' Selamat melayari blog KEMAS Sekijang, Semoga ianya dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada anda semua tentang KEMAS kawasan Sekijang dan akan dapat melihat sebahagian aktiviti yang dianjurkan oleh KEMAS Sekijang untuk pengetahuan masyarakat Sekijang,

terima kasih diatas sokongan anda semua '

Rabu, September 29, 2010

CEMERLANG MELALUI VOKASIONAL

Saya menyokong penuh cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan pendidikan vokasional dimulakan dari awal. Ini kerana pelajar yang diberi pengajaran di sekolah mempunyai tahap penerimaan pembelajaran yang berbeza. Ada pelajar yang boleh mengikuti akademik dengan cemerlang dan ada pelajar yang tidak dapat mengikutinya.

Pelajar yang tidak dapat mengikuti pelajaran ini akan merasa tersisih dan merasakan diri mereka tidak diperlukan walaupun dalam diri pelajar-pelajar ini ada kebolehan lain yang perlu digilap dan disemai. Mereka mempunyai kemahiran tangan pemberian Allah yang amat berguna.

Kerana itulah saya amat menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran agar pendidikan vokasional dimulakan selepas sahaja pelajar tamat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Ini kerana pihak guru sudah tentu dapat melihat pencapaian pelajar mereka selama enam tahun di sekolah rendah, dan tahap pencapaian pelajar yang memerlukan mereka kepada pendidikan vokasional sudah dikenalpasti. Pelajar yang lemah dalam akademik perlu disarankan mengikuti pelajaran vokasional.

Pendidikan vokasional ini akan menjadikan pelajar yang tidak cemerlang akademik menumpukan kepada apa yang mereka minati. Memupuk minat pelajar seawal ini akan banyak memberi kesan positif, antaranya:

* Mengurangkan masalah disiplin pelajar yang tidak berminat dengan akademik.
* Membolehkan pelajar mendapat pengetahuan dan pengalaman pada usia muda.
* Membolehkan pelajar merekacipta benda baru.
* Menambahkan bilangan tenaga mahir negara yang berkualiti dan sesuai dengan perkembangan industri.
* Membantu menjadikan Malaysia negara maju dan produktif.
* Mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja dari negara luar.

Saya ingin mencadangkan kelas pendidikan vokasional dilaksanakan dalam tiga kategori, iaitu Kelas Vokasional Junior, Kelas Vokasional Senior dan Kelas Vokasional Lanjutan.

Kelas Vokasional Junior adalah untuk pendidikan yang diberi di awal tingkatan satu hingga ke tingkatan tiga dalam bentuk vokasional umum. Semua pelajar akan belajar semua bidang vokasional iaitu elektrik, mekanikal dan awam.

Pada peringkat ini, pelajar sudah dapat menilai minat sebenar mereka dalam bidang apa. Pelajar-pelajar ini juga perlu kerap dibawa melawat ke industri supaya mereka tahu hala tuju minat mereka.

Jadi apabila mereka berada di tingkatan empat, mereka telah mempunyai pelbagai kemahiran asas yang diperoleh dari tingkatan satu, dua dan tiga. Setelah mereka faham dengan diberi penerangan yang jelas oleh guru, apabila di tingkatan empat pelajar ini sudah boleh membuat pengkhususan bidang apa yang akan diceburi untuk masa depan. Di sini akan berlaku peningkatan pengetahuan dan kemahiran vokasional yang ketara apabila mereka membuat pengkhususan dalam tingkatan empat dan lima.

Kelas Vokasional Senior pula untuk pelajar tingkatan empat dan lima mengikuti pengkhususan yang mereka minat dengan penekanan 70 peratus secara praktikal dan 30 peratus teori berhubung kursus yang diikuti.

Kelas Vokasional Lanjutan pula untuk memberikan pendidikan lanjutan selama setahun kepada pelajar untuk menyediakan mereka memasuki alam pekerjaan. Apabila pelajar ini keluar dari sekolah vokasional, mereka perlu diberi pengiktirafan yang tinggi dengan sijil atau sijil lanjutan yang setaraf sijil politeknik atau diploma.

Saya melihat anak-anak saya yang belajar di sekolah menengah vokasional kini berjaya dalam bidang masing-masing. Ini kerana semasa di sekolah mereka mendapat pengetahuan dan kemahiran yang sebenar. Anak-anak saya juga dibawa melawat ke industri berkaitan semasa mereka berada di sekolah vokasional.

Oleh itu saya ingin mencadangkan agar ada industri atau syarikat-syarikat besar menjadikan sekolah-sekolah vokasional sebagai anak angkat dalam hubungan ‘menang-menang’. Ini membolehkan industri mengambil pelajar lepasan sekolah vokasional dan sekolah pula mendapat pengetahuan baru seiring dengan perubahan teknologi.

Saya berharap saranan Timbalan Perdana Menteri itu akan segera diambil perhatian sekali gus dipraktik oleh Kementerian Pelajaran agar kita menjadi negara maju dengan tenaga pakar yang dikeluarkan oleh sekolah vokasional kita sendiri.

Saya yakin kita boleh melakukannya kerana sekolah vokasional dengan guru-gurunya yang mempunyai pelbagai kemahiran banyak mengeluarkan modal insan yang pada mulanya tidak diperlukan di sekolah akademik/harian biasa. Keluaran sekolah vokasional inilah sekarang yang banyak membantu membangunkan negara.

Isnin, September 27, 2010

BANTU MEMBANTU ADALAH AMALAN MULIA

Masyarakat negara ini memang terkenal dengan semangat prihatin dan sudah lama mengamalkan sikap bantu membantu antara satu sama lain hingga merentas sempadan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, nilai murni itu jika tidak disemai secara istiqamah akan merosot terutama kepada anak muda serta remaja. Oleh itu, galakan perlu dipertingkatkan dengan menganjurkan program amal membabitkan pelbagai lapisan masyarakat negara ini. Tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program bantuan amal ke pelbagai negara bagi membantu rakyat yang menjadi mangsa konflik peperangan dan musibah akibat bencana alam mengembalikan masyarakat kepada tuntutan agama untuk sentiasa saling bantu membantu. Peribahasa Melayu mengatakan, cubit paha kanan, paha kiri terasa. Maka, begitu juga halnya hidup di dunia ini, perlu ada rasa simpati dan empati terhadap nasib malang dialami masyarakat di negara lain.

Daripada Ibnu Umar, seorang lelaki menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling dicintai Allah, dan amal apakah yang paling dicintai Allah? Rasulullah SAW menjawab: Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam diri seorang Muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunasi hutang atau menghilangkan kelaparan.”

Oleh itu, tampilnya rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat bersama berkorban tenaga, wang ringgit, nyawa dan masa untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di negara lain yang ditimpa malapetaka adalah amalan mulia yang perlu dipergiatkan.

Inilah gambaran kesungguhan rakyat Malaysia menyahut seruan agama supaya menjadi insan yang bermanfaat kepada manusia lain. Usaha memupuk dan menggarap nilai kemanusiaan perlu menjadi agenda pendidikan dalam kalangan orang Islam.

Langkah ini dapat mengikis sifat individualistik dan rasa ego dalam diri untuk melahirkan insan yang sentiasa prihatin terhadap orang lain. Orang Islam yang mempunyai rasa simpati dan empati terhadap nasib malang orang lain adalah kumpulan yang ‘kaya hatinya’.

Jumaat, September 24, 2010

JALINAN KASIH AIDILFITRI KEMAS DAERAH SEGAMAT

Pada 23 hb Sebtember 2010, KEMAS Daerah Segamat telah menganjurkan majlis 'Jalinan Kasih AidilFitri' di Dewan Majlis Daerah Labis. Majlis telah diserikan dengan kehadiran Ybhg. Kapten (B) Abd. Rahim Bin Mohd Salleh. Penolong Pengarah Operasi 1 KEMAS Negeri Johor.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pn. Noor Aniza Bte Sarijan Pegawai KEMAS Daerah Segamat. Antara lain ucapanya majlis yang diadakan ini adalah satu majlis yang telah dirancang setiap tahun, bagi menjalin hubungan kekeluargaan diantara kakitangan KEMAS Labis, Sekijang dan Segamat. Jika sebelum ini kita gemar mengadakan kumpulan atau pasukan sendiri tetapi pada hari ini hendaklah kita merapatkan hubungan agar kita, supaya tidak berada dalam satu kelompok kita sahaja sedangkan kita sebagai anggota KEMAS akan berkerjasama tanpa mengira mereka daripada kawasan mana.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan Ybhg. Kapten ( B) Abd. Rahim Bin Mohd. Salleh. Penolong Pengarah Operasi 1KEMAS Negeri Johor.

Beliau menyarankan agar setiap anggota KEMAS perlu kuat bekerja setiap masa. Bekerja mengikut peraturan dan masa yang telah pun ditetapkan. Jangan kita gunakan masa kerja kita dengan melakukan tugas-tugas peribadi. Haram wang yang kita perolihi nanti jika kita tidak bekerja mengikut masa dan tugasan yang diamanahkan kepada kita. Miskupun kata-kata beliau ini kasar tetapi itulah hakikatnya yang perlu kita terima.

Akhirnya semoga majlis seperti ini akan dapat dilaksakan setiap masa agar kita dapat mengeratkan hubungan dikalangan keluarga KEMAS supaya ada kekutan kepada KEMAS itu sendiri.


Khamis, September 23, 2010

TIMBANG PEMBERIAN BONUS KAKITANGAN AWAM


Terima kasih diucapkan kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam ( Cuepacs) kerana memohon kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan bajet bulan depan.

Sudah 2 tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak tahun 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus, jika tidak dapat 2 bulan memadailah sekadar 1 bulan gaji.

Keikhlasan, kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan diserahkan untuk menilai dan mempertimbangan semua ini. Pemberian bonus ini sudah pasti akan mengurangkan beban tanggungan dan menjadi suntikan semangat baru kepada hampir 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.

Penjawat awam merupakan tulang belakang kerajaan, jika kakitangan ceria maka kerajaan akan lebih ceria.

Pemberian bonus ini mungkin akan dipertikaikan atau dimunifulasikan oleh pihak-pihak tertantu, tetapi jika Cuepacs tidak memperjuangkan, siapa lagi. Diharapkan usaha yang dilakukan oleh Cuepacs mendapat perkenan kerajaan. Maka dengan itu marilah kita sama berdoa agar ianya mencapai kejayaan.

Rabu, September 22, 2010

SPR DICADANG UPAH EJEN DAFTAR PEMILIH


Saya ingin mencadangkan supaya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan ejen pendaftar di setiap daerah dan kawasan.

Ejen yang diberi komisen dengan setiap pendaftar pemilih pengundi baru. Sebagai contoh setiap borang pengundi baru dibayar RM20.

Ini akan memudahkan lagi pihak SPR dan akan dapat mengubah peratusan pengundi setiap bulan.

Bagi orang Melayu, terutama yang belum daftar mengundi (berumur antara 21 tahun-33 tahun), mereka ini sering mengambil sikap sambil lewa, jika diberi peluang saya ingin menjadi ejen dan saya percaya dapat mendaftarkan kawan-kawan saya yang belum pernah mengundi.

Ini akan memudahkan urusan pendaftaran. Saya sering terbaca dalam akhbar mengenai orang Melayu yang belum mendaftar dan jumlahnya adalah cukup banyak, sedangkan mereka adalah penduduk asal negara ini.

Masa depan negara adalah di tangan kita. Kita perlu memandang jauh ke hadapan seperti 20 tahun akan datang di manakah kita semasa itu dan siapa yang akan mentadbir negara?

Saya percaya dengan adanya sistem "jualan langsung" ini, jumlah pengundi baru adalah lebih aktif.

Pada masa ini, saya ingin bertanya:

* Adakah pihak SPR boleh berada di setiap kampung (rata-rata penduduknya kurang peka pada IT)?

* Adakah pihak SPR boleh menyampaikan maklumat pada setiap lapisan masyarakat?

* Adakah pihak SPR boleh mendaftarkan pengundi baru dengan mempromosikan SPR? (kebiasaanya saya lihat kakitangan SPR hanya buka meja, bunting, dan sebuah komputer dan duduk menunggu).

Maka, dengan dunia moden seperti sekarang "ejen langsung" adalah jawapan yang tepat. Saya benar-benar berminat jika ia dapat dilaksanakan.

Kakitangan pendaftar SPR sekarang ini boleh menjadi ketua@penyelia bagi urusan semakan borang-borang pendaftar baru dari ejen dengan hanya duduk dari pejabat dan sebuah computer untuk pantauan.

Selasa, September 21, 2010

UPSR 2010 BERMULA

Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR ) bermula hari ini hingga khamis nanti. Didoakan semoga pelajar-pelajar akan dapat menjawap dengan tenang soalan-soalan peperiksaan. Akhirnya kejayaan mengiringi usaha mereka selama ini.

Kepada ibubapa yang anak mereka menghadapi peperiksaan UPSR disarankan samalah kita iringi anak-anak kita dengan membaca surah ' Yassin ' seberapa banyak yang boleh disamping ' berselawat '. Sedekahkan  bacaan 'Yassin' kepada anak kita.

Inilah usaha kita yang terakhir bagi mendoakan kejayaan dan kecemerlangan anak-anak kita. 

Khamis, September 09, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN


Warga KEMAS Kawasan Sekijang mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ' Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Dan Batin ' kepada semua pengunjung blog KEMAS Sekijang sejak 15 September 2009.

Kemaafan dipohon kiranya hampir setahun KEMAS Sekijang menyampaikan terbitan untuk tatapan anda semua ada yang meyinggung hati dan perasaan anda semua, tetapi itu semuanya adalah aktiviti serta pandangan yang benar untuk kami sampaikan. Semoga KEMAS Sekijang sentiasa dihati anda semuanya dan KEMAS berada dimana-mana.

Akhirnya ada firman Allah untuk kita renungkan bersama,

FIRMAN Allah bermaksud: “...dan hendaklah kamu bertakbir (membesarkan) Allah di atas hidayah yang dikurniakan kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah: 185)

Pada penghujung ayat ini, ada perintah Allah berhubung pengisian amalan salih sepanjang Ramadan dan pada Aidilfitri iaitu hari membesarkan Allah dan bersyukur kepada-Nya atas segala kurniaan nikmat-Nya yang tidak terhitung. Pada Ramadan yang berkat ini, umat Islam disaran memperbanyakkan ibadat seperti solat Tarawih, membaca al-Quran, bersedekah dan beriktikaf. Begitu juga Aidilfitri, umat Islam digalakkan bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadat puasa sebulan Ramadan. Aidilfitri secara harfiahnya membawa pengertian kembali kepada fitrah dan kesucian semula jadi. Kesucian mewarnai perhiasan lahiriah dan batiniah kehidupan Muslim mengungkapkan dua makna cukup mendalam dalam hidup seseorang Muslim iaitu makna spiritual dan sosial.

Secara spiritual, seseorang Muslim kembali kepada fitrah dan kesucian melambangkan dia sudah bersih daripada segala dosa seumpama bayi baru lahir ke alam dunia ini, terutama setelah selesai melaksanakan ibadat puasa sepanjang Ramadan dengan penuh keimanan.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampuni segala dosanya seumpama bayi baru lahir dari rahim ibunya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Justeru, Muslim yang berpuasa sebenarnya dididik dan diasuh untuk tunduk serta patuh terhadap segala perintah supaya ibadat puasanya diterima Allah. Pada masa sama, dia juga dididik dan diasuh tidak melanggar batasan mengendalikan hawa nafsu selaras kehendak-Nya.

Di samping itu, menjalani ibadat puasa selama sebulan mampu mencetuskan pengalaman kerohanian yang berharga dan cukup berkesan kerana setiap Muslim ternyata berupaya mengendalikan hawa nafsunya serta sudah terbiasa melakukan ketaatan kepada Allah.

Paling penting sekali deria rasa keinsafan dan kesedaran yang berbekas dalam jiwa sanubari akan kehadiran atau pengawasan Allah terhadap segala lintasan hati, tutur kata juga perbuatannya. Pengalaman dan perolehan berharga seperti inilah membawa seseorang itu kembali kepada kesucian dan fitrah sejati saat tibanya hari lebaran Aidilfitri penuh keceriaan.

Kesucian dari sudut sosial, tersingkap ruang lingkup pengertian jauh lebih luas dan mendalam menuntut satu tindakan mencerminkan satu cara hidup syumul dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat.

Ditinjau dari segi makna sosial, manusia kembali kepada fitrah dan darjat kesucian bermaksud, tidak ada lagi perbezaan kelas sosial, keturunan, pangkat dan kedudukan. Setiap manusia sama dari segi kedudukan dan asal usulnya.

Aidilfitri secara sosial berupaya menjulang nilai kemanusiaan hingga setiap manusia memandang kelompok manusia lain sebagai makhluk yang sama taraf dan kedudukan. Orang yang kembali kepada fitrah bersedia berbuat baik kepada dirinya dan juga orang lain.

Ketika menyambut Aidilfitri, ada beberapa adab perlu diraikan berdasarkan sunnah Rasulullah. Setiap Muslim disunatkan mandi dan makan dulu sebelum keluar menunaikan solat Aidilfitri.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Rasulullah tidak keluar pada pagi hari Aidilfitri, sehinggalah baginda makan terlebih dulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Hadis riwayat Bukhari)

Di samping itu, umat Islam dianjurkan bertakbir pada hari raya kerana termasuk sunnah yang agung. Waktu bertakbir Aidilfitri bermula pada malam raya sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

Rabu, September 08, 2010

PELUANG KEEMASAN KEBESARAN SYAWAL

Ramadan akan berlalu pergi. Ada orang yang duka kerana tidak puas beribadat pada bulan al-mubarak dan al-kareem anugerah Allah SWT yang hebat ini. Ada orang gembira kerana tidak sabar menunggu perayaan. Ada yang mersakan puasa itu dirasakan suatu beban. Apa pun itulah sikap dan tabiat manusia.

Keindahan suasana pada pagi hari Aidilfitri itu sudah terbayang. Umat Islam akan berkumpul di serata masjid dan musolla, di seluruh dunia Islam. Mereka menggemakan alunan syahdu takbir dan tahmid, himpunan umat seagama dengan satu iman. Mereka datang untuk rukuk dan sujud kepada-Nya.

Anak-anak desa di perantaun pulang ke pangkuan ibu bapa, menemui sanak saudara dan ziarah. Bagi mereka yang tidak dapat pulang akan merasa sedih dan sebak dada setiap mendengar takbir dan tahmid, terbayang kemeriahan sambutan dan keindahan, tetapi tanpa sedar air mata menitis hiba. Takbir itu suara tanda kemenangan menempuh ujian nafsu dan mengalahkan syaitan, musuh utama manusia.

Aidilfitri membawa peluang keemasan dengan kebesarannya yang tersendiri. Umat Islam menyambut dua panggilan hari kebesaran setiap tahun, Aidilfitri dan Aidiladha. Kenapa tidak, sesuai dengan kebesaran Aidilfitri itu setiap diri kita mengambil peluang mengukuhkan persaudaraan Islam dan menghangatkan hubungan silaturrahim.

Hubungan sesama Melayu dan umat Islam kini semakin dingin. Keretakan lama mulai mengalami perpecahan. Jadi ikat dan eratkan semula tali persaudaraan Islam dan ukhuwah Islamiyah itu. Jika boleh, kita bukan sahaja bermaaf-maafan antara suami isteri, anak-anak dengan ibu bapa, anggota keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga, tetapi perluaskan antara kelompok para pemimpin. Gantikan permusuhan, perbalahan dan kebencian itu dengan rasa kasih sayang yang mendalam. Jadikan semangat penerimaan dan roh Aidilfitri itu benar-benar berkesan dalam kehidupan kita beragama, berbangsa dan bernegara.

Selasa, September 07, 2010

ORANG MELAYU MESTI TAHU HAKNYA

Orang Melayu hari ini sedang menghadapi gelora politik yang dicetuskan oleh bukan Melayu. Terpulanglah kepada orang Melayu untuk menghadapi isu yang penting ini. Usaha ke arah penyatuan Melayu, dari segi politik, ekonomi dan sosial sangat penting ke arah memperkasakan semula kekuatan orang Melayu dalam semua bidang ini.

Orang Melayu akan terus mempertahankan dan mengekalkan hak orang Melayu khususnya berkaitan agama Islam, bahasa dan budaya. Titik tolak pertemuan ke arah persetujuan antara yang menjadi hak orang Melayu seharusnya dipertahankan.

Demikian ditegaskan Presiden Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia (PBWBHM), Dr Alias Mohamed pada Majlis Meraikan 25 Jemaah Haji Umrah Ramadan 2010 dan Pidato “Orang Melayu Dan dasar Ekonomi Baru” di Hotel Armada, Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurutnya, persatuan PBWBHM akan menyokong kuat semua usaha untuk mengekalkan status quo, malah untuk memperkukuhkan lagi Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dengan cara apa sekalipun.

Menurutnya, rangka masa atau tempoh pelaksanaan (time frame) Dasar Ekonomi Baru (DEB) ialah sehingga 1990. DEB kemudian diikuti oleh Dasar Pembangunan Nasional atau NDP yang mensasarkan Wawasan 2020. Pada ketika itu, iaitu kira-kira 10 tahun akan datang, Malaysia dianggarkan telah mencapai taraf pembangunan dunia secara umum. Asas ekonomi yang berdasarkan perpaduan kaum pada masa itu mestilah ekonomi yang telah maju.

Namun, katanya dalam sebuah negara berbilang kaum, bahasa dan budaya, kemajuan dalam ekonomi bukanlah satu-satunya ukuran tentang tahap perpaduan yang boleh dicapai di negara tersebut. Keseimbangan ekonomi penting bagi mengukuhkan perpaduan dalam sesebuah negara maju.

Sementara menurut Bekas Ketua Pengarah PORLA, Abdul Rahim Zain, orang Melayu mesti mempunyai ilmu untuk menguatkan kedudukan mereka dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya. Orang Melayu dan pemimpin Melayu harus bangkit menilai keupayaan dan peranan supaya usaha memajukan orang Melayu menghasilkan kesan yang kukuh, di samping hidup dalam harmoni dalam masyarakat berbilang kaum.

“Orang Melayu seharusnya mengetahui hak-hak mereka dan mempertahankan melalui kekuatan ilmu pengetahuan dan sentiasa bersatu dalam melaksanakan apa sahaja agenda yang baik untuk kepentingan bangsanya,” katanya.

Beliau mengharapkan semua orang Melayu di peringkat pemimpin atasan, pemimpin pertengahan dan rakyat bawahan bersatu dalam menggembleng kekuatan ekonomi dan memahami apa juga dasar yang dilaksanakan kerajaan. Perkembangan di bidang sosioekonomi, industri, pengurusan, dan politik mestilah difahami dan direbut bagi kemajuan hidup.

Presiden Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat UMNO (Pakku), Tan Sri Adam Kadir pula menyarankan, setiap badan atau pertubuhan, khususnya badan korporat, bagi membantu orang Melayu mestilah mereka yang benar-benar layak dan memahami masalah orang Melayu bagi mengatasi permasalahan tersebut sehingga ke akar umbi.

Sehubungan itu, orang Melayu mestilah terus berusaha memperkuatkan kedudukan ekonomi dan memperbaiki kesilapan-kesilapan yang telah berlaku dalam bidang ekonomi. Mendalami ilmu ekonomi dan berusaha mempertingkatkan ekonomi akan dapat membanteras kemiskinan dalam kalangan orang Melayu serta berusaha meningkatkan peratus pencapaian dalam ekonomi negara

Jumaat, September 03, 2010

MAJLIS TADARUS PERDANA

KEMAS Kawasan Sekijang telah menganjurkan ' Majlis Tadarus Perdana Kanak-Kanak & Ibubapa Tabika KEMAS Kawasan Sekijang Tahun 1431H/2010 M '.

Majlis tersebut telah diadakan pada 03 September 2010, Jam 8.30 pagi di Masjid Jamek Al- Firdaus, Kampung Jawa, Segamat, Johor dan telah dirasmikan oleh YB. Datuk Haji Baharum Bin Mohamed, Ahli Parlimen Sekijang merangkap Ketua UMNO Bahagian Sekijang.

Selepas Khatan Al-Quran, majlis diteruskan dengan 'Tazkirah' oleh Tuan Imam Mohd. Fadzli Bin Hj. Md. Dom. Imam Masjid Jameh Segamat. Antara pesanan yang disampaikan ' Ibubapa haruslah turut serta mendidik anak-anak untuk membaca Al-Quran, jangan hanya menyuruh sahaja sebaliknya sama-sama membaca Al-Quran dengan anak-anak. Jika anak-anak kita selalu didedahkan dengan Al-Quran insyallah anak-anak kita akan selamat didunia dan akhirat'.

Seramai tiga ratus orang melibatkan diri bagi menjayakan majlis tersebut. Disamping majlis Tadarus dan Khatan Al-Quran, KEMAS Sekijang juga menyampaikan sumbangan kepada Keluarga Miskin dan Anak-Anak Yatim dikalangan Kanak-kanak Tabika KEMAS Parlimen Sekijang. Seramai 36 orang penerima sumbangan yang telah disampaikan oleh YB. Datuk Hj. Bahrum Bin Mohamed.

YB. Datuk Hj. Baharum Mohamed
menyampaikan ucapan
Peserta Kanak-Kanak & Ibubapa
Sedang Kusyuk menghayati Bacaan Rakan-Rakan

Menyampaikan Sumbangan Kepada Anak Yatim

Khamis, September 02, 2010

RUKUN NEGARA TERAS PERPADUAN MELAYSIA

Rukun Negara diasaskan pada 1970 bertujuan mewujudkan satu persefahaman yang minimum terhadap aspirasi nasional di kalangan pelbagai komuniti di Malaysia tanpa mengira kaum atau daerah masing-masing. Selain daripada mencapai tahap perpaduan yang lebih tinggi, mengekalkan demokrasi sebagai cara hidup, mewujudkan masyarakat yang adil, satu pendekatan yang liberal terhadap budaya dan tradisi serta membangunkan masyarakat yang progresif, berorientasikan sains dan teknologi moden. Rukun Negara juga bertujuan dijadikan panduan negara berasaskan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Rukun Negara yang membolehkan Malaysia menyatupadukan rakyatnya berbilang kaum dan agama serta menjadi prinsip asas kepada kenegaraan perlu disemaikan di sanubari generasi muda kita yang akan menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.

Perpaduan adalah satu hadiah yang tidak ternilai dan simbol kemanusiaan kita. Ia adalah asas kita membina hubungan, keluarga, masyarakat dan negara. Ia adalah ikatan yang mengukuhkan kenegaraan kita.

Perpaduan perlu bermula dari setiap individu. Jika ada perpaduan dalam pemikiran emosi dan perbuatan seseorang, ia akan diluahkan di dalam perilaku terhadap orang lain.

Marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia memperkukuhkan perpaduan. Kita mesti memulakan bersuara dengan satu suara yang merangkumi semua rakyat Malaysia pelbagai kaum. Kita semua menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara ini. Marilah kita sama-sama mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan budaya keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Marilah kita memelihara dan melindungi apa yang sudah kita capai setakat ini dengan semangat persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita membenarkan perkauman melampau dan fahaman ekstrem dalam bentuk apa pun, memecah-belahkan negara yang kita cintai kerana ini adalah tempat kita dilahirkan, tempat kita tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita akan disemadikan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails