KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan tidak lama lagi. Persoalannya ke mana arah tuju pelajar selepas itu? Mungkin juga ke peringkat lebih tinggi seperti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mahupun institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS)?
Tidak kurang juga yang bekerja jika keputusan yang diterima tidak begitu memuaskan.
Harapan dan doa ibu bapa kepada anak mereka sangat tinggi. Tangisan ibu bapa atas kejayaan yang dikecapi mungkin membuatkan kita sebagai anak berasa bangga manakala tangisan ibu bapa atas kegagalan anak begitu merundung jiwa seseorang itu.
Bagi mereka yang mencapai keputusan cemerlang, pilih universiti dan bidang yang kita minat dan juga mahir mengikut kata hati sendiri. Ada dalam kalangan kita, selepas keputusan SPM mahupun peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pilihan yang kita buat untuk belajar di peringkat lebih tinggi, tidak tepat atau betul.
Apa yang dimaksudkan ialah, membuat keputusan dengan mengikut kawan atau pilihan keluarga. Jika kita inginkan kejayaan, ikut kata hati sendiri, belajar dengan rela, bukan dengan paksaan.
Ramai antara kita, kalau ditanya kenapa jurusan ini yang kamu minta? Mesti ada yang berkata, ini saja yang dapat. Kenapa boleh jadi begitu sedangkan kita belajar untuk bidang yang kita minat dan bukan bidang yang ‘tangkap muat’.
Matrikulasi, Asasi atau Diploma? Sesiapa yang memasuki matrikulasi atau asasi, belajar dalam satu atau dua tahun anda sudah mendapat sijil, manakala diploma memakan masa lebih lama iaitu selama tiga tahun pengajian. Ramai pelajar kita, memilih untuk ke Matrikulasi atau Asasi, iaitu jalan singkat untuk ke ijazah.
Bagi saya, jika seseorang itu belajar diploma, sijil diploma yang diterima lebih laku untuk berada di pasaran. Maksudnya mudah untuk ditunjukkan ketika temu duga. Setahu saya, bagi pemegang sijil Matrikulasi atau Asasi, hanya laku dalam tempoh setahun.
Jika lulus dalam peperiksaan, maka boleh sambung pengajian dalam peringkat Ijazah, tetapi kalau gagal, bagaimana?
Jangan pula kita ingat, menara gading ini adalah universiti. Banyak lagi tempat yang kita boleh tuju selain daripada universiti yang kita banggakan seperti Kolej Kejururawatan, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran MARA dan seumpamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan