' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Khamis, November 04, 2010

Ibu bapa takwa lahirkan zuriat beriman

Pemerdagangan bayi sudah berlarutan sejak sekian lama. Berikutan itu, kejadian yang hangat dilaporkan kini tidak begitu mengejutkan. Lebih malang, anak remaja diperjudikan dan mereka membesar tanpa pegangan agama hingga akhirnya hidup dalam maksiat.

Benar, dunia tanpa sempadan menuntut komitmen luar biasa terhadap kehidupan, kerana wang manusia sanggup berbuat apa saja sehingga kasih sayang sudah tiada nilainya jika kemewahan tiada di depan mata. Inilah padahnya apabila ibu bapa tidak tahu menghargai anugerah yang diberikan Yang Esa. Bukan semua orang dikurniakan cahaya mata kerana ada yang sekian lama memohon tetapi tidak diperkenan oleh-Nya.

Ada yang berikhtiar dengan segala upaya tetapi hampa. Apa pun, hikmahnya tetap ada cuma keterbatasan akal manusia menghalang kita memahaminya.

Jika dulu tugas ibu bapa cukup dengan mengawasi anak di depan mata tetapi hari ini ada dunia lain yang dihuni anak tanpa dapat diintai si ibu. Inilah yang dikatakan alam maya, anak kecil juga tahu merentasinya tanpa berbekalkan wang, cukup jari tahu menari.

Sama ada alam maya menjadikan anak lebih berilmu atau sebaliknya bergantung kepada kesediaan ibu bapa mencari ilmu menghadapi tanggungjawab mentarbiah anak dalam dunia serba mencabar kini.

Semua ibu pasti berasakan tanggungjawab membesarkan anak lebih sukar daripada mencari rezeki buat mereka. Apatah lagi jika ibu berkerjaya dan pada masa sama memikul tugasan membimbing cahaya mata.

Sudah pasti masa diperuntukkan berganda banyaknya, tenaga diperah tidak terhingga, tetapi semua kerana tanggungjawab yang perlu dilaksana. Ibu bapa tidak akan berasa penat dan lelah apabila melihat anak semuanya berjaya.

Setiap ibu yang mengerti suruhan agama tahu tanggungjawab dipikul dan kesan buruknya jika tidak ditunaikan untuk memastikan amanah Allah SWT yang lahir dari rahimnya memulakan kehidupan di dunia dengan baik dan akhirnya juga bagus.

Bahkan anak yang lahir daripada benih bapa dan ibu yang bertakwa serta takutkan Allah SWT yang berjaya dididik mengikut landasan agama akan menyelamatkan ibu bapanya daripada api neraka hanya dengan doa mereka.

Sudah tentu setiap ibu bapa ingin menyelamatkan anak daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, tetapi hasrat itu tidak akan tercapai tanpa usaha membimbing anak mentaati suruhan Allah SWT serta menjauhi larangan-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Didikan ibu bapa yang membimbing anak melalui teladan akhlak baik mampu membantu mereka bijak menilai apa yang baik atau buruk tanpa boleh dipengaruhi oleh sesiapa.

Ibu bapa tidak perlu takut merotan anak yang melakukan kesalahan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perintahkanlah anakmu melaksanakan solat pada usia mereka tujuh tahun dan pukullah mereka apabila enggan mengerjakannya pada usia 10 tahun.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Nabi tidak meminta anak dipukul sebelum usianya 10 tahun walaupun mereka melanggar perintah Allah SWT, tetapi mereka perlu sentiasa dinasihat dan dibimbing supaya proses pembentukan akhlak mulia dapat dilakukan dengan sempurna serta konsisten.

Ibu bapa yang tidak bertegas atau merotan anak kerana meninggalkan perintah Allah SWT selepas mereka berusia 10 tahun bakal mendepani anak yang tidak boleh ditegur jika melakukan kesalahan, tidak taat perintah Tuhan, serta keliru antara suruhan dan larangan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails