' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Isnin, Mac 08, 2010

GARIS PANDUAN BANTUAN EKONOMI KAMPUNG ( BEK )

1. TUJUAN

Garis Panduan ini bertujuan untuk memberi penerangan dan panduan kepada Jabatan, KEMAS Negeri, Daerah dan pihak-pihak yang berkenaan mengenai konsep, kaedah dan mekanisme perlaksanaan Bantuan Ekonomi Kampung bagi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

2. LATAR BELAKANG

2.1. Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) adalah pemberian terus (geran) yang diberikan kepada pengusaha desa yang berdaya maju untuk meningkatkan pengeluaran hasil dan kualiti produk masing-masing khususnya di kampung GDW.

2.2. YB Menteri KKLW sempena Anugerah Khidmat Cemerlang 2005 menyarankan “pelatih-pelatih kemahiran KEMAS seperti jahitan dan membuat kuih boleh mendapat bantuan dari KEMAS dalam RMKe 9 antara RM 10 ribu hingga RM 20 ribu” (Berita Harian, 12 ogos 2005)

2.3. Program ini memberi peluang kepada pelatih KEMAS dan pengusaha yang kurang berkemampuan serta kekurangan modal tetapi bersemangat tinggi meningkatkan pengeluaran produk.

2.4. Pelaksanaan BEK dapat merealisasikan dasar kerajaan untuk menjanakan sumber kekayaan baru luar bandar dan sektor pertanian sebagai enjin pertumbuhan ke dua ekonomi negara.

3. OBJEKTIF BANTUAN

3.1. Untuk meningkatkan bilangan pengusaha desa menerusi bantuan peralatan dan kelengkapan perusahaan.

3.2. Untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran produk kampung untuk pasaran orang ramai.

3.3. Untuk memberi peluang kepada pelatih KEMAS, pengusaha tempatan dan para belia melibatkan diri secara aktif dalam perniagaan.

3.4. Untuk melebarkan jaringan perniagaan dikalangan para pengusaha di desa ke pasaran yang lebih luas.

4. PERUNTUKAN BANTUAN EKONOMI KAMPUNG.

4.1 Nilai bantuan tidak melebihi RM20,000.00 bagi sesuatu projek berdasarkan kelulusan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kelulusan Bantuan Ekonomi Kampung.

5. KUMPULAN SASAR

i. Bekas Pelatih KEMAS
ii. Peserta dalam senarai Direktori Usahawan Luar Bandar
iii. Pesara KEMAS (Guru Kemahiran)
iv. Pengusaha Kecil Luar Bandar yang berpotensi

6. KATEGORI BANTUAN PROJEK

6.1. Bidang Jahitan

i. Bantuan akan diberikan keutamaan kepada bekas-bekas pelatih jahitan kemahiran KEMAS, pengusaha jahitan berdaftar Direktori Usahawan Luar Bandar dan pengusaha jahitan kecil-kecilan luar bandar yang berpotensi.

ii. Peralatan yang boleh dibeli oleh pengusaha seperti mesin jahit, peralatan memotong, perabot dan lain-lain.

iii. Matlamat KEMAS ialah bagi membantu membekal pakaian dan baju untuk kelas TABIKA dan pasaran tempatan.

6.2 Bidang Makanan dan kraftangan

6.2.1 Projek nilai tambah terhadap hasil-hasil pertanian iaitu pemprosesan dan pengeluaran seperti :

i. Makanan tradisional iaitu dodol, bahulu, kerepek pisang dan ubi (pelbagai perisa) sos tomato dan cili, produk bakeri,

ii. Makanan sejuk beku, hasilan kelapa, kacang soya, tebu, buah-buahan dan ikan

iii. Kraftangan.

6.2.2.Bantuan bagi perusahaan seperti peralatan dalam bengkel perusahaan, termasuk alat-alat rekabentuk pembungkusan, bahan dan teknik pembungkusan, mesin pembungkusan, piawaian pembungkusan, bantuan khidmat nasihat teknikal oleh SIRIM Berhad, MARDI, FAMA. Latihan dan kursus berkaitan oleh Pihak KEMAS.

7. SYARAT PENERIMA BANTUAN EKONOMI KAMPUNG

i. Pemohon hendaklah berumur antara 18 tahun hingga 56 tahun serta mempunyai kesihatan yang baik.
ii. Peserta/pengusaha yang berdaftar dengan Direktori Usahawan Luar Bandar / Kelas / Kursus KEMAS atau pengusaha-pengusaha berpotensi luar bandar.
iii. Mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam projek yang diusahakan.
iv. Mestilah berdaftar syarikat dan membuka akaun bank dan membuat rekod keluar masuk / pendapatan bagi setiap bulan.
v. Mempunyai cadangan projek perniagaan yang kukuh melalui penyediaan Rancangan Perniagaan(RP) yang lengkap.
vi. Permohonan Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) hendaklah melalui Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKK). *
vii. Mempunyai surat sokongan dari agensi-agensi teknikal yang berkaitan projek yang diusahakan.
viii. Surat sokongan dari ’vendor’ atau pengilang atau jaminan mengenai pasaran produk.
ix. Menandatangani surat Akuan Terima Bantuan Ekonomi Kampung dan wajib mengikuti Kursus Perubahan Sikap dan minda sebelum menerima bantuan anjuran KEMAS.
x. Sekiranya pengusaha tidak menjalankan perniagaan pihak KEMAS berhak menyerahkan barang dan peralatan kepada pengusaha yang berkelayakan.
xi. Wajib mengikuti kursus-kursus anjuran KEMAS dari masa ke semasa sekiranya diperlukan berbuat demikian.
8. STRATEGI PERLAKSANAAN

8.1. Permohonan BEK

Pemohon hendaklah menghantar kertas cadangan projek/Rancangan Perniagaan(RP) kepada KEMAS Daerah untuk kajian awal/penelitian sebelum dikemukakan ke KEMAS Negeri.

8.2 Jawatankuasa Penilaian Peringkat Daerah

KEMAS Daerah akan membuat penilaian dan kajian awal dalam aspek berdaya maju sesebuah projek sebelum dimajukan kepada KEMAS Negeri. Jawatankuasa Penilaian Peringkat Daerah terdiri daripada:
i) Pegawai KEMAS Daerah
ii) Wakil Pegawai Daerah (Penghulu)
iii) Penyelia Kanan Kawasan
iv) Wakil jabatan teknikal berkaitan samada Jabatan Pertanian/ Jabatan Perikanan/ Verterinar dan lain-lain

8.3 Jawatankuasa Perakuan Bantuan Peringkat Negeri

KEMAS Negeri akan menyemak dan menilai semula perakuan daripada KEMAS Daerah. Perkara yang diteliti ialah kesahihan projek dan berdaya maju. Jawatankuasa ini akan memperaku projek untuk diberi bantuan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Bantuan Ekonomi Kampung. Jawatankuasa tersebut ialah:
i) Pengarah KEMAS Negeri
ii) Penolong Pengarah Negeri (Operasi)
iii) Wakil Jabatan yang berkaitan
• MARA
• Pejabat Daerah
• Unit Perancangan Ekonomi
• Agensi kerajaan yang berkaitan

8.4 Jawatankuasa Kelulusan Bantuan

Jawatankuasa ini menilai dan meluluskan permohonan berasaskan perakuan dari Jawatankuasa Perakuan dari KEMAS Negeri. Surat dikeluarkan kepada pemohon yang berjaya Jawatankuasa Kelulusan Bantuan ialah :

i. Pengarah Ibu Pejabat (Pembangunan Desa @ Kewangan @, Perolehan) .
ii. Penolong Pengarah KEMAS Negeri (Pengurusan @ Operasi)
iii. Wakil Jabatan yang berkaitan seperti Pertanian, Jabatan Verterinar, MARDI dan lain - lain.

9. PEMANTAUAN / PELAPORAN

9.1 Pegawai KEMAS Daerah (PKD) / wakilnya / agensi terlibat dimestikan memantau pelaksanaan dan perjalanan projek-projek yang diberikan dari masa ke semasa.

9.2 Pegawai Ibu Pejabat KEMAS dan KEMAS Negeri membuat pemeriksaan terhadap projek-projek yang diperuntukan melalui Bantuan Ekonomi Kampung.

9.3 Laporan lengkap bergambar dikemukakan kepada KEMAS Negeri sekurang-kurangnya setiap 3 bulan.

9.4 KEMAS Negeri pula diwajibkan menghantar laporan lengkap (bergambar) semua projek yang dilaksanakan kepada Ibu Pejabat setiap 3 bulan sekali.

9.5 KEMAS Negeri diminta merekodkan semua maklumat penerima Bantuan Ekonomi Kampung secara lengkap dalam buku inventori.

10. PENUTUP

Bantuan Ekonomi Kampung (BEK) akan dapat membantu pengusaha-pengusaha kecil di luar bandar yang bersemangat tinggi dan berdaya maju meningkatkan produk tempatan dari segi kualiti dan kuantiti serta hasil pendapatan mereka sendiri.

Selain itu, bantuan ini akan memberi peluang kepada pelatih-pelatih KEMAS untuk menggunakan kemahiran dan pengetahuan bagi meningkatkan taraf hidup mereka selaras dengan hala tuju kerajaan dalam pembangunan ekonomi sektor luar bandar.


UNIT EKONOMI
BAHAGIAN PEMBANGUNAN DESA
JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails