' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Selasa, Oktober 19, 2010

SULTAN JOHOR RASA DUKACITA

Peringatan Sultan Johor wajar dipatuhi dan diambil iktibar oleh semua pihak. Ironinya, suara Sultan Johor yang tegas memaparkan betapa rasa dukacita baginda berikutan senario semasa kini, di mana ada pihak begitu ghairah memperjuangkan kaumnya dan mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu yang telah diperuntukkan sekian lama dalam Perlembagaan Persekutuan. Lebih mendukacitakan akhir-akhir ini, polemik yang dilihat ‘membelakangkan’ institusi istana yang menjadi payung kepada rakyat jelata sejak sekian lama, ditambah dengan perkembangan yang menggusarkan kini ialah kerapuhan perpaduan orang Melayu.

Suasana aman dan harmoni dinikmati pelbagai kaum yang hidup di negara ini wajar dikekalkan untuk selamanya. Jangan dikorbankan nikmat keamanan dan kemakmuran kini dengan kepentingan kaum dan politik jumud yang akhirnya boleh menghancurkan negara ini dengan sekelip mata. Ketika itu nanti, menyesal sudah tidak berguna, menangis air mata darah pun menjadi sia-sia sahaja. Kami sebagai rakyat yang cintakan negara ini, amat menghargai dan mengharapkan agar institusi istana tidak penat dan berputus asa dalam soal memberi peringatan dan mengambil berat hal ehwal orang Melayu.

Sultan Johor amat prihatin dan melihat kegoyahan perpaduan Melayu kini begitu membimbangkan. Ini bermakna kedudukan orang Melayu yang dinaungi oleh sultan dan raja mula digugat pihak tertentu. Semua orang Melayu harus sedar iaitu apa yang dinikmati kini tidak kekal selamanya, jika kita alpa dan ghairah mengejar kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan nasib bangsa dan agama. Benar, hari ini umat Melayu memang merupakan majoriti penduduk Malaysia. Tetapi adakah satu jaminan dan boleh kekal selama-lamanya?. Bagaimana dengan nasib anak cucu kita nanti?

Umat Melayu juga harus sedar, mereka boleh menjadi kelompok minoriti dan kehilangan kuasa politik sekiranya tidak berwaspada iaitu, akibat penguncupan jumlah umat Melayu secara fizikal disebabkan kemerosotan kadar kelahiran dan pertambahan kadar kematian. Ia juga boleh berlaku akibat fregmentasi politik menerusi penubuhan pelbagai parti siasah atau politik yang berkonflik. Justeru, umat Melayu yang sayangkan bangsa dan agamanya wajar kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik yang bersifat kepentingan peribadi.

Peringatan Sultan Johor ini wajar dijadikan iktibar. Institusi istana bukan sekadar lambang istiadat dan upacara rasmi semata-mata. Institusi istana sebenarnya mempunyai kuasa dan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan termasuk melindungi kaum-kaum lain di negara ini.

Kami, rakyat Malaysia yang cintakan negara ini amat menyanjung tinggi peringatan Sultan Johor dan kini sudah tiba masanya semua sultan di Malaysia bangkit ‘bersuara tegas’ dan bersatu hati memberi peringatan kepada rakyat yang sebahagiannya sudah alpa dan lupa dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunggak undang-undang utama di Malaysia.

Ingatlah, hanya perpaduan dapat menjamin keharmonian dan kemakmuran hidup di negara yang unik ini, dengan rakyatnya berbilang bangsa dan agama dapat hidup bersama dengan aman dan tanpa rasa bimbang. Semua rakyat Malaysia wajar bersyukur dengan nikmat yang dikecapi. Ambil iktibar peringatan Sultan Johor, agar apa yang ada dan dinikmati kini tidak hilang sekelip mata. Menyesal kemudian tidak berguna. Ketika itu nanti menangis air darah pun tidak ada maknanya lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails