayari internet dan itu pentingnya pengawasan ibu bapa selain sentiasa mengingatkan anak apa yang boleh dan tidak ketika melayari internet,” katanya.

Oleh itu katanya, ibu bapa perlu seiring perkembangan teknologi maklumat dan bersedia belajar menggunakan komputer serta tahu apa yang perlu difokuskan supaya anak mendapat manfaat daripada kecanggihan teknologi tanpa sempadan itu.

Bagi yang tidak tahun bagaimana untuk mengawal aktiviti anak boleh mendapatkan perkhidmatan keselamatan internet keluarga seperti Norton Online Family. Perkhidmatan secara percuma itu boleh menyekat laman web tidak sesuai diakses anak selain membimbing ibu bapa mengawasi aktiviti anak melayari internet tanpa mereka sedari.

Persoalannya, ibu bapa boleh memantau atau menyekat anak daripada menyalahgunakan internet di rumah tetapi bagaimana anak yang melayari internet di kafe siber bersama rakan sebaya tanpa pengawasan orang dewasa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails