' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Jumaat, Mac 11, 2011

1Malaysia tidak menghapuskan identiti kaum

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kerajaan berusaha memantapkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Pelbagai kegiatan berkaitan dengan pembentukan bangsa atau negara dilaksanakan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Para pemimpin pelbagai kaum dan agama berganding bahu membentuk satu negara berwawasan dan aman. Hasil persefahaman, gabungan idea dan aktiviti, akhirnya gagasan 1Malaysia menjadi slogan perjuangan kerajaan.

Gagasan 1Malaysia berdasarkan keadilan dan kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa mengira kaum dan agama. Ia bukan satu perancangan untuk menghapuskan identiti kaum dan agama. Rakyat Malaysia sepatutnya memahami usaha kerajaan membentuk satu bangsa Malaysia berdasarkan pembentukan warga negara yang menganut pelbagai budaya dan agama, bukan bercirikan integrasi bangsa dan agama.

Kerajaan ingin memperkukuhkan polisi dan dasar di mana setiap keperluan asas dan infrastruktur untuk masyarakat dapat dinikmati oleh keseluruhan masyarakat bandar atau luar bandar. Pelbagai kementerian ditubuhkan oleh kerajaan untuk memastikan setiap perancangan dan program dapat dilaksanakan secara progresif dan proaktif.

Kerajaan Malaysia lebih menumpukan perhatian kepada pembentukan bangsa bercirikan identiti budaya dan agama yang pelbagai. Ini merupakan salah satu ciri tamadun yang dibina oleh umat Islam ketika berada dalam era tamadun yang gemilang. Dalam sebuah empayar Islam, masyarakat Islam yang mempunyai pelbagai budaya dan tradisi hidup dengan aman bersama masyarakat bukan Islam yang amat berbeza agama dan budaya.

Kerajaan Malaysia tidak berhasrat untuk mengintegrasikan budaya dan agama setiap kaum dalam negara ini menjadi satu agama atau budaya warga negara Malaysia. Tindakan begini bertentangan dengan fitrah ajaran Islam dan ciri tamadun dalam Islam. Urusan berkaitan dengan rumah ibadah dan hal-hal keagamaan adalah urusan peribadi setiap kaum. Kerajaan hanya menumpukan perhatian kepada perpaduan kaum.

Setiap kementerian yang ditubuhkan mempunyai peranan dan fungsi tertentu. Oleh itu, setiap individu yang diberi kuasa untuk mengeluarkan peruntukan dan merancang aktiviti bagi kepentingan masyarakat perlu memahami bidang kuasa masing-masing supaya sikap dan tindak tanduk mereka tidak bertentangan dengan dasar dan objektif kementerian.

Setiap individu yang memegang teraju kepimpinan negara sepatutnya memahami gagasan 1Malaysia secara menyeluruh supaya kegiatan dan tindakan mereka tidak menjejaskan prinsip dan definasi konsep tersebut. Mereka merupakan orang yang mencerminkan dasar dan polisi negara. Kejahilan dalam memahami konsep 1Malaysia menjadi faktor utama menyebabkan individu tertentu sering bertindak bertentangan dengan pengertian konsep tersebut. Perkara ini berlaku akibat terlalu ghairah untuk mendapat sokongan masyarakat tertentu dan pujian daripada pucuk pimpinan negara sehingga terlupa asas dan hukum-hakam Islam berhubung dengan akidah Islam.

Gagasan 1Malaysia yang dilaungkan oleh pucuk pimpinan negara mempunyai batas dan kriteria tertentu yang mana ia tidak akan menjejaskan akidah dan keyakinan umat Islam terhadap kesucian agama Islam. Perkara ini sepatutnya difahami para pemimpin supaya tindak tanduk mereka tidak menghakis keyakinan rakyat dan umat Islam bahawa gagasan 1Malaysia hanya menumpukan perhatian kepada aspek pembentukan negara.

Perkara berkaitan dengan keadilan dan kesaksamaan dalam menikmati kekayaan negara dan pembinaan tamadun yang unik dan pelbagai merupakan ciri tamadun Islam yang dikenali sebagai unity in diversity.

Jika gagasan 1Malaysia dianggap sebagai satu usaha untuk mengintegrasikan kaum dan agama dalam perspektif yang liberal, maka usaha tersebut tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana setiap agama mempunyai batas dan aspek toleransi tertentu. Agama Islam amat prihatin dalam aspek keteguhan akidah Tauhid dan toleransi terhadap agama lain.

Hak-hak yang diperuntukkan kepada umat Islam oleh kerajaan perlu disalurkan kepada umat Islam untuk menyemarakkan agama Islam, bukan menggunakan peruntukan tersebut bagi kepentingan politik individu tertentu sehingga terkeluar daripada batas akidah Islam. Bidang kuasa yang diberikan oleh kerajaan kepada institusi yang menerajui hal ehwal umat Islam sepatutnya tidak disalahgunakan bagi kepentingan politik kerana ia merupakan satu amanah yang berat bagi menyemarakkan syiar Islam.

Malaysia merupakan negara Islam yang menuju ke arah tamadun Islam di rantau Asia. Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan peruntukan bagi menaikkan syiar dan dakwah Islam tanpa mengenepikan kebebasan beragama kepada masyarakat bukan Islam. Kekuatan dan keteguhan agama Islam bergantung kepada usaha dan kegigihan institusi agama Islam dan masyarakat Islam.

Kerajaan juga telah menyediakan pelbagai peruntukan dan kemudahan kepada institusi agama Islam dan umat Islam. Justeru berusaha dan proaktif menyemarakkan agama Islam bukan hanya menggunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan politik sehingga tidak menghiraukan batas akidah dan syariah Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails