' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, Oktober 11, 2010

FORMAT BARU SISTEM PERPERIKSAAN

Selepas tiga bulan berpolemik dan tiga rundingan meja bulat, Kementerian Pelajaran kelmarin mengumumkan tidak meneruskan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan diubah format baru, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan dengan penambahbaikan mulai 2016.
Perubahan peperiksaan sejajar kehendak pendidikan moden

Menterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah, manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun Enam akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza, termasuk menggunakan nama baru. Antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang akademik terpilih, manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.

Bagaimanapun, sistem penilaian baru itu hanya boleh dilaksanakan paling awal enam tahun lagi bagi mengelak pelajar dalam sistem peperiksaan sekarang dibebani dengan format baru. Ini bermakna murid yang memasuki sekolah tahun depan dijangka menduduki format baru UPSR, manakala pelaksanaan ujian baru menggantikan PMR mungkin bermula lebih lewat daripada tarikh itu. Perubahan format kedua-dua peperiksaan ini turut membabitkan perubahan kurikulum, buku dan latihan untuk guru.

“Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan, manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah. Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai,” kata Muhyiddin.

Pengumuman Muhyiddin itu melenyapkan kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mahu sistem peperiksaan untuk menguji tahap pencapaian pelajar terutama selepas enam tahun bersekolah dikekalkan. Peruntukan 40 peratus penilaian UPSR berdasarkan kurikulum atau sivik diharap boleh melahirkan pelajar bukan hanya dianggap cemerlang apabila mendapat markah tinggi dalam bidang akademik tetapi juga hebat bersukan atau aktiviti kokurikulum lain.

Begitu juga dengan PMR, yang format barunya nanti membabitkan penilaian terhadap pencapaian pelajar dilakukan pada peringkat sekolah seperti dilaksanakan secara percubaan di 550 sekolah sejak dua tahun lalu. Dalam kata lain, selepas ini hanya ada dua peperiksaan utama iaitu UPSR pada peringkat rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada peringkat menengah.

Begitupun, perubahan format baru kedua-dua peperiksaan ini turut memerlukan perubahan sikap serta pemikiran guru dan ibu bapa. Di pihak guru, kementerian boleh menyediakan kursus, latihan dan motivasi supaya mereka bukan saja dapat melaksanakannya dengan berkesan tetapi mampu menjadikan sistem baru ini lebih menyeronokkan pelajar.

Barangkali selepas ini, duit yang dibelanjakan untuk tuisyen itu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan sukan, karya sastera, peralatan kemahiran hidup dan pelbagai kelengkapan kokurikulum lain bagi membantu anak turut cemerlang dalam bidang itu.

Cara ini bukan saja membantu anak-anak belajar dalam suasana yang lebih menyeronokkan tanpa perlu dibebani peperiksaan tetapi melengkapkan diri mereka untuk melangkah alam pekerjaan dengan yakin serta menjadikan mereka manusia lebih berguna kepada masyarakat dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails