' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Jumaat, November 19, 2010

Bersedialah, kemungkinan berlakunya banjir

Johor yang pernah dilanda banjir besar penghujung 2006 dan awal 2007, bersedia menghadapi bencana itu tahun ini dengan penubuhan jawatankuasa kecil di pusat pemindahan banjir bagi menyelaras bantuan di 600 pusat pemindahan.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Johor, Azura Mohd Kifli berkata, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan tiga hari lalu pada mesyuarat persediaan banjir yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof.

“Semua Pejabat Daerah ditugaskan mengenal pasti jawatankuasa kecil itu yang akan diketuai guru besar atau pemimpin tempatan di setiap pusat pemindahan.

“Ia bertujuan memudahkan koordinasi sesebuah pusat pemindahan termasuk urusan pendaftaran mangsa banjir, keselamatan, makanan, penyenaraian barangan keperluan, ubatan dan sebagainya,” katanya, di sini, semalam.

Kesemua pusat pemindahan itu mampu menampung 166,047 mangsa dengan Batu Pahat, Segamat, Johor Baharu dan Kota Tinggi diletakkan sebagai kawasan berisiko banjir.

Banjir besar pada penghujung 2006 dan awal 2007 dianggap yang terburuk di Malaysia, selain menyebabkan lebih 100,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan di seluruh Johor.

Azura berkata, semua agensi kerajaan dan swasta, termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Persatuan Bulan Sabit Malaysia sudah bersiap siaga bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

"Seramai 2,283 polis juga sudah menyediakan 60 bot, helikopter dan 288 kenderaan utiliti lain.

“Kita harap banjir yang mungkin berlaku tahun ini tidak seburuk banjir pada 2006. Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, kerja-kerja mendalamkan sungai, projek tebatan banjir dan pembinaan jalan ladang juga sudah disiapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Nik Omar Nik Ab Rahman berkata, pihaknya bermesyuarat 2 November lalu bagi membincangkan pelbagai persiapan menghadapi banjir.

Beliau berkata, semua stor penyimpanan di setiap daerah sudah dilengkapi barangan keperluan mangsa banjir, dan kira-kira 40 pegawai JKM di setiap daerah juga sudah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Tambahan 30 peratus barang keperluan termasuk pakaian, selimut, cadar, beras, minyak masak dan gula di depoh penyimpanan JKM di Parit Keroma, Muar akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelak kekurangan bekalan.

"Kami juga sudah menghantar bekalan keperluan ke kawasan yang sering terputus hubungan akibat banjir, termasuk masyarakat Orang Asli di Kampung Peta dan Tanah Abang di Mersing serta penduduk di pulau sekitar Johor pada bulan lalu," katanya.

Seramai 450 sukarelawan berdaftar dengan JKM Johor akan digerakkan jika banjir berlaku. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails