Peristiwa Maal Hijrah yang disambut sebagai permulaan takwim Islam pada 1 Muharam, adalah peristiwa penuh bersejarah kepada umat Islam khususnya dan umat manusia amnya.
Peristiwa penghijrahan umat Islam dari Kota Makkah ke Madinah adalah satu strategi yang mengambil kira perancangan jangka panjang untuk menterjemahkan gagasan dan wawasan Islam dalam bentuk penyusunan masyarakat bernegara.
Islam diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW bermula di Makkah sejak 13 tahun sebelum hijrah. Dalam usia pengikut Nabi yang masih mentah dengan Islam ketika di Makkah, banyak rintangan terpaksa mereka hadapi. Pendekatan hidup Islam yang dihayati masyarakat awal Islam ini dianggap pembesar Quraisy pada masa itu sebagai satu ancaman merbahaya kepada sistem hidup jahiliah di Makkah. Sistem bermasyarakat jahiliah masa itu akan dapat mengekal kedudukan keistimewaan mereka.
Mereka akan terus berkuasa dan meneruskan penindasan terhadap masyarakat massa Makkah tanpa penentangan. Masyarakat yang khayal dengan kehidupan berlandaskan nafsu, struktur masyarakat berpuak-puak dengan sistem perhambaan membolehkan pimpinan jahiliah Quraish meneruskan penindasan.
Penyembahan kepada patung berhala adalah sesuatu untuk masyarakat massa terus berkhayal kepada keadaan realiti.
Selain itu, sebagai pusat perniagaan dan ibadat yang dikunjungi ramai masyarakat Arab, penguasaan golongan berkuasa terhadap kota Makkah membolehkan mereka mengaut keuntungan besar.
Oleh itu, masyarakat awal Islam ditindas, dizalimi dan dipencilkan masyarakat jahiliah di Makkah. Namun, keimanan yang mantap disertai kepemimpinan, keilmuan dan teladan perilaku Rasulullah sebagai model ikutan, mereka mampu menghadapi cabaran penuh keyakinan dan mencapai kemenangan.
Mereka dididik dengan keimanan yang mantap disertai keilmuan Islam. Ayat al-Quran yang diturun di Makkah bukan saja membina keimanan manusia kepada keesaan hanya kepada Allah tetapi sekali gus mendidik pentingnya hidup bermuafakat dalam masyarakat untuk menegak kebenaran.
Islam membawa suatu misi untuk membangun masyarakat Makkah ke arah suatu sistem yang mendukung kebenaran melalui pengabdian kepada perintah Pencipta manusia. Allah menganjur penyusunan umat manusia hendaklah berasaskan semangat keadilan dalam bermasyarakat. Dasar ini sudah pasti memberi peluang yang sama untuk masyarakat massa Makkah pada masa itu.
Gagasan Islam ini memerlukan kepada kepemimpinan yang adil dan berusaha membina personaliti atau sahsiah manusia yang murni dan merdeka. Semangat keadilan dan peningkatan akhlak manusia mendukung kebenaran tidak boleh di terima pembesar Makkah pada masa itu.
Walaupun kian hari Islam makin bertambah kuat, namun permusuhan Quraisy terhadap pengikut Islam kian meningkat dengan lebih terancang. Mereka memutuskan untuk membunuh Nabi dengan menggembleng semua suku kaum Quraisy di Makkah.
Quraisy jahiliah merancang, Rasulullah dan pengikutnya turut merancang. Dalam suasana sedemikian, Allah membuat penentuan Rasulullah berhijrah ke Madinah. Penghijrahan Rasulullah dan Muhajirin Makkah di terima baik oleh golongan Ansar Madinah.
Penghayatan prinsip bermasyarakat secara Islam di Madinah adalah kemuncak kepada kejayaan Islam. Masyarakat majmuk Madinah mampu dan bersedia tunduk kepada nilai Ilahi.
Umat Islam pada awal penghijrahan adalah masyarakat minoriti. Namun dengan kewibawaan kepemimpinan Rasulullah SAW dalam melaksanakan prinsip Islam, umat bukan Islam merasai mereka turut maju dengan Islam.
Peristiwa hijrah yang menjadi asas kepada takwim Islam perlu dikaji dan direnungi umat manusia dewasa ini kerana dalam membina dan menyusun umat manusia dengan berpaksikan nilai Ilahi yang berteraskan kebenaran melalui roh keadilan, halangan yang besar sudah pasti menjadi lumrah.
Peristiwa hijrah mengajar kita erti pengorbanan. Kejayaan umat Islam Makkah (muhajirin) yang terpaksa berhijrah demi untuk menegak keadilan Ilahi dan seterusnya usaha muafakat membangun Islam dengan kaum Ansar di Madinah menjadi satu pengajaran yang penuh erti.
Peristiwa hijrah adalah tindakan strategik untuk membangun Islam secara komprehensif. Bagi Islam, setiap masa berlalu perlu untuk menilai kepada usaha silam dan mengatur langkah menempuh masa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan